Kita sekarang berada di penghujung tahun 2009. Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan berjaga sehingga dinihari menonton tv melihat sambutan tahun baru di seluruh dunia. Bagaimana dengan azam tahun lepas...? Sudah terlaksana semuanya?
Kalau soalan tersebut dipulangkan kepada saya jawapannya ada yang telah terlaksana dan ada yang belum. Bagi yang telah terlaksana setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi manakala bagi yang belum dipanjatkan doa moga berjaya di tahun 2010 nanti.
Bahagianya sambutan tahun baru kali ini adalah kerana hampirnya dengan tarikh 1 Muharam 1431 Hijrah. Nampaknya tahun ini azam kita seiring dengan tahun Hijrah. Moga-moga kelebihan ini kita manfaatkan sama-sama supaya jiwa kita lebih dekat dengan kalendar Hijrah.
Biasanya kalendar hijrah hanya dipedulikan dalam bulan Ramadhan sahaja. Bagi yang berkerja kalau ianya menjadi tarikh cuti maka ingatlah kita. Saya tidak bercakap untuk orang lain tetapi itulah saya. Sengaja saya menulis begini untuk mengingatkan diri sendiri.
Tahun 2009 saya membeli sebuah komputer riba maka tahun 2010 saya berazam untuk lebih aktif dengan dunia siber. Sekitar bulan 10 atau 11 2009 saya menghantar artikel ke sebuah akhbar arus perdana namun mungkin kerana tiada nama yang besar di arus perdana maka rasanya artikel saya itu dibakul sampahkan. Maka saya akan terus menggunakan laman blog untuk berkongsi idea.
Biasanya saya kurang peduli dengan apa juga yang berlaku di dunia IT. Maklumlah saya bukan pelajar bidang IT ataupun mempunyai rakan-rakan yang tahu tentang IT. Dua tahun lepas saya disindir oleh bapa saudara saya di majlis hari lahirnya kerana tidak tahu processor terkini. Maka tahun ini setelah mempunyai komputer riba sendiri saya akan lebih "up to date" dalam bidang IT.
Saya mula kenal komputer melalui cerita omputeh dalam TV masa masih di sekolah rendah. Masa tu saya ingat komputer lebih pandai daripada orang. Saya begitu cemburu melihat sebuah komputer lama yang dah tak boleh digunakan terletak tunggu masa untuk dibuang di atas meja tulis di rumah kawan saya. Rasanya komputer itu milik pejabat ayahnya. Pada saya ketika itu komputer lambang kecanggihan yang paling canggih.
Umur mencecah 30 tahun dan beranak seorang ini barulah saya merasa komputer sendiri yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri. Masa saya mengisi borang untuk mengeluarkan caruman KWSP memang telah terpahat di hati untuk memiliki komputer peribadi. Syukur terlaksana juga hasrat yang saya pendam dari kecil. Rupa-rupanya nikmat yang ditangguhkan Allah memberi nikmat yang berganda-ganda bila diperolehi.
Sesekali sekarang ini terasa juga kelucuannya bila disebabkan kemaruk baru mendapat komputer saya sering dirungut oleh isteri tercinta. Maklumlah semua kerja rumah terpulang ke pundaknya saya leka membelek komputer. Syukur orang rumah saya bukan jenis berleter. Kalau tak mahu luruh telinga ini dibuatnya. Namun saya akur memang silap saya sendiri juga.
Di hujung-hujung tahun ni juga saya menerima banyak ucapan tahniah kerana akan naik pangkat. Saya tersenyum lebar mendengarkan ucapan itu lalu mengucapkan terima kasih. Namun jauh di sudut hati berita ini saya dengar sejak bulan Mac yang lalu. Sampai sekarang abuk pun tarak... namun bagi saya dan rakan-rakan yang senasib, biasalah kita kerja dengan gomen...
Tahun 2009 juga menyaksikan pertukaran pengetua PPKKS. Pengetua lama kembali dipanggil bertugas di Pejabat Menteri KPWKM. Tahniah untuk beliau. Sekarang dengan pengetua baru maleh saya nak ulas...mungkin warga JKM PKMD Hulu Langat lebih arif untuk mengulasnya...
Team Pegawai dan Penolong Pegawai Psikologi JKMN Selangor rancak bertukar orang ada yang dapat jawatan baru dan ada yang baru masuk. Saya pernah cakap besar dengan kawan-kawan dari negeri lain. Selangor sekarang dah ada team yang cukup mantap. Kami akan buat lebih banyak program dengan tenaga yang lebih ramai. Nampaknya saya perlu menarik balik kata-kata saya dan memohon maaf secara terbuka.
Bagaimanapun demi menjaga ego, saya tangguhkan dulu permohonan maaf dan hasrat untuk menarik balik kata-kata saya itu. Seboleh mungkin bermula dalam bulan Disember ini saya merangka beberapa aktiviti yang mungkin berguna untuk memantapkan kerjasama dan gerakkerja team Kaunselor Selangor.
Lebih baik kalau saya katakan bahawa dalam tahun 2009 adalah proses mengenal hati budi rakan-rakan dalam team kaunselor. Apapun jangan putus asa dan teruskan perjuangan. Dulu team kaunselor di pelbagai peringkat merungut dengan sikap PKM yang kurang memberikan kerjasama ataupun adakalanya enggan memberikan kerjasama. Setiap kali ada kursus atau perjumpaan bersama sekitar tahun 2006 dan 2007 itulah tajuk yang paling popular.
Saya sangkakan bila kaunselor makin bertambah maka team akan makin kuat dan digeruni namun saya tersasar. Bila makin ramai kita cenderung untuk kutuk-mengutuk sesama kita. Saya tak pasti di tempat lain tetapi itulah pengalaman saya. Namun saya tidak bermaksud mengatakan ianya terlalu serius. Bahkan hal ini hanya sekadar cakap-cakap belakang di angin lalu. Depan kita dia bercakap, depan tuan punya badan langsung tak bunyi. Di kala begini saya teringat betul dengan indahnya suasana di Rumah Pengasih dulu...
Namun tanpa kesilapan kita tak tahu apa yang betul dan terbaik. Masalah mencetuskan penyelesaian. Setiap halangan merangsang arus fikir untuk bergetar disegenap urat darah bagi merentasi cabaran. Maka harapan saya tahun ini suasana Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor akan ada perubahan positifnya. Kita bukan sekadar perlu berkerjasama tetapi mestilah dilihat berkerjasama.
Salam dan berkat untuk semua.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan