Dato' Zaid Ibrahim
Thu | Aug 27, 09 | 1:30:38 pm MYT
Rasa gembira dan puas hati selepas berkempen di Permatang Pasir bertukar menjadi gelisah dan penuh kebimbangan. Dalam keadaan negara yang tak menentu di mana rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, api perkauman dimainkan oleh Umno dan media miliknya serta kes yang melibatkan kematian petugas Pakatan Rakyat, tiba-tiba YB Hasan Ali, Exco Selangor, mengeluarkan kenyataan pada hari membuang undi di Permatang Pasir bahawa orang-orang Islam yang didapati minum beer atau arak akan ditangkap oleh pegawai-pegawai Majlis dan Jabatan Agama yang akan diberi kuasa.
Apa niat sebenar beliau? Nampak nya begitu yakin sekali ketua PAS ini dengan kekuatan mereka sekarang hinggakan sanggup mengambil risiko ini.
Saya kata risiko kerana tidak cukup dengan itu, Hasan Ali juga akan menangkap orang Islam yang berkerja di tempat minumam itu dijual atau ada kaitan secara langsung dengan penjualan itu.
Mengikut laporan berita beliau menyatakan bahawa orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Nampaknya ini akan melibatkan pekerja Melayu dalam hotel, bar, pub dan mana-mana tempat yang menjual beer atau arak seperti kedai runcit, kedai 7-Eleven dan banyak lagi. Drebar lori yang kerjanya mengangkat minuman haram itu juga mungkin dikenakan tindakan. Mungkin juga pegawai kastam yang menilai cukai barangan itu juga dikenakan tindakan.
Kalau kita ikut lojik YB itu, semua pegawai Perbendaharan dan Kementerian Kewangan juga bersalah kerana membenarkan beer dan minuman yang dianggap haram dijual di Malaysia, kerana ia membolehkan orang Islam membelinya. Saya tidak tahu bagaimana penguatkuasaan arahan seperti itu akan dilaksanakan tanpa kerumitan yang besar.
Saya juga hairan mengapa Hasan Ali ghairah mahu menangkap orang dan tidak pula mencadangkan perkara yang lebih mudah dilaksanakan. Sepatutnya semua beer dan minumam keras diharamkan sahaja di seluruh Selangor, barulah ada keadilan sejagat.
Bukan ikan bilis saja jadi sasaran, malah orang elit pun tidak boleh atau selindung di sebalik undang-undang. Nanti bila PAS mengambil alih Putrajaya, boleh lah pula diharamkan beer dan minuman keras di seluruh negara.
Ini samalah seperti cara kerajaan mengharamkan dadah di negara ini. Inilah saja cara kita boleh memastikan orang Islam tidak dimalukan di khalayak ramai apabila didapati bersalah seperti keadaannya sekarang ini. Cara-cara yang lain hanya akan menyusahkan orang yang tak ada kena-mengena dengan perbuatan itu iaitu minum minuman keras.
Ketua Pemuda PAS pun tak kurang hebatnya kerana mendesak kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan pop Michael Learns To Rock yang akan diadakan di Genting tidak lama lagi.
Saya tak faham apa tujuan bantahan itu dibuat. Saya juga tak pasti sama ada puluhan ribu umat Islam akan ke Genting, tempat perjudian antarabangsa yang diluluskan oleh kerajaan, untuk menonton konsert itu.
Lagipun, kalau konsert itu tidak dibenarkan sekali pun, orang Islam yang berminat masih boleh menonton DVD kumpulan itu setiap hari.
Kalau pun tak ada DVD pun, masih boleh download dari internet atau mendengar lagu-lagu kumpulan itu di radio dan TV. Jadi apa hasil dari perbuatan mengharamkan konsert itu? .
Jangan lah ikut pemimpin BN/UMNO yang membenarkan konsert tapi kerana penaja konsert itu syarikat minuman keras maka orang Islam tidak dibenarkan menonton. Kita sudah menjadi Negara �apartheid� sekarang ini.
Bezanya kita guna agama untok memisahkan rakyat dan regim apartheid Afrika Selatan gunakan ras atau warna kulit . Jangan lah mengambil pendekatan mudah saperti BN dan UMNO. PAS mestilah menunjokan keupayaan membuat keputusan mentadbir yang lebih harmonis, lembut dan mengambil kira semua aspek kehidupan.
Kalau tidak rakyat yang lebih sederhana pemikiran dan amalan hidup mereka, dan dari golongan muda akan menganggap PAS parti yang eksterem. Ini akan menjejaskkan peluang PAS untuk memerintah Kerajaan Pusat.
Mungkinkah PAS sekarang tidak berminat lagi untuk menang pilihan raya atau memerintah Kerajaan Pusat kerana lebih suka berjuang untuk mengharamkan itu dan ini daripada menggunakan hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana yang diajar oleh tokoh-tokoh besar Islam?
Malah, dari peringkat tertinggi PAS pula, Timbalan Presidennya Nasharudin Mat Isa mendesak kerajaan supaya mengekalkan hukuman rotan terhadap seorang wanita Islam yang didapati bersalah minum beer. Pemimpin PAS itu merasakan itulah cara terbaik untuk menunjukan amalan Islam kepada dunia.
Orang orang 'kafir' di Barat yang mendalam ilmu 'jurisprudence' hukum mereka, selalunya tidak mengenakan hukuman berat kepada orang yang melalukan kesalahan buat kali pertama, kecuali bila menerima hukuman mandatori.
Mereka mengambil kira fakta lain dalam pertimbangan mereka bagi pesalah kali pertama, terutama bagi yang orang yang telah mengaku secara sukarela bahawa mereka bersalah. Dalam kes wanita Islam itu, dia telah pun mengaku salah dan menyesali perbuatannya. Setahu saya cerdik-pandai agama Islam juga banyak bercerita tentang firman-firman Allah yang menggalakkan kita supaya memaafkan orang yang sedar perbuatan salah mereka.
Dalam hal ini saya menganggap tindakan dan kenyataan Perdana Menteri supaya hukuman rotan ini digunakan sebagai langkah terakhir atau 'last resort' adalah wajar dan berpatutan.
Ingatlah Islam bukan agama birokrasi; ia penuh hikmah dan kebijaksanaan. Kalau tidak masakan tamadun Islam begitu gemilang dan dihormati dunia pada suatu masa dahulu.
Jadi saya harap Mahkamah Syariah di Pahang tak payahlah tunggu pesalah membuat rayuan; mereka ada kuasa untuk menyemak dan mengkaji semula keputusan mereka, sama seperti mahkamah-mahkamah lain di dunia ini.
Saya juga berharap bahawa rakan-rakan PAS saya dalam Pakatan Rakyat supaya memikirkan semula perkara ini. Jika benar kita berjuang untuk menegakkan keadilan, perkara paling utama yang mesti kita perangi habis-habisan adalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta perbuatan mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.
Semua ini boleh menghancurkan masyarakat. Pengalaman menunjukan bahawa ada kerajaan Islam di luar negara hari ini yang ghairah nak tangkap dan sebat orang Islam masih bergelumang dengan najis rasuah dan penyelewengan.
Banyak pula anak muda mereka terjebak dengan dadah, dan mengandong tanpa bapa.
Banyak lagi perkara yang Pemuda PAS boleh memberi perhatian yang hasilnya tentu lebih memberi manfaat kapada orang Islam. Imej Islam yang macam mana kita mahu mempamerkan?
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan