Sesungguhnya manusia yang tidak mahu mempedulikan sejarah bangsa dan agamanya adalah manusia-manusia miskin dan merempat, umpama orang yang hilang ingatan, identiti, sekaligus maruah dan harga diri. Manusia-manusia seperti ini seringkali terdedah kepada pendirian yang berubah-ubah seperti lalang, cepat keliru serta mudah diperkotak-katikkan. Mereka juga sering terjatuh kepada perangkap yang dipasang oleh musuh-musuhnya kerana gagal mengambil iktibar dari sejarah jatuh bangun serta naik turun bangsanya dan umat Islam.