Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 25 Jun 2009

ORANG MELAYU DAN SILANG BUDAYA

Perkataan Melayu merujuk kepada Kamus Dewan bermaksud nama suatu bangsa dan bahasa terutama di Semenanjung Malaysia. Ada ungkapan “masuk Melayu” yang diertikan oleh Kamus Dewan sebagai mengikut cara hidup orang Melayu atau masuk Islam.

Melayu jika dinisbahkan kepada nama khas merujuk kepada suatu bangsa manakala jika dinisbahkan kepada kata kerja bermaksud perbuatan menghilangkan kesegaran pada sesuatu contohnya daun teh perlu dilayukan terlebih dahulu selepas dipetik atau daun pisang perlu dilayukan dahulu sebelum membalut kuih. Perbuatan melayu boleh dengan menjemur di bawah terik matahari atau melayurnya seketika di atas api.

Konotasi perkataan melayu dilihat dari sudut kata kerja membawa maksud yang negatif bila dinisbahkan kembali kepada sebuah bangsa. Bangsa yang layu tidak mungkin membina peradaban, tidak mungkin menjadi pelopor kepada idea-idea baru yang mampu mengubah atau mencorak dunia.

Bagaimanapun dilihat dari sudut sejarah, ternyata bangsa Melayu tidak tandus peradabannya. Bermula dengan kerajaan Sriwijaya yang beragama Hindu, Sambojaya, Langkasuka, Kataha, Syailendra, Kalinga, Mataram, Kediri, Singasari, Majapahit, Darmasyraya, Aditiawarman, Pagaruyung, Majapahit dan Semundra Pasai.

Kerajaan Semundra Pasai merupakan kerajaan pertama memeluk Islam daripada agama Hindu. Melayu pertama memeluk Islam bernama Merah Silu raja kepada kerajaan tersebut. Merah Silu kemudiannya menukar nama kepada Sultan Al-Malikul Saleh.

Setelah raja memeluk Islam maka tiada halangan besar untuk rakyatnya beransur-ansur memeluk Islam. Sesuai dengan ajaran Islam yang tidak pernah menolak adat dan budaya tempatan selagi mana tidak bercanggah dengan akidah.

Masa berlalu dan generasi berganti, hari ini bangsa Melayu sudah lupa sejarah. Entah kenapa walaupun bangsa Melayu dikatakan sebagai bangsa yang kaya dengan budaya dan adat resam namun amalan membaca bukan menjadi tradisi Melayu.

Seringkali didengar perkataan ibu, ayah atau datuk nenek menegur anak cucu “kata orang tua-tua...”. Siapa orang tua itu tidak dapat dipastikan. Adakah namanya Socrates, Plato atau Aristotle tak siapa yang tahu. Merakamkan idea dalam bentuk tulisan agaknya bukan budaya Melayu.

Mempelajari sastera klasik kita akan menemukan nama besar penulis tersohor seorang Bendahara Kerajaan Johor Riau bergelar timang-timangannya Tun Seri Lanang. Walaupun terdapat banyak lagi hikayat-hikayat lama namun tak diketahui pengarangnya. Kemudian kita akan berjumpa lama selepas itu yang digelar Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah. Malangnya Munsyi Abdullah bukanlah Melayu tulen. Beliau berketurunan Tamil beragama Islam.

Bagaimanapun orang Melayu hari ini patut berterima kasih kepada si Tamil ini kerana jika diharapkan kepada Melayu tulen maka tiadalah langsung khazanah sastera bangsa kita. Sedih dan sayu rasa hati bila diimbas kembali sejarah bangsa. Patutlah ramai Melayu yang layu tidak mahu membaca dan mengimbas sejarah, mungkin kerana terlalu meruntun emosi jati diri Melayu tulen.

Terlepas daripada persoalan emosi yang kaku dan bisu, mari kita telusuri keadaan bangsa kita kini menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-52 bulan Ogos akan datang. Dibandingkan dengan pembangunan fizikal ternyata modal insan kita jauh ketinggalan. Ruang pemikiran antara generasi jauh berbeza. Institusi keluarga di negara ini kian runtuh hari demi hari. Ibu bapa hilang kawalan ke atas anak-anak kerana jika dikawal anak-anak akan memberontak. (Inilah fakta lazim ditemui setiap kali menjalankan Bengkel Interaktif).

Maka paling mudah untuk keluar daripada masalah ini keluarga menggunakan mekanisme beladiri menyalahkan orang lain seperti masyarakat, guru, pemimpin dan sebagainya. Menariknya bila golongan yang disalahkan turut tidak mahu kalah bangkit menyalahkan yang lain. Putaran ini telah sekian lama berlaku dalam negara kita sehingga akhirnya sedar atau tidak seluruh masyarakat telah menerima budaya menyalahkan ini sebagai suatu yang normal sehingga menjadi norma.

