Friday, July 31, 2009
Pemilikan Asing Manifestasi Dasar Liberalisasi
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
PEMILIKAN senyap-senyap oleh syarikat pelaburan Hong Kong, Wang Tak Company Limited, ke atas 31 peratus saham Bernas adalah realiti pasaran bebas.
Inilah contoh liberalisasi dan globalisasi yang sangat-sangat diraikan sekarang. Sesiapa pun yang ada wang -- macam Wang Tak -- boleh membeli saham syarikat di negara kita. Malah menguasainya terus atau membawanya keluar daripada bumi kita ini.
Sama ada pembelian diam-diam oleh Wang Tak itu berlaku sebelum atau selepas Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan langkah-langkah liberalisasi pasaran modal dan pemilikan saham bukanlah soalnya.
Pada Era Abdullah Ahmad Badawi beberapa buah syarikat raksasa di Bursa Malaysia “dipersendiriankan” (taken private) dan dipindahkan ke luar negara. Ini termasuklah Maxis Communications Berhad dan Perlis Plantations Berhad. Atau dibeli oleh pelabur asing seperti Pantai Holdings Berhad.
Kita tentu masih ingat bagaimana Abdullah mendakwa tidak ada syarikat Malaysia yang jatuh ke tangan orang asing tetapi terpaksa mengakui bahawa Pantai Holdings sudah dibeli dan dimiliki oleh Parkway Holdings Singapura.
Akhirnya Khazanah Nasional dikerah membeli balik operasi Pantai Holdings di Malaysia dengan harga yang berganda tingginya daripada harga yang dibayar oleh Parkway untuk menguasai Pantai Holdings.
Nampak-nampaknya inilah yang mungkin terjadi kepada Bernas yang terpaksa dibeli balik dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Wang Tak.
Itulah yang dibayangkan oleh Menteri Perdagangan Antara dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, apabila beliau berkata Bernas merancang membeli balik sebahagian daripada saham yang dipegang oleh Wang Tak itu.
Tetapi apa atau siapakah Wang Tak ini? Menurut laporan akhbar The Star pada tahun 2007, Wang Tak adalah syarikat milik penuh Lee Hing Development Ltd (LHD). LHD disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong.
Dua orang pengarah LHD adalah Tan Boon Seng dan Ang Guan Seng yang terkenal dalam dunia korporat Malaysia. Tan adalah pengarah eksekutif IGB Berhad dan Ang pengarah urusan Petaling Garden Berhad.
Mengikut laporan-laporan media massa, selain Wang Tak, pemegang saham utama Bernas adalah Budaya Generasi yang memiliki 30.8 peratus dan Serba Etika 6.46 peratus. Budaya Generasi dikaitkan dengan usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Persoalannya sekarang adalah bagaimana Wang Tak boleh mengumpul dan menaikkan pemilikannya daripada sekitar 18 peratus pada tahun 2007 kepada 31 peratus sekarang tanpa dikesan oleh agensi-agensi kawal selaras seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara hatta Kementerian Kewangan.
Apatah lagi kerajaan pusat melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang saham pilihan yang boleh ditebus (redeemable preference share) atau lebih kenali sebagai saham emas di dalam Bernas. Saham istimewa itu memberikannya kuasa pembatal bagi melindungi kepentingan awam. Lazimnya kerajaan mempunyai dua orang wakil dalam Lembaga Pengarah Bernas.
Atau mengapakah Bursa Malaysia tidak tahu atau tidak dimaklumkan sedangkan semua jual-beli saham yang melebihi lima peratus saham berbayar sesebuah syarikat wajib dimaklumkan kepadanya?
Kalau bursa tidak dimaklumkan, penyiasatan perlu dibuat kerana perbuatan itu melanggar peraturan penyenaraian. Adalah juga kesalahan jika beberapa pihak berpakat (acting in concert) membeli saham Bernas bagi pihak Wang Tak.
Bank Negara pula boleh menyiasat peristiwa ini di bawah Akta Tukaran Asing dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Anti-Money Laundering Act ).
Dalam dunia tanpa sempadan, wang Malaysia boleh mengalir ke Hong Kong atau Singapura dan kembali semula bertopengkan pelaburan asing. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini banyak syarikat raksasa tempatan membawa keluar berbilion ringgit atas alasan melabur di luar negara.
Kesimpulannya, jika urus niaga ini tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kerajaan kita sendiri menggalakkan kemasukan wang asing ke Bursa Malaysia.
Tidak guna kita menjadi emosional atau mengungkit kononnya Bernas strategik kepada keselamatan negara kerana inilah implikasi muktamad dasar liberalisasi yang diuar-uarkan itu.
Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh menyekat kemasukan modal asing atau kepulangan modal tempatan bertopengkan pelaburan asing. Inilah yang dipanggil globalisasi ekonomi dan modal tanpa sempadan.
Apabila kerajaan kita sendiri melaksanakan liberalisasi pemilikan ekuiti, pasaran saham dan perbankan, kita kenalah terima kemungkinan akan ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan pelabur asing.
Bagi pelabur asing ini adalah amalan biasa. Mereka suka melabur dalam syarikat-syarikat strategik seperti makanan dan pertanian, infrastruktur, telekomunikasi dan tenaga.
Mereka tahu kerajaan tidak akan membenarkan syarikat strategik ini muflis. Jadi pelaburan mereka selamat dan mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam ekonomi negara tuan rumah.
Inilah erti sebenar dan nyata liberalisasi dan globalisasi ekonomi.
Maklumat Mutakhir: Mengikut Laporan Tahunan Bernas, pada 22 April pemegang utama saham Bernas adalah Budaya Generasi 30.79 peratus, Wang Tak 29.56 peratus, Serba Etika 6.39 peratus, Lembaga Tabung Haji 6.24 peratus dan Batu Bara 4.69 peratus.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan