(artikel ini ditulis pada tahun 2001 dalam Majalah Tamadun ketika Dr. MAZA masih penuntut di IIUM)
Hampir sebulan saya berada di India. Kebanyakan orang awam di Malaysia, bila disebut sahaja India, mereka akan terbayang wajah-wajah pelakon Bollywood. Ramai juga akan menyangka India ini seindah yang digambarkan dalam filem-filemnya. Mereka tertipu dengan mainan filem.
Namun saya bukan pergi mencari para pelakon Bollywood, tetapi saya pergi bertemu, menziarahi dan mengambil manfaat ilmu daripada para ulama hadith yang masih hidup di India. Sebahagian mereka adalah anak-anak kepada tokoh-tokoh pengarang syarah kitab-kitab hadith.
Saya tidak melihat India seindah yang dipertontonkan oleh orang kita di dalam filem-filemnya, saya melihat Indah begitu kotor, miskin, entah berapa puluhan juta penduduknya kelaparan dan tanpa tempat tinggal, hidup merempat di kiri dan kanan jalan. Sistem kasta yang mencengkam hidup mereka. Kekotoran yang membaluti kota dan manusia. Penipuan menjadi mainan lidah dan cara. Adapun yang kaya barangkali memang kaya, tetapi kaya di atas kemiskinan ratusan juta manusia. Sementara yang menganggap India seindah filemnya dan ingin sekali menikmati udara India, sebenarnya semua itu adalah hasil propaganda filem semata. Demikianlah media-massa selalu berjaya membohongi mereka yang percaya dan beriman dengannya.
Untuk pengetahuan kita, sesungguhnya orang Islam pernah memerintah India hampir seribu tahun. Pada pandangan saya, India adalah negeri yang paling sukar untuk Islam berperanan mengikis kesesatan, khurafat dan kekarutan kepercayaan penduduknya. Ini disebabkan banyak faktor, antaranya peranan kebanyakan pemerintah yang tidak berkesan dan tabiat penduduknya yang begitu cenderung kepada khurafat dan berakar umbi dalam perasaan dan fikirannya.
Hinggakan sistem kasta yang dianuti oleh agama Hindu, masih mempengaruhi sebahagian penganuti Islam di India. Ini sama seperti yang berlaku kepada orang melayu dahulu yang dipengaruhi ajaran hindu dan selainnya, kemudian apabila datang Islam, menerima Islam, di samping terus dibawa sebahagian ajaran hindu dan khurafatnya, seperti persandingan pengantin, nasi kunyit untuk sesuatu upacara, tepung tawar, percayakan sial-sial tertentu dan seumpamanya. begitulah juga kebanyakan muslimin India. Bahkan lebih jauh dari itu, banyak kesan-kesan ajaran Hindu dan khurafat yang lain terkena kepada mereka sehingga menjadi begitu sesat mungkin juga sebahagiannya terkeluar dari daerah Islam kepada daerah kufur.
Ada peratusan yang banyak yang mengaku Islam di India yang percayakan angka, terutama angka 786. Mereka tulis angka ini di pintu masjid sebagai ganti kepada Basmalah (bismillah). Di tempat kita pun ada juga ajaran tarekat yang sesat yang terpengaruh dengan ajaran ini mengajar pengikutnya jika ingin membaca bismillah hendaklah sebanyak 786 kali. Paling buruk sekali, dikatakan melebihi separuh muslimin India terlibat dengan ajaran Bralewi, mereka menyembah kubur tokoh-tokoh agama terutamanya tokoh-tokoh tarekat. Antara tempat utama mereka ialah Darga bersebelahan dengan markaz utama Jama`ah Tabligh di Nizamudin. Upacara mereka sangat pelik, tempat mereka bagaikan kuil yang dipenuhi pelita-pelita api. Mereka menabur bunga dan air wangi sebelum memohon hajat. Bahkan saya melihat dalam kalangan mereka sujud kepada kubur seperti dalam solat. Dalam masa yang lain, mereka juga bersolat lima waktu, membaca al-Quran dan berzikir dengan cara mereka Cumanya yang menghairankan saya, di hadapan markaz utama jamaah tabligh sehingga ke tempat penyembah bagaikan pasar jualan peralatan upacara ibadat Bralewi.
Di celah-celah itu semua Allah tetap memberikan kurnianya kepada para muslimin India yang begitu ramai itu. Sebelum beberapa dekad yang mutakhir, benua India pernah menjadi pusat terbesar perkembangan ilmu hadith, hampir dua kurun lamanya. Pengasas utamanya ialah al-Imam Shah Waliyullah al-Dahlawi (1114-1176 hijrah).
Di India beliau digelar Markaz al-Asanid fi al-Hind iaitu pusat sanad-sanad hadith di India. Sesiapa yang berminat dengan kisah sanad hadith di India, dia patut membaca al-`Anaqid al-Ghaliyah min al-Asanid al-`Aliyah karya Maulana Muhammad `Asyiq Ilahi al-Barni al-Mazhahiri. Kitab ini menghimpunkan sanad-sanad para ulama Deoband sehingga ke al-Imam Shah Waliyullah al-Dahlawi.
Saya dan sahabat saya pergi ke India membawa surat sokongan peribadi daripada guru hadith Ph.D kami, Dr. Muhammad Abul Laith al-Khair Abadi, pengarang kitab Takhrij al-Hadith, `Ulum al-Hadith bain al-Asalah wa al-Mu`asarah dan lain-lain. Beliau juga berasal dari India, pernah belajar di Deoband dan mendapat Ph.D dari Umm al-Qura, Mekah. Hasilnya, kami dapat bertemu, menziarahi, mengambil manfaat daripada beberapa ulama hadith India. Kami sempat membaca Risalah al-Awail, petikan dari kitab-kitab hadith di hadapan mereka serta nasihat-nasihat yang berguna. Juga mereka mengijazahkan sanad mereka.
Antaranya, sanad daripada anak pengarang Faidh al-Bari syarah Shahih al-Bukhari, Maulana Anzar Shah iaitu anak Anwar Shah al-Khasmiri. Salah satu sanadnya daripada al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah seorang muhaqqiq yang terkenal. Juga sanad daripada Maulana Zainul `Abidin al-A`azami, yang diambil daripada tokoh hadith yang terkenal, al-Syeikh Habib al-Rahman al-A`azami. Juga beberapa sanad yang lain. Namun begitu, perlu diperingatkan bahawa pada hakikatnya sanad hadith pada zaman ini tidak diperlukan lagi.
Para penulis kitab-kitab hadith seperti al-Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah, Ibn Jarud, Ibn Hibban, Ibn Sakan dan lain-lain telah pun menyatakan sanad mereka. Kajian para perawi hanya setakat mereka sahaja. Selepas itu tidak diperlukan lagi. Ulama di India sendiri menganggap pemberian ijazah sekadar suatu cara tradisi dan sekadar mengharapkan keberkatan pertemuan dengan guru sahaja. Malangnya, ada yang begitu dangkal sehingga menganggap seseorang tidak boleh dianggap sebagai tokoh ulama dalam ilmu hadith jika tidak mempunyai sendiri. Inilah adalah satu kejahilan yang amat nyata. Inilah bala bila semua orang cuba mengaku pandai dan mencampuri apa yang bukan urusannya.
Di India saya tinggal Dar Ulum, Deoband juga Dar Ulum, Lucknow tempat Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi. Deoband agak begitu traditional tetapi pengajiannya patut disanjungi. Al-Syeikh Rasyid Redha pernah menziarahi Dar Ulum Deoband dan memujinya. Dar Ulum, Deoband berjasa dalam memerangi golongan khurafat dan bid`ah terutama golongan penyembah kubur. Untuk menghadapi dakwah ulama Deoband maka ahli bid`ah dan khurafat di India menyatakan mereka berada atas sunnah dan menuduh para ulama Deoband sebagai wahhabi, walaupun Dar `Ulum Deoband itu kuat bermazhab Hanafi sedangkan al-Syeikh Muhammad bin `Abd Wahab seorang yang bermazhab Hanbali. Tujuannya hanya untuk mempertahankan khurafat dan bid`ah mereka.
Para ulama Deoband bangun membela diri mereka, sekaligus membela al-Syeikh Muhammad bin `Abd Wahhab, sekalipun tiada hubungan antara mereka dengannya, kerana mereka tahu tokoh berkenaan dizalimi dan difitnah. Sesiapa yang inginkan pendetilan sila baca Dar `Ulum Deoband, keluar Akademi Syeikh al-Hind. Di tempat kita juga demikian, golongan yang membuat amalan-amalan yang tidak benar pada nilaian al-Quran dan al-Sunnah akan membela diri dengan menyatakan ini adalah mazhab Syafi`i dan menuduh golongan yang menegur mereka sebagai wahabi. Ternyata mereka menggunakan modal yang sama.
Kebanyakan perkara yang mereka dakwa sebagai mazhab Syafi`i, tidak pernah pun disebut al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi`i r.a.. Bahkan di kalangan mereka ada yang tidak pernah membaca al-Umm karangan fiqh beliau, atau ¬al-Risalah dalam usul fiqh dan hadith. Lebih dahsyat lagi, ada yang tidak pernah tengok teksnya. Pun begitu segala amalannya yang tiada kena mengena disandarkan kepada imam yang mulia itu. Dalam masa yang sama sesiapa sahaja yang menegur amalan turun-temurun, sekalipun dengan menggunakan nas dari kitab al-Imam al-Syafi`i sendiri akan dituduh wahhabi. Seakan Muhmmad bin `Abd al-Wahhab itu pengasas satu mazhab baru. Sedang beliau sendiri menyatakan beliau bermazhab Hanbali.
Saya sendiri, dalam beberapa hal dituduh wahabi. Sedangkan saya bukan keluaran universiti di Saudi. Saya mengajar tempat saya Dewan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Fekah Mazhab al-Syafi`I, tetapi secara insaf bahawa pendapat yang paling kuat dan kebenaran itu sendiri tidak hanya terkurung dalam satu mazhab sahaja. Kita patut melihat dalil dari semua mazhab. Ini bukan ajaran Muhammad bin `Abd al-Wahhab sahaja, tetapi itulah tunjuk ajar serta arahan semua imam-imam mazhab. Malangnya dalam hal ini kita dituduh sebagai wahabi.
Kalaulah sungguh Muhmmad bin `Abd al-Wahhab itu mengasaskan mazhab, saya secara peribadi mungkin tidak mengikutinya. Ini kerana imam-imam yang lain dalam feqah jauh lebih hebat daripadanya. Al-Syeikh Al-Albani sendiri menganggap Muhammad bin `Abd al-Wahhab itu tidak begitu mantap dalam menghukum hadith dan menyimpulkan persoalan fiqh. Dia sebenarnya pejuang aqidah. Pada zamannya dia adalah pejuang yang menghapus khurafat dan syirik serta menegakkan aqidah yang bersih. Banyak buku ditulis mengenai jasanya, antara apa yang ditulis oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat.
Saya menziarahi tempat Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi. Dalam hayatnya, beliau adalah seorang tokoh ilmu dan dakwah. Universitinya bercita-cita menghimpunkan antara unsur traditional dan kemodenan. Syiarnya ialah Al-Jam`u baina al-Qadim al-Salih wa al-Jadid al-Nafi’, iaitu menghimpunkan antara tradisi yang baik dan perkara baru yang bermanfaat. Gabungan ilmu lama dan moden memungkin seseorang muslim hidup di zaman serba canggih ini. Islam tidak boleh digambarkan sebagai agama yang kuno serta ketinggalan zaman. Kemodenan itu sebenarnya milik Islam. Islam mesti hidup di timur dan barat, dalam generasi lama dan baru. Inilah yang hendak ditonjolkan oleh Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi. Sebaliknya, di negara kita, ada yang menganggap Islam tidak dapat difahami melainkan setelah penat belajar di bawah pelita minyak yang malap, tinggal dalam pondok yang senget, menggunakan bahasa melayu sankrit lama. Baginya tokoh ulama hanya guru pondoknya. Para ulama timur tengah langsung tiada tempat dalam dirinya. Seakan-akan Nabi s.a.w itu dulunya lahir di kawasan pondoknya.
Apa yang saya lihat juga, para ulama India samada di Deoband atau Lucknow terutama Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi r.h., banyak memuji dan mengambil manfaat daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Abu al-Hasan al-Nadwi sendiri mengarang kisah kehebatan dakwah Ibn Taimiyyah. Tokoh-tokoh ulama timur tengah seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi pun begitu. Dalam buku Kaif nata`amul ma`a al-Sunnah, al-Qaradawi menyatakan Ibn Taimiyyah adalah tokoh ulama yang paling disayanginya dan paling dekat dengan akalnya. Demikianlah sesiapa yang membaca karya dan perjuangan Ibn Taimiyyah pasti akan mengkaguminya. Malangnya ada di negara mereka yang hidup untuk memusuhi Ibn Taimiyyah dan menfitnahnya.
Demikian sedikit catatan saya dalam kembara ke India. Semoga Allah meluaskan pengalaman kita dan memberikan pahala perjalanan ilmu.
Video Silibus KAFA
-
NAK ANAK SKOR KAFA TANPA STRESS? [image: 💯][image: 💪] JOM GUNA MODUL
VIDEO INI!
Hanya 15 minit sehari, anak boleh belajar Ibadah & Sirah dengan cara...
22 jam yang lalu
jzk ALLAH atas tulisanya,mhn di tambah lagi ,pasal teman2 di jamiah Islamiyah Madinah,terutama dari Indon cakap Ikhwah deoband tdk ada ulama,alasanya krn persaksian dari banyak tullab India yg debat dgn org2 deoband
BalasPadamTerima kasih tuan kerana sudi mengikuti blog ini. Tulisan di atas merupakan artikel Seorang Ulama yang cukup terkenal di Malaysia dengan aliran Tajdid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya cuma menumpang keberkatan dan kreadibiliti beliau dengan meng'copy' dan 'paste'kannya daripada blog asal beliau. Saudara boleh ikuti pemikiran beliau melalui laman sesawang MINDA TAJDID atau DRMAZA.com.
Padam