Bangsa Melayu menerusi Kerajaan Melayu Melaka mencapai kegemilangannya kerana ramainya dagang santeri yang datang berniaga dan kemudian terus bermastautin. Berkahwin dengan wanita tempatan kemudian membentuk generasi berkualiti menerusi asimilasi ini. Sultan Melaka sendiri, Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Hang Li Po, puteri Maharaja China.

Kegemilangan Melaka juga turut disumbang oleh sistem urus tadbir yang baik di bawah kelolaan Bendahara Seri Maharaja seorang Melayu yang mempunyai darah keturunan Tamil. Portugis hanya berjaya menawan Melaka selepas Bendahara Seri Maharaja dijatuhkan hukuman bunuh dalam skandal merebut puteri Bendahara, Tun Fatimah.

Sewajarnya dalam keadaan sekarang dengan limpahan warga berbilang kaum, Malaysia sewajarnya lebih maju berbanding negara-negara Harimau Ekonomi yang lain. Semasa Melaka di puncak kegemilangannya, warga Jepun masih leka dengan tradisi jumud mereka mengagungkan budaya Samurai sehingga mereka tewas kepada bangsa Monggul.

Lebih 50 tahun kita masih gagal berasimilasi antara kaum. Perkahwinan campur patut digalakkan. Biarlah kita meriah dengan keluarga yang berbagai warna kulit daripada sekadar meriah dengan paluan kompang dan tepung tawar. Istiadat tepung tawar walaupun terus dipertahankan tetapi gagal menawar geruh dalam rumah tangga. Walaupun sesama bangsa dan sama cara hidup tetapi kadar perceraian dalam kalangan Melayu masih tinggi. Melayu masih menang sorak kampung tergadai.

Walaupun sibuk berkokok ke sana ke mari mendendangkan kemajuan yang telah dicapai namun sangat menggerunkan bila didapati minda pemikiran Melayu masih ditakuk lama. Melayu sekarang bukan membina kepercayaan, keyakinan terhadap jati diri tetapi terus menerus kekal dalam kepercayaan karut marut yang tiada asas logik dan boleh dijadikan wadah melonjakkan bangsa Melayu ke takah yang lebih tinggi.

Melayu lebih disibukkan saban hari dengan cerita hantu polong walaupun tinggal di tengah kota metropolitan. Tentu ada yang pernah mendengar khabar angin pernah ternampak hantu ketika menaiki LRT Putra melintasi Kampung Baru Kuala Lumpur kerana khabarnya terowong tersebut melalui bawah kawasan kubur. Sistem Transit Aliran Ringan dibawa ke negara ini bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang semakin mendesak seluruh warganya. Sepatutnya warga Kuala Lumpur bersungut tentang masalah kelewatan train atau perlunya menambah laluan ke seluruh Kuala Lumpur dan seterusnya keluar ke seluruh Lembah Kelang. Sudahnya cerita hantu pula yang keluar.

Kalau betul sekalipun ada hantu tak mungkin terowong itu ditutup kerana telah menelan belanja yang besar. Sedangkan ada terowong yang lebih kecil yang “hantunya” telah merogol gadis bawah umur masih terus dikekalkan dengan ingatan dan amaran agar tidak melalui terowong tersebut berseorangan demi keselamatan.

Demikianlah kita generasi hari ini berfikir tanpa menaakul. Setiap pemikiran yang dicetuskan seharusnya mengikut landasan yang menghala kepada kemajuan. Dasar-dasar yang telah digazetkan kerajaan sepatutnya boleh menjadi landasan melapangkan kotak fikir Melayu. Tetapi kita lebih senang hidup kita dicorakkan orang lain supaya bila berlaku kesilapan dengan mudahnya kita boleh menuding jari.

Bangsa Melayu mempunyai citra budaya yang cukup indah dan tersusun. Ketika bangsa lain memandang wanita sebagai warga kelas kedua, Melayu telah mencipta budaya Pepatih yang melebihkan kaum Ibu. Maju mundur bangsa kita akan terjamin sekiranya kita sedia kembali berasimilasi dengan kaum lain dalam negara ini.

Melayu adalah bangsa pengembara, pelaut yang handal, meredah samudera melangkaui dunia. Bila Melayu terperuk dihujung kampung seperti mana yang dihajatkan penjajah maka selagi itulah kita tak akan dapat mengapai kembali kegemilangan seperti yang pernah dicapai oleh Kerajaan Melaka ketika Sultan Mansur Shah memerintah, Bendahara Tun Perak mentadbir dan Laksamana Hang Tuah menjalankan diplomasi antara negara.

Rujukan:

A. Samad Ahmad, 1997. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Dr. Hamka, 2002. Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
23 Mei 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan