Salam ustaz
Merujuk kepada cit chat kita dalam tampalan ustaz dalam FB berkenaan dengan solat Jumaat pada hari raya yang mana ustaz menyanggah pandangan fiqh Dr Asri.
Saya tidak ingin berbahas dengan ustaz berkenaan dengan fiqh atau dalam bahasa yang lebih tepat saya sebenarnya tidak mampu berbahas dengan ustaz dalam soal ini kerana jurang pengetahuan yang sangat luas. Sebenarnya di sini saya ingin menyuarakan rasa hati saya sebagai umat Islam kategori awam yang cetek ilmu pengetahuan tetapi AlhamdulilLah diberikan hidayah timbul minat untuk belajar agama secara berdikit-dikit.
Saya percaya dalam masyarakat kita masa kini majoriti umat Islam termasuk dalam kategori yang sama seperti saya. Tentunya orang yang seperti kami amat memerlukan ilmuan seperti ustaz dan Dr Asri dan lain-lain ilmuan agama sebagai pembimbing.
Manusia seperti kami bukan sahaja cetek dari segi fiqh bahkan juga lebih menyedihkan ceteknya dalam bidang akidah dan ibadah. Kami bukan setakat memerlukan pimpinan bahkan juga tuntunan daripada para ilmuan yang memegang amanah kendali umat.
Kami mendengar ceramah para ilmuan, kami juga mendengar dakyah para munafik dan propaganda musyrik. Sesekali kami keliru dan kembali dicerahkan oleh para ilmuan. Kami dimaklumkan bahawa kelemahan umat Islam masa kini disebabkan kita tidak bersatu padu.
Mengharapkan ideologi nasionalisme Melayu yang ternyata gagal maka kami kembali kepada Islam yang syumul. Kami beralih daripada politikus sempit kepada ilmuan yang mengajar tentang keluasan, kebebasan, keadilan dan kecerahan Islam. Kami mahu bersatu dibawah panji-panji Islam, berteduh dibawah rendangnya ilmu para ilmuan.
Alangkah malang kalau antara para ilmuan sendiri bercakaran. Apakan terjadi pada nasib orang awam seperti saya dan yang lainnya yang baru berjinak dengan Islam. Apa yang dapat saya sampaikan kepada generasi anak-anak saya yang masih mentah kalau saya sendiri masih keliru dan dikelirukan.
Maka saya diberitahu melalui ceramah yang saya ikuti lewat Youtube, Islam amat rigid dalam soal akidah dan ibadah khusus tetapi berlapang dada dalam soal fiqh. Islam itu mudah dan bukan menyusahkan. Ilmu akidah yang menjadi teras ajaran Islam adalah ilmu yang paling ringkas dan mudah difahami sama ada oleh cendiakawan di universiti, peniaga di bursa saham atau petani di sawah.
Ketika di Habsyah Jaafar bin Abi Talib berjaya memberi penerangan tentang Islam kepada Najasyi yang beragama Kristian sehingga beliau memeluk Islam secara senyap. Sudah tentu sebagai raja dan beragama Kristian yang taat beliau adalah seorang intelek namun penjelasan Jaafar bin Abi Talib masuk akal pada raja sehingga menyentuh nuraninya.
Islam juga disampaikan kepada Arab Badwi yang boleh kita samakan sebagai jakun dalam masyarakat kita tetapi kerana mudahnya akidah Islam ia juga turut difahami oleh si Arab Badwi tadi.
Ramai dalam kalangan masyarakat yang ingin kembali kepada Islam, disebabkan itulah siapa saja yang sanggup mengetuk pintu hati mereka maka mereka mudah mengikutnya. Sebab itulah ajaran sesat begitu mudah tersebar. Pendakyah ajaran sesat begitu komited mencari pengikut manakala orang awam pencari hidayah ini dalam kegelapan ilmu menurut saja yang mana paling hampir dengannya dan dirasakan boleh dipercayai. Bayangkan kalau hal ini terjadi berkali-kali akan lunturlah semangat si pencari hidayah yang baru mahu berjinak hatinya mencari Islam. Sedangkan para ilmuan sibuk berbahas tentang soal fiqh yang masing-masing ada dalil.
Sekiranya para ilmuan berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan umat dalam soal fiqh yang diperselisihkan maka naiklah masing-masing atas satu pentas dan berdebatlah. Di akhir debat tersebut buatlah kesimpulan dan hasil kesimpulan itulah yang disampaikan kepada orang awam seperti kami. Janganlah soal fiqh seperti itu dibahaskan di laman sosial. Walaupun ramai diantara kami yang tidak memberi komen namun kami membaca.
Saya ingin menegaskan sepanjang saya mengikuti ceramah ataupun tulisan Dr Asri saya tidak pernah mendengar atau terbaca sebarang kritikan beliau kepada ustaz sama ada dalam bahasa yang lembut hikmah atau kasar tak berlapik. Sekiranya ustaz tidak bersetuju dengan beliau dalam soal fiqh maka langsung saja ustaz berbahas dengan beliau. Bukan dengan kami yang cetek ilmu. Dari segi akidah saya percaya kita semua meyakini Allah yang esa. Salam dan berkat untuk ustaz. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
Ramlan bin Ramli
Kampar, Perak.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
-
Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah.
Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang
yang lebi...
2 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan