Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 26 Jun 2009

Hang Tuah Dalam Kenangan, Kaunselor Pencetus Harapan

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
16 Jun 2009

Barangkali ramai di antara kita pernah menonton filem Hang Tuah, filem Melayu pertama yang berwarna. Filem ini dilakonkan oleh P. Ramlee sebagai teraju utama memegang watak Hang Tuah. Filem ini berlatar masa zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah. Filem ini sangat menarik dan boleh dikatakan berjaya menggambarkan suasana masyarakat pada zaman tersebut. Hal ini tidak menghairankan kerana sekitar tahun 50-an masyarakat kita masih belum jauh meninggalkan teks hikayat Melayu lama seperti Hikayat Hang Tuah.

Melalui filem ini digambarkan citra masyarakat Melayu yang terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan Melaka. Pada masa itu tidak ada apa yang lebih penting selain mendapat kepercayaan dan perhatian daripada Sultan. Oleh kerana Sultan berkuasa mutlak, mempunyai kuasa pemutus dan setiap titah adalah undang-undang yang perlu ditaati.

Kalau hal ini terjadi pada masa sekarang, mempunyai kuasa mutlak adalah hal yang menggerunkan. Tetapi sultan pada masa itu tetap terikat pada perlembagaan Hukum Kanun Melaka. Antara yang menarik dalam kitab Hukum Kanun Melaka ini ialah keringanan atau kelonggaran hak raja yang kadang kala dibenarkan rakyat jelata menikmatinya.

Sebagai contoh istilah “raja sehari” yang diguna bagi menggambarkan pasangan yang baru berkahwin. Pihak istana membenarkan istilah “raja” digunakan oleh rakyat kebanyakan dalam “sehari” bagi meraikan pengantin. Mungkin pada kita hari ini ianya adalah hal yang kecil tetapi pada masyarakat dahulu yang “menjunjung titah menjulang daulat”, ini adalah anugerah daripada pihak istana.

Secara ringkasnya walaupun raja tidak mencemar duli turun makan kenduri di rumah rakyat kebanyakan tetapi penggunaan istilah “raja sehari” umpama hadiah pihak istana kepada pasangan pengantin. Walaupun raja tidak berjumpa rakyat tetapi melalui kaedah ini rakyat dan raja berjaya didekatkan.

Berbalik kepada filem Hang Tuah, oleh kerana sikap dan tutur kata yang bijaksana menyebabkan beliau disenangi sultan, akhirnya menimbulkan dengki terhadapnya. Daripada dengki terhasillah khianat berupa fitnah yang dilempar menyebabkan beliau dijatuhkan hukum bunuh tanpa sebarang siasatan.

Asal mulanya perasaan dengki itu bila Hang Tuah pada hari pertama dibawa Bendahara mengadap Sultan kerana berjasa menyelamatkan Bendahara daripada diserang orang mengamuk, (kemudian kerana jasanya diangkat Sultan menjadi “Betara Dalam” jawatan pertama Hang Tuah dalam Kerajaan Melaka) telah berdatang sembah supaya para pengiring Bendahara diampunkan kesalahannya lari meninggalkan Bendahara. Sedangkan sebelum itu para pegawai istana lain yang lebih tinggi tarafnya telah berdatang sembah memohon agar para pengiring itu dihukum bunuh.

Tindakan Hang Tuah dianggap lancang sehingga menyinggung perasaan pegawai istana yang lain. Dalam filem ini, Hang Tuah (P. Ramlee) bila disindir dengan perkataan “kaduk naik junjung” menjawab : “Datuk, kalau burung enggang marah burung pipit terbang tinggi akhirnya burung enggang jua akan mati kelaparan”.

Dialog ini sewajarnya diangkat martabat menjadi salah satu prinsip dalam menjana modal insan masyarakat Malaysia. Sikap dengki khianat wujud dan bersebati dalam jiwa kebanyakan kita. Saya berpendapat Hikayat Hang Tuah difilemkan bukan untuk mengangkat martabat Hang Tuah sebaliknya untuk menyedarkan sebuah bangsa yang ketika itu baru merdeka agar membuang jauh-jauh perasaan dengki khianat.

Dengki adalah perasaan yang wujud dalam hati sanubari seseorang terhadap kejayaan seseorang yang lain. Khianat pula adalah perlakuan yang timbul kesan daripada perasaan tersebut. Dengki khianat adalah situasi di mana perasaan yang wujud dijelmakan dalam bentuk perlakuan sehingga memberi kesan negatif kepada yang didengki.

Bagaimanapun harus diingat, orang yang mendapat musibah akibat khianat merasa sakitnya selepas terkena tetapi orang yang berdengki dan melakukan khianat merasakan sakitnya sejak dari awal rasa dengki itu wujud. Jelasnya pendengki sebenarnya lebih sakit daripada yang dikhianat.

Begitulah fenomena yang melanda kita dari dulu hingga hari ini. Bangsa kita takkan ke mana sekiranya usaha tidak dilakukan untuk membendung gejala ini. Mungkin wajar difikirkan bersama dalam kalangan para kaunselor dan pegawai psikologi dengan dibantu oleh para penolong untuk menjadikan pembangunan modal insan sebagai fokus utama.

Kita tidak perlu menunggu klien di bilik kaunseling. Kita tidak perlu keluh kesah dengan akta kaunselor yang begitu susah difahami. Tidak perlu risau dengan kelayakan diri kerana belum berdaftar. Hakikatnya kita telah dilantik sebagai pegawai dan penolong pegawai psikologi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan kita terikat dengan peraturan penjawat awam.

Kalau nak diikutkan ramai individu terkenal termasuklah yang bergelar datuk mengaku mengamalkan kaunseling sedangkan mereka tak pernah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor. Setakat ini tiada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah kerana itu. Secara logik ilmu kerja sosial, di mana salahnya tindakan membantu sesama manusia tanpa sebarang balasan. Ikut logik ilmu undang-undang biarlah orang yang pakar tentangnya berbicara. Kalau ikut logik sejarah telah terbukti di zaman ada pihak berkuasa mutlak (istana) boleh bertolak ansur melalui Perlembagaan Hukum Kanun Melaka memberi kelonggaran dan keistimewaan kepada orang kebanyakan. Apa pula di zaman ini yang betul salahnya ditentukan melalui pertikaian soal teknikal di mahkamah.

Uniknya perjawatan pegawai dan penolong pegawai psikologi ialah walaupun jawatan ini terpencil sifatnya di awal kemunculan tetapi berkat susah payah kaunselor terdahulu lahirlah Akta Kaunselor yang mengangkat martabat bidang kerjaya kita. Sedangkan perjawatan lain bergantung kepada peranannya dalam sektor ekonomi sebelum dinilai perlu kepada akta atau tidak.

Perjawatan kita terlalu tinggi tarafnya sehingga kekadang tak mampu dicapai oleh rakan-rakan yang keluar dari menara gading. Institusi Pengajian Tinggi diberi julukan nama “menara gading” supaya setiap yang memasukinya akan berdiri dipuncak menara melihat rakyat marhaen dari atas dan merangka dasar untuk membangunkan bangsa. Namun sebaliknya terjadi, disebabkan hambatan material, anak bangsa kita keluar menara gading dari pintu yang dimasukinya. Kesarjanaan hanya pada segulung kertas bukan pada individu. Macam mana dia masuk begitu jugalah dia keluar.

Kalau masuk tandas sekalipun, sebelum masuk perut meragam maka selepas keluar perut mesti rasa selesa. Tetapi kita masuk universiti sekadar masuk dan keluar. Tidak ada idea baru yang hendak dicetuskan. Ikut saja orang lama kalau salah boleh tuding jari.

Hang Tuah seawal dilantik ke jawatan istana telah melakukan perubahan. Berani bertentang pendapat dengan pegawai yang lebih senior. Bukannya biadap tetapi atas dasar pengetahuan dan perasaan ihsan sesama makhluk. Sudah menjadi kebiasaan pegawai senior bangga dengan jasanya maka pegawai baru perlu berusaha menunjukkan jasa.

Adatlah jika ada orang mengumpat. Kita takkan tahu sesuatu usaha kita akan berjaya atau tidak tetapi sekiranya mula saja kita mengorak langkah mahu mengerjakan sesuatu yang baik terus saja ada umpat keji, maka teruskanlah itulah petanda awal usaha kita akan mencapai kejayaan. Saya menyebut ini berdasarkan pengalaman peribadi dan itulah yang memotivasikan saya.

Dalam ruangan ini biarlah kita berdebat bukan berJebat. Musa diangkat darjatnya oleh tuhan kerana derhakanya kepada Firaun. Baru-baru ini saya menjemput sekumpulan kaunselor dan penolong kaunselor untuk menjadi fasilitator dalam Kem Motivasi dan Jatidiri 2009. Jemputan itu saya buat secara lisan dalam sebuah perjumpaan. Sedih sekali bila kalangan penjana modal insan ini bertanya soal tempat tidur dan penginapan serta keselesaan bilik air bukannya soal pengisian program atau seumpamanya.

Menjalankan kem motivasi ibarat kita mencuci kain dengan tangan. Kalaupun kain yang dicuci tidak bersih tetapi sudah pasti tangan kita akan bersih. Kita tidak tahu sejauh mana objektif program akan dicapai tetapi pengalaman menjalankan program akan kekal bersama kita membantu meningkatkan pengetahuan dan mutu kerjaya untuk masa depan. Kalau para penjana modal insan gagal mencerap hakikat ini maka di manakah masa depan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Malaysia.

Sesuai dengan perjawatan kita yang dibina dengan pasak akta dan etika yang kukuh maka kita perlu berfikir dan bertindak untuk mencapai matlamat berjabatan dan berpremis sendiri seterusnya mempunyai ketua pengarah sendiri. Tentunya tidak dapat dicapai dalam setahun dua tetapi persediaan ke arah itu perlu ada dan persediaannya adalah para pegawai dan penolong pegawai perlu bersedia mental dan fizikal serta bersedia mengutarakan idea-idea baru untuk berkembang. Biarlah kita generasi sekarang menjadi “pengembang” dan bukan “ikut berkembang”.

Hang Tuah hidup dalam kurun ke 15 dan di zaman yang tiada universiti itulah beliau bangkit menjadi pakar diplomasi yang hebat. Di zaman itu slogan cemerlang, gemilang dan terbilang belum wujud. Tetapi itulah yang telah dicapai beliau dan masyarakat pada zamannya. Mungkin kerana Hang Tuah telah belajar dengan seorang guru yang hebat bernama Sang Adi Putra yang betapa di Gunung Ledang.

Sang Adi Putra telah mencipta kaedah yang hebat untuk memilih pelajar, beliau tinggal di puncak Gunung Ledang dalam sebuah gua. Sesiapa yang ingin menuntut ilmu dengannya perlu meredah semak belukar, hutan belantara menempuh seribu satu macam halangan dan rintangan untuk sampai kepada beliau. Hanya yang berjiwa cekal dan kental akan berjaya sampai. Catatan sejarah atau lagenda hikayat tidak menukilkan sebarang fakta atau cerita mengatakan Sang Adi Putra ada mempunyai ramai murid. Barangkali hanya Hang Tuah lima bersaudara saja muridnya tetapi kualiti pelajar yang terhasil bertaraf antarabangsa. Berbeza dengan kita sekarang keluar dari menara gading yang gah pada nama tetapi pemikiran seperti katak bawah tempurung, takut berdepan dengan masyarakat.

Dato’ Dr Siddiq Fadhil, Presiden Kolej Dar’ Al-Hikmah ketika dalam sebuah majlis konvokesyen mengungkapkan, “upacara konvokesyen bukan sekadar upacara menyerahkan segulung ijazah atau diploma kepada graduan tetapi sebenarnya menyerahkan para graduan kepada masyarakat”. Seandainya para graduan memahami ungkapan keramat ini pastinya sedar betapa berat tanggungjawab yang digalas. Tanggungjawab yang perlu direalisasikan dengan membuka seluas-luasnya ruang fikiran agar maklumat yang dicerap deria dapat dicerna menjadi idea yang seterusnya memerah keringat melaksanakan idea tersebut agar bangsa kita benar-benar menjadi bangsa yang hidup.

Biarlah ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah disaat ajal hampir tiba “takkan Melayu hilang di dunia” kita realisasikan agar Melayu bukan sekadar tidak hilang tetapi biarlah wujudnya dirasai, hilangnya dikesali.

Inilah tanggungjawab besar yang digalas oleh kita yang memegang status kaunselor, pegawai psikologi, penolong kaunselor dan penolong pegawai psikologi. Kalau kita mahu klien kita bermotivasi maka kita dahulu perlu bermotivasi, kalau kita mahu mengubah tingkahlaku klien maka kita dulu perlu berubah. Imam Hassan Al-Basri ketika hayatnya mempunyai kelebihan mengubah tingkah laku masyarakat melalui khutbah Jumaatnya. Bila beliau berkhutbah tentang solat Tahajjud maka masyarakat pada minggu tersebut berlumba-lumba bangun Tahajjud pada setiap malam begitu juga jika beliau berkhutbah berkenaan puasa sunat maka dalam minggu tersebut masyarakat akan berpuasa sunat.

Hal ini diperhatikan oleh golongan hamba abdi pada ketika itu. Mereka telah datang berjumpa dengan Imam Hassan Al-Basri dan meminta kepada beliau supaya berkhutbah tentang kelebihan membebaskan hamba abdi. Hal ini dipersetujui oleh beliau. Menjelang hari Jumaat berikutnya para hamba abdi ini menunggu dengan penuh harapan tetapi hampa kerana beliau berkhutbah tentang tajuk yang tidak ada kena mengena dengan pembebasan hamba abdi. Begitu juga dengan Jumaat seterusnya sehingga beberapa lama.

Sehinggalah pada suatu Jumaat, Imam Hassan Al-Basri akhirnya berkhutbah tentang kelebihan membebaskan hamba abdi dan kesannya seperti yang diduga, ramailah pemilik hamba abdi yang membebaskan hamba mereka. Selepas dibebaskan, bekas hamba abdi ini datang berjumpa dengan Imam Hassan Al-Basri untuk mengucapkan terima kasih dan juga protes kenapa mengambil masa yang terlalu lama untuk menyampaikan khutbah seperti diminta. Beliau menjawab, “aku terpaksa menangguhkan khutbah tersebut kerana ketika kamu datang aku belum pernah membebaskan hamba abdi. Aku terpaksa mengumpul sejumlah wang sehingga aku dapat membeli seorang hamba abdi dan aku bebaskan dia”.

Semoga kisah di atas ada manfaatnya untuk kita semua dalam memahami peranan dan tanggungjawab yang kita pikul. Jangan kita menjadi seperti kaldai yang membawa kitab. Ilmu yang ada sekadar beban yang digalas bukan digunakan.

Hang Tuah di zamannya telah mencapai kegemilangan, sampailah masanya kita memacu negara ini dengan pengetahuan yang ada mengangkat bangsa kita ke mercu martabat jatidiri. Jangan sekadar megah dengan slogan, kerana Hang Tuah mencipta slogan keramatnya diakhir hayat bukan ketika mula berkhidmat. Slogan Hang Tuah adalah kesimpulan kepada pengalaman hidup dan cintanya kepada bangsa sedangkan kita mencipta slogan untuk bermegah. Marilah kita sama-sama memantapkan pengetahuan dan memajukan diri untuk berhadapan dan berkhidmat untuk masyarakat. Selamat dan berkat untuk semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan