Ikan lumba-lumba binatang yang amat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Mereka bijak dan mampu menceriakan sesiapa sahaja. Ikan lumba-lumba adalah mamalia seperti juga kita manusia.
Di kebanyakan negara, ikan lumba-lumba dilindungi daripada eksploitasi dan penyeksaan. Data menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 2,700 ikan lumba-lumba ditangkap dari habitat asal mereka.
Kira-kira 53 peratus akan mati dalam masa 90 hari dan setengah daripadanya mati dalam dua tahun pertama akibat terseksa di tempat baru.
Kematian ini kerana ia tidak boleh menyusuaikan diri. Kajian menunjukkan bahawa ikan lumba-lumba antara haiwan yang tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dalam kurungan walau selama mana mereka dilatih. Naluri semulajadinya bebas di lautan, melompat dan terus bergerak.
"The Dolphins and Sea Lion Show" yang dibawakan oleh sebuah syarikat menampilkan dua ekor ikan lumba-lumba bernama Rio dan Karon dan sepasang singa laut bernama Gendon dan Brad menunjukkan bagaimana Malaysia dan rakyatnya langsung tidak sensitif mengenai hak dan isu eksploitasi binatang.
Saya berasa dukacita haiwan-haiwan ini dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia. Binatang-binatang ini diusung dari Kuala Lumpur, kemudian ke Pulau Pinang dan Johor selama tiga bulan berturut-turut.
Cubalah bayangkan bagaimana terseksanya haiwan ini apabila diusung ke sana ke mari hanya kerana ingin memberi "hiburan" kepada manusia.
Rio and Karon dipaksa melakukan tiga pertunjukkan sehari pada hari biasa dan sehingga lima pertunjukkan sehari pada Sabtu dan Ahad! Bayangkanlah betapa penatnya mereka. Sudahlah mereka dikurung dalam penjara buatan manusia.
Jika kita disuruh bekerja melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, pasti ada perasaan derita di hati, bukan? Sekurang-kurangnya kita dibayar gaji dan tidak dikurung dalam penjara.
Mamalia ini cuma diberi makan ikan mati, yang tidak pula mereka gemari! Diet ikan lumba-lumba adalah ikan hidup yang segar!
Binatang ini juga mempunyai perasaan. Sayangnya perasaan ikan lumba-lumba tidak mampu dizahirkan di wajah mereka. Hakikatnya otot di muka ikan lumba-lumba tidak boleh bergerak.
Oleh sebab itu, sedih atau takut, sakit atau sihat, mereka akan kelihatan seperti "tersenyum" sentiasa.
Persembahan singa laut dan ikan lumba-lumba ini tidak memberi secebis pun maklumat atau pengajaran berguna kepada penonton, yang rata-ratanya terdiri dari golongan anak-anak.
Tidak ada sedikit pun cerita mengenai binatang ini, dari mana asalnya, bagaimana habitatnya, apa yang mereka gemari?
Mesej yang diberikan kepada penonton adalah – "tidak mengapa kita bersuka ria, dan bertepuk tangan; tidak salah kita menangkap ikan lumba-lumba ini dan memaksa mereka menghiburkan kita; melayan binatang seperti objek hiburan adalah perbuatan yang boleh diterima".
Muzik yang kuat dan pengacara yang menjengkelkan membuatkan saya merasa begitu simpati sekali kepada haiwan-haiwan ini.
Di akhir pertunjukan, puluhan manusia akan beratur panjang untuk mengambil gambar dengan ikan lumba-lumba ini dan dikenakan caj tambahan RM15. Ikan lumba-lumba tidak suka disentuh oleh begitu ramai orang!
Memegang ikan lumba-lumba dengan sesuka hati menyebabkan mereka berasa tertekan yang amat dahsyat. Tekanan ini menyebabkan usus dalaman mereka rosak dan ia boleh membawa kematian.
"Tempat tinggal" Ria dan Karon terlalu kecil pada pandangan saya. Ikan lumba-lumba di lautan menyelam sehingga 150 kaki dan melompat serta berenang beratus-ratus kilometer jauhnya. Penjaranya kini cuma 2.5 meter dalam!
Saya seperti mahu mengalirkan air mata.
Menurut pekerja yang bertugas, sangkar singa laut lebih kecil lagi. Cara binatang ini dieksploitasi menunjukkan bahawa manusia sememangnya sangat tamak dan tidak berperikemanusiaan.
Haiwan-haiwan ini dikerah bekerja bagi segelintir orang untuk mendapat pulangan. Jika Malaysia mahu mencapai status negara maju, pertunjukan sebegini sepatutnya diharamkan.
Saya pasti negara-negara maju tidak akan membenarkan pertunjukan yang jelas menyeksa binatang diadakan di negara mereka.
Saya lebih terkejut lagi apabila melihat logo Tourism Malaysia tertera di kain rentang pertunjukan ini, walhal hakikatnya Tourism Malaysia tidak pernah bekerjasama dengan penganjur.
Bagaimana mereka dengan sesuka hati boleh meletakkan logo Tourism Malaysia tanpa kebenaran? Dan siapakah yang membenarkan pertunujkkan ini masuk ke Malaysia?
Bukalah mata anda semua, bersuaralah dan hentikanlah kekejaman ini! Ikan lumba-lumba ini sepatutnya bebas berenang di lautan bersama keluarga mereka!
Saya pasti Malaysia, kerajaan, wakil rakyat, NGO dan rakyatnya peka kepada nasib malang binatang-
binatang ini.
http://www.malaysiakini.com/letters/120436
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
Sejam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan