Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 25 November 2009

Menilai Kecantikan Yang Bererti

Siti Shamsiah Binti Md Supi
Pegawai Penyelidik
Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik
IKIM
27/02/2009

Seawal zaman Socrates dan Plato, manusia telah cuba mengungkap erti kecantikan. Socrates menyatakan bahawa kecantikan itu sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Akan tetapi anggapan Voltaire jauh lebih tegar dengan menganggap kecantikan itu sesuatu yang mustahil untuk dijelaskan. St. Augustine mengungkap persoalan ini dalam bentuk pertanyaan sekali gus pilihan; adakah kecantikan sesuatu benda itu dilihat kerana ia memberi kesenangan hati, atau hati akan senang kerana melihat sesuatu yang cantik? Kalangan ahli falsafah mengakui bahawa kecantikan melibatkan perasaan gembira, seperti Thomas Aquinas, walaupun sesetengahnya menganggap kecantikan sebagai sesuatu yang benar-benar subjektif sifatnya dan ia sangat bergantung kepada keadaan diri seseorang sebagaimana yang dipegang oleh Rene Descartes.
Kepelbagaian tafsiran mengenai sifat cantik yang ada pada orang, benda atau perbuatan tertentu pada umumnya merupakan kebebasan pemikiran dan naluri. Serentak dengan itu juga tanpa mengira sukarnya untuk membina tafsiran berkenaan kecantikan, ia tidak mengurangkan keghairahan dari kalangan ahli falsafah, penggiat seni, pengkritik, malah dari kalangan ahli sains daripada memberi tindak balas terhadap fitrah kecantikan, abad demi abad.
Walaupun begitu, sekurang-kurangnya ciri-ciri asas dalam mentafsir kecantikan perlu ada untuk dijadikan sebagai wadah perbincangan mengenai sifat cantik yang boleh diterima umum. Di sini, mungkin pada dasarnya kita boleh menerima pandangan orang-orang Yunani kuno yang mentafsir kecantikan sebagai sesuatu yang baik dilihat dari sudut moral masyarakat, bersesuaian dengan kebiasaan masyarakat dan ia sesuatu yang boleh memberi kesenangan hati kepada mata yang melihat. Sementara itu pada kaca mata masyarakat silam Cina, kecantikan merujuk kepada kekayaan, umur yang panjang, berbakat, memiliki nama baik dan mempunyai pekerti.
Kenyataan Charles Darwin yang menyebut bahawa kecantikan menjadi sifat atau kualiti yang sangat tinggi kerana ia sebenarnya mempunyai peranan tertentu merupakan pandangan yang sukar untuk dinafi. Maka, rasa tertarik terhadap kecantikan, keinginan untuk menjadi cantik atau lebih cantik dan hasrat untuk memiliki benda yang cantik adalah adalah sesuatu yang biasa dan bersifat sejagat.
Perkembangan teknologi pengetahuan serta berlakunya silang budaya sebagai sebahagian daripada evolusi atau revolusi perubahan sosial tidak dinafikan mempunyai pengaruh dalam pembinaan neraca dalam mengukur kecantikan. Maka amalan dalam sesetengah budaya masyarakat bagi membentuk kecantikan pada diri seseorang lama kelamaan hilang, tidak diamalkan dan hanya menjadi sejarah. Contohnya amalan mengecilkan kaki di kalangan wanita Cina silam sudah tidak diamalkan oleh generasi baru. Selain ia sangat tidak digalakkan dari segi kesihatan dan kesejahteraan diri yang hakiki.
Melalui pengajaran yang terkandung dalam budaya orang-orang Timur, yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, kecantikan itu akan diambil kira bersama dengan peribadi yang baik dan pekerti yang penuh kesantunan. Walaupun tingkah laku orang-orang Timur seperti orang Melayu pada hari ini dikatakan telah semakin berubah dan tidak lagi mengekalkan apa yang dipegang oleh nenek moyang, akan tetapi itulah yang menjadi pengenalan diri kepada orang-orang Melayu dan juga di kalangan bangsa sebelah Timur. Kecantikan wajah seseorang akan bertukar serta-merta menjadi sesuatu yang dilihat buruk dan jelik apabila ia menyerlahkan rasa marah atau bengis. Ini juga yang disebut oleh Plotinus. Sifat malu yang sangat tebal yang secara budayanya dimiliki oleh orang-orang Timur juga menjadi sebahagian daripada ciri-ciri kecantikan yang perlu ada pada diri seseorang. Baruch Spinoza mempunyai pemikiran yang sama lantas mengenepikan kecantikan sebagai intipati kepada nafsu semata-mata.
Silang budaya yang berlaku ada ketikanya lebih tepat disebut sebagai penjajahan budaya. Pegangan yang murni dalam melihat dan menilai kecantikan, terjajah oleh pemikiran-pemikiran yang keras sifatnya lantas menolak pemikiran tradisi yang sesetengahnya bersifat lebih mendamaikan jiwa.
Sesetengah daripada kita menerima bulat-bulat terhadap pengenalan dan tafsiran kecantikan yang tidak diasaskan oleh prinsip-prinsip yang jelas. Bila ini berlaku, kita menjadi begitu taksub sehingga tidak sedar lemas dalam arus. Dari situlah kita membina kecantikan diri dan berpenampilan tanpa mengambil kira secara saksama budaya hidup yang sudah begitu lama melindungi peradaban bangsa.
Juga telah sangat lama sebenarnya kita mentafsir kecantikan menurut apa yang ada secara zahir. Lalu kita terlepas pandang bahawa kalangan yang cacat penglihatan juga mempunyai naluri yang sama untuk menikmati kecantikan. Bagaimana mereka mentafsir kecantikan juga sewajarnya turut diambil dalam perkiraan oleh orang-orang yang celik supaya kecantikan itu dapat dinilai dengan lebih seimbang dan menyeluruh. Mereka menilai melalui suara yang didengar. Cara berhubungan adalah ukuran bagi mereka menilai kecantikan seseorang.
Ketaksuban kita mengejar kecantikan atau ketaksuban kita untuk menjadi lebih cantik adakalanya memerangkap diri sehingga tidak memiliki jati diri. Di sinilah kita melihat pentingnya ketakwaan untuk dijadikan sebagai asas dalam membina neraca untuk mengukur dan menilai erti kecantikan, supaya kecantikan itu merupakan sifat atau unsur yang benar-benar bererti.
Agama akan membimbing naluri dan pemikiran untuk mewujudkan kerangka dalam mentafsir kecantikan. Ada ciri-ciri yang boleh diterima agama sebagai ciri-ciri kecantikan semula jadi. Tetapi agama Islam amat mementingkan tauhid dan juga akhlak sebagai prasyarat yang perlu ada. Agama akan membendung pemikiran, nafsu dan juga emosi untuk kita mentafsir kecantikan, atau bagi kita membentuk kecantikan pada diri. Kecantikan juga seharusnya diguna bagi tujuan yang baik. Sebaliknya, mempergunakan kecantikan dengan niat yang tidak baik hanya akan merendahkan martabat kecantikan itu sendiri.

http://www.ikim.gov.my/v5/print.php?grp=2&key=1744

Puisi hina kaum Melayu



Oleh: DR. HASSAN AHMAD

SALAH satu warisan kolonial yang masih kekal tinggalnya dalam sejarah bangsa Melayu di rantau ini, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu, ialah kepercayaan bahawa tanah asal orang Melayu bukan di Semenanjung ini tetapi di kawasan lain. Ada yang mengatakan bahawa orang Melayu dari Funan. Walaupun `teori' ini sudah ditolak, atau sekurang-kurangnya tidak dipercayai lagi, namun masih ada orang yang tetap percaya bahawa orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu bukan penduduk asal tetapi ialah pendatang dari kawasan lain dari Sumatera, dari Jawa, dari Makasar dan entah dari mana lagi.

Maka berdasarkan kepercayaan ini, terciptalah sebuah puisi baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran, menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang berada di negara yang disebut `Tanah Melayu' itu bukan penduduk asal kawasan ini. Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal' mereka. Maka dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.

Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Selain ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan sebagainya.

Jikalau puisi ini dideklamasikan di seluruh negara, atau di RTM, misalnya, saya tidak tahu apakah reaksi orang Melayu, reaksi UMNO, reaksi Pas, reaksi raja-raja Melayu, reaksi para sarjana sejarah Melayu dan kumpulan-kumpulan lain lagi. Apa yang akan terjadi pada `kestabilan' perpaduan kaum di Malaysia jikalau ada pula puisi lain yang `menghina' kaum-kaum lain, dengan berkata merekalah yang sebenarnya kaum pendatang, yang datang dari kawasan di luar rantau tamadun Kepulauan Melayu ini (istilah yang diciptakan oleh orang Inggeris - Malay Archipelago), tetapi selepas kemerdekaan - kemerdekaan yang diperjuangkan oleh orang Melayu - kaum-kaum pendatang ini diterima oleh orang Melayu sebagai warga atau rakyat Malaysia, hidup bersama-sama mencari rezeki di bumi yang bertuah ini, walaupun sejak itu orang Melayu bukanlah kaum yang `istimewa', kaum kelas satu, kaum yang terkaya dan yang membolot semua kemudahan yang ada di negara ini, kemudahan yang dibina, dibangunkan oleh kerajaan yang boleh dikatakan didominasi oleh orang Melayu: Raja Melayu, Perdana Menteri Melayu, Menteri Besar Melayu, kebanyakan ketua pentadbiran awamnya orang Melayu. Perhatikan juga kaum minoriti pun diterima oleh orang Melayu untuk duduk dalam kabinet, menjadi menteri dan timbalan menteri, bersama-sama mentadbirkan negara ini.

Dan perhatikan juga, walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, kaum Melayu tidak merupakan kaum yang paling maju dalam bidang pendidikan. Bahasa Inggeris masih tetap merupakan bahasa penting dalam pembangunan negara ini. Walaupun Islam agama rasmi, tempat-tempat sembahyang agama lain tumbuh merebak-rebak di serata negara, termasuk di kampung-kampung Melayu.

Tidak wujud di negara ini kumpulan-kumpulan rasis di kalangan orang Melayu, seperti yang terdapat di negara-negara lain, misalnya kumpulan rasis Skinhead di Britain, Klux Klan di Amerika Syarikat, kumpulan rasis Swastika di Jerman atau di Eropah. Kalaupun ada berlaku beberapa peristiwa `pergaduhan kaum' banyak orang berpendapat bahawa orang Melayu bukanlah pihak yang memulakan atau mencetuskannya. Ingat peristiwa `Bintang Tiga' yang mengganas semasa Jepun kalah perang dan sebelum tentera British masuk semula di kawasan yang mereka sebut `British Malaya' ini. Orang Melayu bertindak hanya setelah mereka diancam.

Maka terkenallah orang Melayu ini sebagai bangsa yang paling `toleran', bangsa lemah lembut, cukup bersopan santun. Maka aman damailah negara selama ini.
Sejarah tamadun bangsa Melayu di Tanah Melayu dan di seluruh rantau berbahasa Melayu ini telah ditenggelami oleh `acuan' sejarah menurut tafsiran Barat. Perlulah diketahui, terutama oleh pencipta puisi menghina Melayu itu - bahawa sebelum kedatangan kuasa penjajah Inggeris dan Belanda (sebelum itu Portugis), kawasan ini merupakan kawasan tamadun Melayu-Islam yang satu. Sejak tertubuhnya karajaan Melayu-Islam yang terawal di Sumatera, iaitu kerajaan Perlak, dalam abad kesembilan seluruh rantau ini mewarisi satu tradisi yang sama, dibentuk oleh dua alat pembentuk tamadun yang dominan, iaitu bahasa Melayu dan agama Islam.

Kerajaan Sriwijaya bukan kerajaan asing, tetapi kerajaan Melayu walaupun agama yang dianuti oleh raja dan para pembesarnya ialah agama Hindu-Buddha. Bahasa kerajaannya ialah bahasa Melayu, misalnya disebut oleh para sarjana Barat sebagai `Bahasa Melayu Kuno'. Dalam abad ke-12, semasa kerajaan Sriwijaya masih wujud bahasa Melayu sudah digunakan untuk menterjemahkan sebuah kitab ilmu dalam bahasa Arab bertajuk Bahr al-Lahut karangan Abdullah Arif, seorang syeikh dari tanah Arab, yang datang ke Acheh tahun 1177 untuk mengembangkan agama Islam di situ.

Selepas Perlak (yang ditakluk oleh kerajaan Melayu-Islam Acheh- wujud pula kerajaan Melayu-Islam di Samudera-Pasai (1250-1524) - waktu itu kerajaan Sriwijaya sudah lama tidak ada lagi di samping kerajaan Melayu-Islam Acheh, kemudian kerajaan Melayu-Islam Melaka, kemudian kerajaan Johor dan kerajaan Riau. Di sebelah timur Selat Melaka wujud pula beberapa kerajaan Melayu-Islam yang lain, misalnya di Ternate, di Kepulauan Muluku dan di Makasar.

Raja Ternate, Sultan Abu Hayat menulis dua pucuk surat kepada Raja Portugis, King John ke-III, dalam bahasa Melayu dalam tahun 1521 dan 1522 menunjukkan bahawa pada zaman itu bahasa Melayu sudah bertaraf bahasa tinggi, bahasa diplomatik. Sebelum itu, Hikayat Raja Pasai telah dikarang beberapa tahun selepas tahun 1326 (Hikayat ini telah diterbitkan oleh Yayasan Karyawan sebagai salah sebuah karya agung Melayu). Pulau Jawa diislamkan dan tertubuh kerajaan-kerajaan Islam di pulau itu sejak abad ke-16, setelah kerajaan Majapahit beragama Hindu runtuh.

Inilah secara ringkasnya, sejarah rantau ini menjadi sebuah kawasan tamadun berbahasa Melayu dan beragama Islam. Dalam kawasan ini sempadan geografi dan etnik tidak wujud. Warisan budaya atau tamadunnya sama. Orang Melayu-Sumatera yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menginap di situ sebenarnya berpindah ke kawasan tamadun yang sama, bukan sebagai orang asing, walaupun mereka boleh jadi dianggap sebagai orang dagang, tetapi bukan sebagai pendatang atau imigran di Tanah Melayu.

Karya agung Melayu, Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu (1612) mengungkapkan konsep ini, secara simbolik, dengan mengulangi tradisi bahawa raja-raja Melayu baik di Melaka atau di tempat-tempat lain di kawasan yang sama, berasal dari Bukit (Gunung) Seguntang Mahameru di Sumatera. Konsep ketamadunan inilah yang perlu digunakan untuk membetulkan mitos tentang `bangsa Melayu' di Tanah Melayu ini.

Konsep `bangsa Melayu', kerajaan Melayu, raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam bukan ciptaan para nasionalis Melayu selepas kemerdekaan tetapi ialah proses dan hakikat yang dibentuk oleh sejarah ketamadunan Melayu di seluruh rantau ini sejak abad kesembilan lagi. Bahasa Melayu dan agama Islam merupakan dua `alat' yang cukup tahan dan berpengaruh sekali dalam proses pembentukan tamadun `bangsa Melayu' ini, merentas kawasan etnik dan sempadan daerah.

Maka tidaklah menghairankan jika pengkaji Eropah menamakan rantau ini sebagai The Malay Archipelago. Orang di Indonesia menamakannya kawasan Nusantara, walaupun mungkin konsep geopolitik ini tidak termasuk Malaysia, namun dari segi budaya atau ketamadunan istilah apa pun yang digunakan, kawasan ini tetap merupakan kawasan yang mewarisi tamadun yang sama.

Jikalau ada orang yang mengatakan bahawa konsep `Bangsa Melayu' di Malaysia atau The Malay Nation seperti yang digunakan oleh Stamford Raffles (lihat buku Lady Sophia, 830 Memoirs of the Life and Services of Sir Stamford Raffles, London halaman 15) ialah ciptaan orang Eropah atau ciptaan ilmu kolonial, saya kira mereka jahil. Barangkali mereka masih terperangkap dengan takrif `bangsa' atau race dari segi tradisi ilmu antropologi.

Keadaan mula berubah dan konsep ketamadunan bersama bangsa Melayu itu mula dimusnahkan apabila kuasa penjajah Inggeris dan Belanda memecahkan rantau ini kepada dua kawasan geopolitik untuk kepentingan politik dan ekonomi atau perdagangan mereka dengan menggunakan kekuatan tentera, iaitu kawasan kuasa Inggeris yang disebut `British Malaya' dan kawasan kuasa Belanda yang asalnya disebut kawasan Dutch East Indies.

Istilah `British Malaya' dalam tahun 1948 digantikan dengan istilah lain, iaitu Federation of Malaya, pada hal sepatutnya, Federation of Malay States atau `Persekutuan Negeri-Negeri Melayu'. Singapura dan Pulau Pinang yang masing-masing merupakan kawasan takluk kerajaan Johor dan kerajaan Kedah, diubah namanya kepada `Negeri Selat' atau Straits Settlements.

Maka sejak itulah kaum-kaum pendatang di Tanah Melayu dan juga di Singapura ghairah mengatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat itu bukan tanah asal orang Melayu (atau lebih tepat `bangsa Melayu').

Singapura dikatakan tidak mempunyai sejarah sebelum kedatangan Raffles, pada hal Raffles sendiri mengiktiraf bahawa pulau itu adalah takluk kerajaan Johor-Riau, maka itulah dia terpaksa membuat perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman yang berada di pulau itu sebagai waris kerajaan Johor, dalam tahun 1819, untuk mendapat izin mendirikan sebuah loji atau kilang perniagaan Syarikat Hindia Timur Inggeris.
Sejarah Melayu menamakan pulau itu sebagai Temasik sejak ratusan abad sebelum kedatangan Raffles. Maka timbullah mitos yang mengatakan bahawa Raffleslah orang yang menemui/membuka pulau itu. Saya tidak fikir Raffles sendiri mendakwa bahawa dialah the founder of Singapore. Ini dongeng yang diciptakan oleh ahli sejarah Inggeris dan para pengikut mereka kemudiannya.

Jadi, ahli-ahli sejarah bangsa Melayu hendaklah berusaha, secara ilmiah dan benar, untuk membetulkan mitos-mitos yang masih menyelaputi imej bangsa Melayu hari ini akibat sejarah ciptaan ilmu kolonial yang salah itu. Diharap penulis puisi yang menghina itu menyedari hakikat ini.

DATUK DR. HASSAN AHMAD ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

Khamis, 19 November 2009