Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Memaparkan catatan dengan label Artikel Copy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel Copy. Papar semua catatan

Rabu, 21 September 2011

Penjelasan Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengenai Isu Hantu Bonceng

Lembaga Penapisan Filem tiada masalah untuk meneliti semula filem "Hantu Bonceng" yang didakwa oleh Dewan Pemuda PAS mengandungi unsur penghinaan terhadap Islam dalam satu babak filem itu.



Pengerusinya, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, pihaknya telah menonton dan meneliti filem itu sebelum ia ditayangkan kepada umum dan mendapati tiada unsur penghinaan terhadap agama.

Beliau berkata, pelbagai tafsiran boleh diberikan dalam babak ketika pelawak terkenal Zizan terjaga dari pengsan di sebuah hospital, lalu menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" .

"Kalau kita tengok dalam filem itu, sebenarnya tidak ada unsur penghinaan kerana apa yang dilafazkan Zizan, ketika melakonkan babak histeria itu, bukanlah satu ayat yang penuh.



"Sebaliknya ketika Zizan menyebut Syahadah beliau terhenti seketika sebelum menyebut perkataan syaitan selepas itu," katanya kepada Bernama.

Harakahdaily pada Selasa melaporkan, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menggesa filem Hantu Bonceng yang sedang ditayangkan di pawagam dihentikan segera kerana mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah.

Nasrudin mendakwa, babak tersebut ketika Zizan di atas katil wad hospital menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan".



Bagaimanapun, Raja Azhar tidak menolak kemungkinan filem yang ditonton oleh pihaknya mungkin berbeza sedikit daripada apa yang kini ditayangkan di pawagam.

"Justeru kita akan meneliti sekali lagi babak yang dimaksudkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS itu," katanya.



Filem Hantu Bonceng arahan sutradara terkenal, Ahmad Idham dengan durasi 90 minit itu ditayangkan di panggung wayang di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 31 Ogos lalu dan dikatakan mencipta sejarah dengan kutipan terbesar dalam musim perayaan dengan jumlah RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

- MSTAR

Selasa, 3 Mei 2011

SIAPA KITA oleh Suraida Ramli

Discussion with my brother:

Bahasa melambangkan budaya dan pemikiran sesuatu bangsa



Example: tanggungjawab = responsibility



Tanggungjawab adalah daripada perkataan tanggung + jawab.

Orang yang diberi tanggungjawab perlu menanggung beban dan menjawab apabila ditanya.



Responsibility is from the root word response.

The person should react to something that happened or been said regarding their responsibility.



Orang yang bertanggungjawab dinilai berdasarkan jawapannya. Tidak kira apa yang berlaku, JAWAPAN mesti baikkk punya..



The person with responsibility is judge on their REACTION to anything that happened or been said. It's about how well you solve a problem..



Anyway, language and sociology are never my specialty :-)

Rabu, 13 April 2011

Petikan Tafsir Al-Azhar


"Demi yang beranak, demi yang diperanakannya”.

Surah Al-Balad (Negeri) Ayat 3, Juzu’ ke-30 Surat ke-90.

Tetapi Ibnu Jarir Ath-Thabariy menyatakan dengan tegas, bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ini nyata sekali, iaitu segala orang yang jadi ayah, dan segala anak yang diperanakkan oleh si ayah itu.

Manusia kembang di dunia ini.

Kehidupan seorang ayah di dalam mendidik anaknya berbagai ragam, berbagai rupa, berbagai perangai ; itupun satu hal yang memang patut mendapat perhatian.

Itu sebab maka “Ayah dan keturunannya” menjadi salah satu sumpah penting pula oleh Allah.

Harta benda dan anak keturunan adalah perhiasan hidup di dunia, namun yang kekal hanyalah amal yang salih jua.

Seorang ayah dapat membangga dengan banyak anak-anaknya waktu mereka masih kecil.

Tetapi setelah anak itu menjadi dewasa, belum tentu anak itu akan dapat dibanggakan.



Teringatlah saya bahawa pada tahun 1951, seketika Mohammad Natsir menjadi Perdana Menteri Republik Indonesia, di tengah hebatnya percaturan politik, Natsir mendapat percobaan.

Puteranya laki-laki terbenam hanyut sedang berenang disalah satu permandian di Jakarta, sehingga meninggal dunia.




Di antara yang datang takziah Almarhum Haji Agus Salim Faillasoof tua itu dalam bersalam menyatakan turut berdukacita telah berkata kepada Natsir :

“Tak usah saya terangkan lagi. Bersyukurlah kepada Tuhan, kerana anak ini meninggal disaat engkau masih merasa bangga dengan dia”.

Saya tafakkur mendengarkan ucapan orang tua itu.

Dan telah berlalu lebih 20 tahun sampai sekarang, kian saya renungkan maksud perkataan Failasoof besar itu.

Memang anak sebelum dia dewasa masih pasti dapat kita banggakan.

Nanti kalau dia telah dewasa dan telah bertindak sendiri dalam hidupnya, tidaklah kurang orang tua yang “makan hati berulam jantung” melihat perangai anak.

Lain yang dicitakan, lain yang tumbuh dalam hidup anak itu.

Kadang-kadang bertolak belakang.




Profesor Dr. Syaikh Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (HAMKA) dalam Tafsir Al-Azhar Juzu’ 30 halaman 140-141 terbitan Penerbit Yayasan Latimojong, Surabaya, 1984.

Ahad, 3 April 2011

Komen Raja Putih Sarawak Terhadap Orang Cina


Tuan James Brooke, Raja Putih Sarawak, pernah mengatakan :

"Saya tidak tahu sama ada mahu mengagumi orang Cina kerana tabiat baik mereka ataupun mengeji mereka kerana tabiat buruk mereka.

Namun begitu, industri mereka lebih berjaya daripada mana-mana bangsa lain di muka bumi ini.

Mereka cergas dan bekerja keras, bersusah payah, penyabar serta periang.

Tetapi mereka juga korup, mudah terpengaruh, cerewet, terlalu setia kepada pihak atasan mereka dan zalim kepada mereka yang terperangkap dalam kuasa mereka."

Sterling Seagrave dalam buku "LORDS OF THE RIM" terjemahan Fatimah Rodhiah "CINA : PENAKLUK BISNES LAUTAN PASIFIK (KEGEMILANGAN EMPAYAR CINA DI PENTAS DUNIA), terbitan PTS PROFESIONAL PUBLISHING SDN. BHD. halaman 129 - 130.

Ahad, 20 Mac 2011

Nilai Sebuah Nama

Pada tahun 1898, suatu peristiwa yang menyedihkan berlaku di Rockland County, New York. Seorang kanak-kanak telah meninggal dunia dan jiran-jiran sedang sibuk membuat persiapan untuk mengebumikan mayatnya. Joe Farley menuju ke bangsal untuk menambat kudanya. Ketika itu tanah sedang diseliputi salji, suhu sejuk dan cuaca sangat buruk.

Kuda itu sudah beberapa hari tidak dilatih, telah menjadi liar dan telah menyepak kedua-dua kakinya ke belakang. Sepakan itu telah terkena Farley sehingga menyebabkan kematiannya. Oleh yang demikian, pada hari itu terdapat dua mayat yang harus dikebumikan.

Joe Farley meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak lelaki, serta beberapa ratus dolar daripada syarikat insurans. Anaknya yang tua, Jim beusia sepuluh tahun, bekerja di kilang batu bata. Tugas beliau adalah mengangkat pasir dalam kereta sorong, menuangkannya di dalam acuan dan kemudian mengeringkannya. Dengan yang demikian, Jim tidak berkesempatan untuk mendapat pendidikan di sekolah.

Biarpun begitu beliau tidak melupakan sifat-sifat semulajadinya : Peramah dan pandai bergaul dengan sesiapa sahaja. Kemudian beliau menceburkan diri dalam lapangan politik dan mengembangkan bakatnya dengan kemampuan mengingati nama-nama orang. Walaupun beliau tidak pernah bersekolah namun sebelum umurnya mencapai empat puluh enam tahun, sebanyak empat buah universiti telah mengurniakan gelaran ijazah Doktor Falsafah kepadanya.

Kemudian itu beliau telah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pusat Parti Demokrat dan juga memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pos, Telegraf dan Telefon. Saya telah mewawancara beliau dan bertanyakan rahsia kejayaannya. “Bekerja kuat,” jawab Jim. Saya membalas dengan mengatakan, “Saya tidak percaya.” Lantas beliau bertanya apakah alasan saya mengenai kejayaannya. Saya menjawab, “Saya difahamkan bahawa tuan boleh mengingati nama sepuluh ribu orang dengan nama pertama mereka.” “Kamu salah,” tingkahnya, “saya boleh mengingati nama lima puluh ribu orang dengan nama pertama mereka.”

Cuba anda bayangkan. Kebolehan itulah yang telah membantu Jim membawa Franklin D. Roosevelt menduduki Rumah Putih ketika beliau menjadi pengurus kempen bekas Presiden itu pada tahun 1932.

Sebelum peristiwa itu berlaku, Jim pernah mengembara sebagai jurujual barangan gipsum, dan ketika menjadi kerani di Stony Point, kampung tempat beliau dilahirkan, beliau telah mencipta satu sistem untuk mengingati nama-nama.

Pada permulaannya, ianya adalah mudah. Apabila beliau bertemu dengan seorang kenalan baru, beliau akan bertanya namanya dan nama pertamanya, sudah berumahtangga atau belum, berapa anaknya, apakah pekerjaanya dan beliau memasuki parti politik apa. Fakta-fakta ini disimpannya secara tersusun di dalam ingatannya. Oleh itu tatkala beliau berjumpa lagi dengan rakan itu, walaupun mereka berjumpa setahun kemudian, beliau menjabat tangannya dengan mesra, sambil menyebutkan namanya dan nama pertamanya, bertanyakan keadaan isteri dan anak-anaknya dan segala hal yang pernah diceritakan kepadanya semasa pertemuan pertama mereka dahulu.

Demikianlah seterusnya Jim Farley memperluaskan hubungan persahabatannya. Ketika beliau menjadi tokoh penting dalam Parti Demokrat dan mengetuai kempen pilihanraya Roosevelt, selama berbulan-bulan sebelum itu, beliau menghantar surat kepada rakan-rakannya. Setiap hari, beratus-ratus pucuk surat dikirimkannya kepada mereka itu yang berada di seluruh Amerika. Malah adakalanya beliau menggunakan keretapi dalam menjalankan kempennya. Dalam tempoh sembilan belas hari, beliau telah mengunjungi dua puluh buah negeri dan membuat perjalanan sejauh tiga puluh ribu kilometer untuk mengunjungi rakan-rakan lamanya.

Apabila beliau pergi ke sesuatu tempat, beliau akan meminta rakan-rakannya itu mengunjunginya walaupun ketika beliau sedang bersarapan. Setiap kali bercakap dengan orang-orang itu, beliau berjaya bercakap dari hati ke hati dengan mereka dan seterusnya meyakinkan mereka bahawa Roosevelt adalah calon yang paling sesuai bagi jawatan Presiden Amerika. Begitulah yang dilakukan pada setiap hari bagi mencapai maksudnya.

Jika dikira, senarai namanya sangat panjang, mengandungi beribu-ribu nama. Setiap orang yang tersenarai namanya, akan menerima surat peribadi daripada Jim, dan setiap surat itu bermula dengan ungkapan “Encik Henry” atau “Encik John”, dan diakhiri dengan ucapan “Kawanmu, Jim”.

Semenjak kecil Jim mengetahui bahawa kebanyakan orang lebih menumpukan kepada nama mereka sendiri sahaja daripada nama-nama orang lain di seluruh dunia. Oleh itu cuba ingatkan nama-nama orang dan belajar menyebutnya dengan betul. Dengan cara demikian anda dapat memberikan ucapan selamat dengan mesranya kepada setiap orang yang anda temui. Namun jika anda terlupa nama atau mengejanya dengan salah, orang itu akan kurang menghargai anda. Sebagai contoh, saya pernah menganjurkan suatu kursus pidato umum di Paris dan menghantar surat kepada semua penghuni bandar itu yang berbangsa Amerika. Jurutaip-jurutaip berbangsa Perancis yang sebenarnya mempunyai sedikit pengetahuan mengenai bahasa Inggeris telah ditugaskan untuk menaip nama-nama itu. Mereka telah melakukan kesalahan ketika menaip. Seorang lelaki, pengurus sebuah bank Amerika yang besar di Paris telah menulis surat kepada saya yang isinya bernada marah kerana kesilapan ejaan namanya.

Dale Carnegie dalam buku “BAGAIMANA HENDAK MENDAPAT KAWAN DAN MEMPENGARUHI SESEORANG” terjemahan Yusof Hj. Wanjor, terbitan Thinker’s Library halaman 74 – 76.

Sabtu, 19 Mac 2011

Motivasi Kelebihan Ikhlas Dalam Senyuman

Pernahkah anda berada di bilik menunggu di rumah sakit dan memerhatikan suasana di sekitar bilik itu yang dipenuhi oleh wajah-wajah yang cemas yang menanti untuk diperiksa dengan perasaan yang tidak sabar?

Dr. Stephen K. Sproul, seorang pakar penyakit haiwan di Raytown, Missouri, memberitahu bahawa pada suatu hari dalam musim bunga, ketika itu bilik menunggunya dipenuhi oleh pelanggan yang menanti untuk dilakukan pemeriksaan ke atas binatang peliharaan mereka.

Tidak seorang pun yang bercakap di antara satu sama lain.

Mungkin masing-masing sedang memikirkan pelbagai perkara yang boleh mereka lakukan daripada ‘menghabiskan masa’ di dalam bilik itu.

Hal ini dinyatakan oleh salah seorang peserta kursus kami :

"Terdapat enam atau tujuh orang pelanggan sedang menanti di situ sewaktu seorang wanita muda masuk bersama-sama dengan seorang bayi berusia tujuh bulan dan seekor anak kucing.

Secara kebetulan, beliau duduk di sebelah seorang lelaki yang kelihatan kebingungan kerana telah menanti begitu lama.

Suatu perkara lain yang lelaki tersebut ketahui ialah seorang bayi sedang memerhatikannya dengan sekuntum senyuman, yang sememangnya menjadi sifat seorang bayi.



Apakah yang dilakukan oleh lelaki tersebut?

Seperti yang mungkin anda dan saya lakukan, beliau membalas senyuman bayi itu.

Seterusnya beliau telah memulakan perbualan dengan wanita itu mengenai anak wanita itu dan juga cucunya.

Kemudiannya perbualan tersebut telah disertai oleh semua yang hadir dalam bilik itu.

Keadaan ini telah menyebabkan bilik yang tadinya diselubungi oleh perasaan bosan dan ketegangan itu telah dimeriahkan dengan sesuatu suasana yang meriangkan”.

Adakah mungkin orang mengatakan bahawa senyuman yang dilahirkan itu hanyalah senyuman yang sengaja dibuat-buat?

Tidak!

Anda tidak mungkin boleh membohongi seseorang dengan senyuman yang sengaja dibuat-buat.

Saya hanya ingin membicarakan tentang senyuman yang dibuat dengan bersungguh-sungguh yang tulen.

Senyuman yang terbit dari hati dan jiwa, yang sungguh mahal harganya di dunia ini.



Dale Carnegie dalam buku “BAGAIMANA HENDAK MENDAPAT KAWAN DAN MEMPENGARUHI SESEORANG” terjemahan Yusof Hj. Wanjor, terbitan Thinker’s Library halaman 66 – 67.

Khamis, 17 Mac 2011

Motivasi Stevie Wonder


Paul Harvey, dalam salah satu siaran radionya berjudul The Rest of the Story (Kesudahan Cerita) mengutarakan betapa penghargaan yang tulus itu dapat mengubah kehidupan seseorang.

Beliau mengatakan bahawa pada masa dahulu seorang guru di Detroit meminta Stevie Morris untuk membantunya mencari seekor tikus yang hilang dalam bilik darjah.

Guru itu tahu bahawa Stevie seorang yang buta.

Namun beliau mempunyai sepasang telinga yang amat peka.

Itulah pertama kalinya beliau berasa benar-benar dihargai.

Kini, bertahun-tahun sesudah itu, beliau mengatakan bahawa penghargaan tersebut adalah merupakan titik tolak kepada kehidupannya sekarang.

Semenjak itu, beliau telah mengembangkan bakat pendengarannya dan kini di pentas beliau terkenal dengan nama Stevie Wonder, salah seorang penyanyi pop terkenal dan penggubah lagu yang masyhur.

Dale Carnegie dalam buku “BAGAIMANA HENDAK MENDAPAT KAWAN DAN MEMPENGARUHI SESEORANG” terjemahan Yusof Hj. Wanjor, terbitan Thinker’s Library halaman 26.

Selasa, 15 Mac 2011

Cara Jepun lawan tsunami

Sunday, March 13, 2011



Jam dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi.

Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat.

"Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar.

"Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut.

"Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja.

"Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit.

"Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut.

"Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini.

"Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ.

Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo.

Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.

Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus.

Air hitam

Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap.

Sebuah pelabuhan di bandar Iwaki dijilat api, begitu juga di bandar Yamada.

Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu.

Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk.



Sejarah

Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera.

Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan.

Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi.

Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia.

"Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi.

Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun.

Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu.

Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk.



Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo.

Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun.

Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang.

72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur.

Kereta api laju

Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu.

Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi.

Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK.

Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan.



Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.

Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar.

Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman.

Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat.

Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu.

Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

KOSMO!

Loji Nuklear Fukushima Meletup - Ribuan penduduk diancam radiasi

Monday, March 14, 2011

TOKYO: Gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun kelmarin, bukan hanya meragut sekurang-kurangnya 1,700 nyawa, manakala 10,000 lagi dikhuatiri hilang, malah meninggalkan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di salah satu reaktornya selain impak fizikal yang menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.

Anggaran kerugian AS$15 bilion (RM52.5 bilion). Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter kelmarin yang juga kelima terkuat di dunia itu menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer – impak yang menurut saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi Sumatera, sebelum ini.

Jepun mengerahkan lebih 50,000 askar, manakala anggota mencari dan penyelamat melakukan tugas mencari mangsa selepas gempa yang berpusat di pantai Pulau Honshu yang juga kawasan berpenduduk paling padat di Jepun dengan kemusnahan sekurang-kurangnya 3,600 rumah, dilaporkan.

Bagaimanapun, lebih 30 jam selepas kejadian itu, Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata anggota penyelamat masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Seramai 215,000 penduduk di kawasan timur lautnya yang terjejas teruk itu, berlindung di penempatan sementara ketika sekurang-kurangnya 5.6 juta penduduk pula terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan air bersih.
Semua talian telefon terputus ketika ramai penduduknya yang terselamat, beratur panjang mendapatkan bantuan.

Sebanyak 400 mayat ditemui di bandar Rikuzentakata, wilayah Iwate yang dilaporkan musnah dan tenggelam sepenuhnya, manakala di bandar Sendai, sekurang-kurangnya 300 mayat turut ditemui.

Agensi berita Kyodo melaporkan, sebuah kapal yang membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, dihanyutkan tsunami dan nasib mereka belum diketahui hingga sekarang.

Ketika harapan menemui lebih ramai mangsa masih hidup kian tipis, Jepun dikejutkan dengan kejadian kebocoran radioaktif di salah reaktor nuklearnya di Fukushima, utara Tokyo akibat letupan di bumbung loji terbabit berikutan gempa bumi kuat.

Perkembangan itu meningkatkan ancaman radiasi jika reaktor itu terbakar dan memaksa kerajaan memindahkan penduduk yang tinggal di lingkungan 20 kilometer dari reaktor Daichi 1 berusia 40 tahun itu.

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu dibuat ketika rakaman televisyen memaparkan imej kepulan wap panas dari loji itu yang memaksa syarikat pengendalinya, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berusaha mengurangkan tekanan dalam teras reaktor berkenaan.

Sementara itu, kesan tsunami turut dirasai di beberapa negara sekitar kawasan Pasifik dan Amerika Syarikat, dengan berjuta-juta penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi selepas menerima amaran tsunami.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Cresent City California.

– AP/AFP/Reuters

Loji nuklear: Lapan lokasi dikenalpasti

Friday, October 15, 2010



Kerajaan sudah mengenal pasti lapan lokasi di Semenanjung Malaysia untuk membina loji janakuasa nuklear pertama negara yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Datuk Dr Daud Mohamad berkata lokasi itu bagaimanapun masih lagi dalam kajian untuk dipilih sebagai lokasi sesuai yang memenuhi kriteria sebelum diumumkan oleh kerajaan.

"Antara kriteria yang mesti ada untuk membina loji janakuasa nuklear ini ialah kita memerlukan kawasan yang berhampiran dengan sumber air, mempunyai struktur tanah yang berbatu keras dan kawasan yang tidak mudah banjir.

"Jika ada penduduk di kawasan yang dipilih itu, mereka harus berpindah manakala kawasan yang sudah dibangunkan pula kita perlu pindahkan tetapi kosnya sangat mahal.

"Apa-apa pun segala keputusan akhir akan dibuat oleh kerajaan dan dijangka ditetapkan dalam tahun 2012," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pengurusan Kualiti 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai aspek keselamatan loji janakuasa nuklear itu, Daud berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana pelbagai proses penambahbaikan telah dilakukan mengikut peredaran teknologi pada masa kini.

Menurutnya pihak agensi turut mengadakan pelbagai program untuk menghebahkan maklumat kepada orang ramai mengenai kebaikan dan keburukan pembinaan loji janakuasa itu.

Beliau berkata semua pihak termasuk Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli politik termasuk pembangkang, dan pihak swasta bolh memberi pandangan mengenai pembinaan pusat janakuasa itu.

"Kita perlukan maklum balas daripada mereka, jadi adalah penting untuk mereka tahu mengenainya (loji janakuasa nuklear) sebelum keputusan dibuat," katanya.

Mengenai simposium itu, Daud berkata ia menyentuh tentang budaya kualiti dan pengurusan pengetahuan, penanda aras kualiti dan penjenamaan, perkhidmatan pelanggan, standard dan akreditasi, pengurusan kualiti menyeluruh, penambahbaikan kualiti berterusan dan persaingan pasaran.

Seramai 120 peserta dari agensi-agensi kerajaan, NGO dan swasta menghadiri simposium dua hari itu.

- BERNAMA

Isnin, 14 Mac 2011

Saman Ekor: Fahami isu sebenar

Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.



Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!



Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???



b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.



Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?



Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.



c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!





ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/2011

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31314:saman-ekor-fahami-isu-sebenar&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Khamis, 10 Mac 2011

'Jika selamat, mengapa tak bina di Perth'

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan hari ini mempertikaikan kewajaran kerajaan membina pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

Katanya, jika benar pusat bernilai RM700 juta yang dibina oleh sebuah syarikat Australia, Lynas Corp didakwa tidak akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk, mengapa bahan sisa perlu diproses di negara ini.

“Malangnya Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan mengatakan kesan radiasinya rendah dan selamat.

“Persoalannya, jika proses menapis tanah jarang ini tidak memberi kesan kepada kesihatan penduduk, kenapa ia dilombong di Mount Weld Australia dan tidak sahaja ia diproses di Perth Australia?

“Kenapa perlu pindahkan ke Gebeng, Kuantan melepasi 2500 km jauh jaraknya?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia dilaporkan beberapa hari lalu oleh akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) yang memetik beberapa pakar yang melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan .

“Penduduk sekitar daerah Kuantan dan Gebeng sekali lagi terdedah kepada ancaman sisa radioaktif yang bakal terhasil... Saya melihat projek seperti ini sangat mengundang risiko kepada tahap kesihatan masyarakat kita kerana Pusat Industri Gebeng letaknya berhampiran dengan taman perumahan penduduk.

“Sisa buang yang akan tersalur ke sungai akan memberi kesan radioaktif kepada masyarakat. Apakah seluas-luas gurun di Australia tidak mencukupi untuk membina kilang seperti ini jika ia benar-benar didakwa selamat?” soal Nasrudin.

Menurutnya, kilang serupa pernah cuba dibina di Bukit Merah, Perak pada sekitar tahun 1982 hingga 1987. Namun ia mendapat bantahan hebat dari pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk seperti kanser, leukemia dan kecacatan.

“Malah ada yang meninggal dunia. Sekarang mereka membinanya pula di Pusat Industri Gebeng Kuantan, Pahang yang letaknya tidak jauh dari kawasan penempatan awam yang besar di daerah Balok , Beserah dan Pelindung,” katanya.

Nasrudin kemudian menyenaraikan semula kronologi penetangan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh sehingga penutupannya pada 19 Januari, 1994.
Berikut disiarkan kronologi penuh berkenaan:

1979

November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak itrium ( sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35 peratus), Beh Minerals (35 peratus), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20 peratus) dan beberapa peniaga bumiputera (10 peratus).

Pihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat Penyelidikan Atom Tun Dr Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan radioaktif yang dihasilkan melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

1982

Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas sembilan ekar, kira-kira 6 kilometer penempatan mereka untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.

30 Jun: Berikutan bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari tapak baru.

11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.

1983

November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu ARE sedang mengorek lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk dijadikan tapak buangan sisa radioaktif. Tapak itu merupakan pilihan kerajaan

1984

24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

31 Mei: Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.

5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatannya dan menegaskan pembinaan tapak buangan radioaktif di Papan akan diteruskan.

18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah tapak buangan yang dicadangkan.

28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong berkata, tapak buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan tapak itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.

1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan tersebut.

4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk perasaan meskipun Ketua Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.

18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri daripada penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah, sebagai tanda sokongan kepada penduduk Papan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri memaklumkan paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan kolam terbuka berhampiran kilang ARE di Bukit Merah.

Satu bacaan yang dicatat oleh pegawai-pegawai SAM sewaktu berkunjung ke situ ialah 43,800 milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras maksimum yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk orang ramai.

29 Ogos: Michael O 'Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak buangan toksik di Papan.

19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu tidak selamat.

5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis kesihatan menerima jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan tersebut. Hasil pemerhatian beliau mendapati kerja-kerja kejuruteraan yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.

21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa Akademi Sains Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi Mengion (BEIR), Dr Edward Radford, atas jemputan penduduk Papan, membuat tinjauan di tapak buangan sisa itu.

Beliau dapati tapak itu tidak sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis atau sudah merekah.

7 November: Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr Jun Ui, menerima jemputan penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE. Beliau juga mendapati tapak itu tidak sesuai dijadikan kawasan penimbunan sisa berbahaya.

28 November: Kabinet membincangkan laporan-laporan yang diserahkan oleh dua badan kawalan. Laporan yang dikemukan oleh Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata, penduduk hanya akan selamat jika faktor-faktor tertentu diberi perhatian oleh kerajaan Perak dan syarikat ARE. Laporan kedua oleh IAEA pula berkata, lubang-lubang yang dibina tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan menempatkan tapak buangan sisa di Papan.

Penduduk Bukit Merah membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik dari Jepun, Profesor Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras radiasi di situ terlalu tinggi malah paras tertinggi yang dicatatkan melebihi 800 kali paras yang dibenarkan.

12 Disember: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan minat secara peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau mengunjungi tapak buangan tersebut.

1985

11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari Menglembu.

1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif di sekitar kampung tersebut.

Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear.

Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

14 Oktober: Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil.

Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.

1986

22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang dikehendaki oleh perintah mahkamah), diikuti oleh piawaian IAEA.

Ia menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau, paras radiasi berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE memenuhi piawaian ICRP dan beliau dapati kilang itu selamat untuk beroperasi.

5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan sekitarnya mengadakan tunjuk perasaan terhadap rancangan ARE untuk menimbun sisa radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran Kledang.

28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke Bukit Merah mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi paras yang dibenarkan. Beliau dilarang masuk ke dalam kilang itu.

16 November: Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah tapak buangan sisa torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah. Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo yang pernah membuang sisa di situ.

Bacaan di salah sebuah tapak ialah 0.05 – 0.10 milirem/jam (iaitu 438 - 876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum 0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.

26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).

8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam berkata hasil pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah mendapati paras radiasi di situ adalah selamat.

Menurutnya, sungguhpun AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi paras normal, ini tidak membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat sedikit bilangannya.

1987

6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasi, AELB Malaysia memberikan lesen kepada ARE supaya meneruskan operasinya.

10 April: PARC menjemput 14 pakar asing untuk datang ke Bukit Merah-pengasas-pengasas Institut Antarabangsa bagi Kepentingan Awam di Kanada, Dr Rosalie Bertell; Setiausaha Pusat Keselamatan Industri dan Kepentingan Alam Sekitar di India, V.T. Pathmanaban; dan Presiden Institut Kesihatan dan Tenaga di Amerika Syarikat, Kathleen Tucker merupakan antara mereka yang dilarang memasuki kawasan ARE.

Dalam satu forum yang berlangsung di Bukit Merah, pakar-pakar itu membuat kesimpulan bahawa ARE mendedahkan pelbagai ancaman kesihatan yang serius.

12 April: Kira-kira 10,000 orang penduduk berarak di Bukit Merah sebagai membantah operasi yang dijalankan semula oleh ARE.

24 Mei: Kira-kira 300 orang penduduk diperintahkan bersurai oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berhampiran ARE.

Lebih 20 orang, termasuk tiga wanita mengalami kecederaan dalam dua pertelingkahan pada hari itu. Seramai 60 orang ditahan oleh pihak polis. Semua kecuali enam dibebaskan kemudian selepas disoal-siasat.

Keenam-enam pemuda itu dibebaskan seminggu kemudian di mana pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan. Penduduk menghalang kerja-kerja membina jalan yang menuju ke tapak buangan kekal di Banjaran Kledang yang dicadangkan.

23 Julai: Seorang doktor Kanada, Bernie Lau, diupah oleh PARC untuk meletakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau berjaya mengesan sejumlah gas radon dibebaskan daripada kilang itu.

Terdahulu dari itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk Amar Stephen Yong berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan penilaian kesan alam sekitar bagi tapak buangan kekal yang dicadangkan itu. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama beberapa orang pegawai Kementerian.

7 September: Perbicaraan saman yang dikemukakan oleh lapan orang penduduk Bukit Merah terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Sebagai mengetengahkan nasib mereka, para penyokong PARC berjalan sejauh 8 km dari Bukit Merah ke Ipoh. Polis menyuraikan tunjuk perasaan mereka berhampiran Menglembu. Sembilan orang ditahan tetapi dibebaskan setelah diikat jamin. Kira-kira 1,000 orang hadir di mahkamah sebagai menunjukkan sokongan mereka.

11 September: Para penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari terakhir perbicaraan. Jumlah mereka yang hadir dianggarkan 3,000 orang.

18 Spetember: Penduduk Bukit Merah mengemukakan permohonan perbicaraan kerana menghina mahkamah terhadap ARE memandangkan ia melanggar perintah menahan operasi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kepada mereka pada tahun 1985.

27 Oktober: Lebih 100 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di antaranya termasuklah pengerusi PARC, Hew Yoon Tat; timbalannya, Hiew Yew Lan; (bekas) setiausaha PARC, Lee Koon Bun; ahli jawatankuasa, Phang Kooi Yau dan peguam Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Merek dibebaskan selepas dua bulan.

November: ARE mula membina tapak buangan kekal sisa toksik di Banjaran Kledang.

1988

25 Januari: Perbicaraan disambung semula.

1990

13 Februari: Perbicaraan tamat selepas berlansung selama 65 hari dan berlanjutan lebih 32 bulan.

1992

11 Julai: Penduduk Bukit Merah memenangi kes saman terhadap ARE. Mahkamah mengarahkan penutupan kilang ARE dalam tempoh 14 hari. Pihak ARE pula mengumumkan ia akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.

23 Julai: ARE mengemukan rayuan di Mahkamah Agung berhubung perintah Mahkamah Tinggi Ipoh supaya operasinya dihentikan. Pengerusi PARC Hew Yoon Tat dan salah seorang plaintif dalam saman terhadap ARE, Lau Fong Fatt menemui kakitangan atasan Mitsubishi Chemical di Jepun. Mereka diberitahu ARE mengemukan rayuan tanpa kebenaran syarikat itu.

24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Hakim Besar Mahkamah Agung menahan (sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasinya.

3 Ogos: Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir di Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menggantung operasinya. Bagaimanapun, hakim-hakim Mahkamah Agung Menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos kerana 'tekanan oleh mereka yang berpiket di luar mahkamah.'

5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan ARE untuk menolak perintah Mahkamah Tinggi yang meminta ARE menghentikan operasinya berikutan rayuan syarikat berkenaan. Menurut hakim-hakim itu, penutupan tersebut akan menyulitkan kilang dan 183 pekerjanya.

1993

15 Mac: Perbicaraan rayuan yang dikemukan oleh ARE di Mahkamah Agung ditangguhkan pada 7 Jun.

7 Jun: Perbicaraan mendengar rayuan ARE sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

1994

19 Januari: Pengumuman syarikat ARE untuk menghentikan operasi.

http://www.malaysiakini.com/news/158216

Isnin, 7 Februari 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir dan Wawasan Politik UMNO

Khalid Samad

Sambil mengikuti perkembangan kebangkitan rakyat Mesir, saya merasakan teramat kagum terhadap kesanggupan mereka untuk turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Setelah dibelenggu selama berpuluh tahun, 30 tahun darinya di bawah Hosni Mubarak, rakyat Mesir telah menyedari bahawa perubahan perlu dilakukan dan tiada cara lain melainkan mereka sendiri berdiri teguh menuntutnya. Persoalan keadilan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya menjadi isu yang mendorong mereka untuk menuntut perubahan. Semua persoalan ini merupakan persoalan yang cukup releven di dalam sebuah masyarakat yang bertamaddun dan bermaruah.

Lantaran dari itu, saya terfikir adakah mungkin ahli-ahli UMNO kebinggungan dengan semua yang sedang berlaku? Mungkin ada yang tertanya, “Apa masalahnya? Tidakkah mereka semua satu bangsa dan majoriti besar mereka itu orang Islam?” Dan pasti juga tertanya lagi, “Hai, bukankah pemimpin mereka tu orang Islam? Jalan raya sudah siap dibina, begitu juga hotel-hotel bertaraf antarabangsa yang didatangi manusia dari seluruh dunia! Apa lagi yang rakyat Mesir itu inginkan?” Dan sudah pasti juga ada yang menyampuk sambil berkata, “Sungguh tidak pandai berterima kasih rakyat Mesir ini!”.

Maka, bagi otak UMNO yang tidak memahami persoalan keadilan, menentang rasuah serta salah guna kuasa, apa yang sedang berlaku pasti sesuatu yang tidak dapat mereka fahami. Akhirnya pasti dirumuskan, “Ini mesti kerja ‘penderhaka’ dan sebagainya”. Rakyat yang baik tidak mungkin menentang kerajaannya walau zalim mana sekalipun.

Untuk pengetahuan tuan-tuan sekalian, otak UMNO ini telah dididik untuk melihat dunia ini secara mudah. Nombor Satu soal kaum dan bangsa. Nombor Dua soal taat dan setia kepada pemimpin. Nombor Tiga bersyukur kepada pemimpin ke atas segala pemberian yang diperolehi. Kalau sedikit, itu soal rezeki yang ditentukan Allah. Rezeki secupak tidak akan jadi segantang, tambah mereka lagi.

Di Mesir, kaum dan bangsanya satu. Semuanya Arab. Kalau dikaji dari agihan kekayaan tempatan, 100% milik Arab kerana semuanya Arab. Dari sudut kepimpinan pula, Arab juga! Dari segi rasuah, biarlah yang rasuah itu, rezki mereka, jangan kita dengki dan jangan kita cemburu. Berdosa. Lagipun, penerimanya pun Arab juga maka apalah masalahnya?

Oleh itu, otak mereka tidak mampu memahami apa yang sedang berlaku. Mengapa ya, tertanya-tanya orang UMNO diantara satu sama lain. Apa yang rakyat Mesir ini hendak?

Ada yang secara bergurau menghantar SMS kepada saya, ‘Pemuda UMNO mendesak rakyat Arab Mesir bersatu. Takut-takut sekiranya berpecah, maka Cina akan ambil alih kuasa dan jadikan Mesir seperti Singapura!’ Saya tergelak apabila menerima SMS tersebut dan terus di saya hantar ke twitter kerana saya tahu bahawa sebenarnya, itulah pemikiran politik orang UMNO, termasuk para Pemudanya.

Begitu juga apabila disebut bahawa Mubarak mengaut harta Negara dan memiliki asset peribadi bernilai hampir USD 30 Billion, maka sudah hampir pasti reaksi pemuda PAS dan pemuda UMNO akan berbeza. Pemuda PAS akan menyerang Mubarak dan membidasnya kerana melalui amalan rasuah dan kronisma Berjaya mengkayakan diri sambil rakyat Mesir dibiar terus miskin. Pemuda UMNO pula sebaliknya akan membincang dan memerah otak sambil menyusun strategi bagaimana hendak jadi kroni Mubarak supaya mendapat manfaat dari hartanya! Kena jadi Arabkah kita? Soal seorang Pemuda UMNO kepada seorang rakannya yang turut kebingungan.

Persoalan keadilan, kebenaran, menentang penindasan dan kezaliman semua itu hanya retorik politik bagi UMNO. Tiada makna. Ianya ungkapan-ungkapan Pembangkang. Dan oleh kerana itu, mereka terngangga melihat apa yang berlaku di Mesir. Namun, hakikatnya rakyat Mesir sememangnya ditindas dan dizalimi selama ini. Pemimpin-pemimpin Negara membolot kekayaan Negara dan rakyat kebanyakan dibiarkan dalam kemiskinan. Siapa yang pernah ke Mesir memahami apa yang saya maksudkan.

Sekiranya datang individu-individu yang menuntut keadilan demi rakyat, menuntut supaya kekayaan Negara diagihkan dengan cara yang lebih adil, mereka-mereka ini akan ditangkap dan dipenjarakan. Dalam penjara mereka akan diseksa dan ada yang dibunuh. Apa yang baru bermula di Malaysia telah lama diamalkan di Mesir.

Oleh itu, saya sanjung keberanian rakyat Mesir dan menyokong usaha mereka untuk mendatangkan perubahan kepada yang lebih baik. Hosni Mubarak, sekiranya mengasihi Negara dan rakyatnya lebih dari dirinya sendiri, harus berundur dengan baik. Cara bagaimana, saya yakin rakyat Mesir lebih mengetahuinya. Biarlah mereka berbincang dan menentukan cara mereka.

Namun, apa yang jelas, setelah melangkah kedepan dengan berani, mereka tidak boleh berundur. Maka amat benar apa yang dikatakan oleh salah seorang penunjuk perasaan di dataran Tahrir, “Sekiranya kami berundur dalam keadaan Mubarak masih berkuasa, dia akan tentukan setiap seorang dari kami ditahan dan dibunuh. Kami tahu, kami pernah laluinya sebelum ini”.

Oleh yang demikian, sama sama kita doakan semoga perubahan itu akan berlaku dan Hosni Mubarak tidak akan terus mengkhianati Negara dan rakyatnya lagi. Sebaliknya akan berundur secara terhormat supaya rakyat Mesir dapat bernafas dan hidup bebas dari cengkamannya.

Begitu juga, supaya ummat Islam di Malaysia, akan dapat membebaskan diri mereka dari corak politik sempit dan ‘pemikiran terhad’ seperti persoalan kaum dan kedudukan; serta mampu menghargai persoalan politik yang lebih utama seperti persoalan memperjuangkan keadilan dan kebenaran serta menolak dan menentang kezaliman. Hanya dengan itu akan ummat Islam dan bangsa Malaysia menjadi ummat dan bangsa yang bermaruah dan disegani dunia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Selasa, 25 Januari 2011

Tragedi Pemikiran Melayu

oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.
Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India.

Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam.

Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

**PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

Melayu & Pemikiran Ungku Aziz

Mukadimah

JASA Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara cukup besar. Sumbangannya bukan sekadar cetusan idea untuk pemantapan sistem pendidikan, kritikan terhadap pentadbiran kerajaan dan suara pembaharuan dalam segenap bidang sejak tiga dekad lalu.

Malah pemikir terulung ini juga merupakan pejuang yang tidak mengenal jemu mengetengahkan pandangannya berkaitan nasib, kemelut dan masa depan orang Melayu walaupun kadang-kadang ia mencetuskan kontroversi. Sudah begitu banyak suaranya `dirakamkan semula' dan `diterjemahkan' dalam bentuk penerimaan dan pelaksanaan.

Paling sinonim dengan Pak Ungku ialah penubuhan Lembaga Tabung Haji, organisasi pengurusan bakal jemaah haji paling efisien dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM) yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar perubatan tempatan.

Kenapa Pak Ungku tidak boleh dilupakan, bagaimana beliau berfikir dan apa lagi cita-cita serta idea yang difikirkannya? Semuanya terjawab dalam pertemuan wartawan RAMLI ABDUL KARIM dengannya, baru-baru ini.

PAK UNGKU baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-81. Dalam usia selanjut ini, Pak Ungku masih aktif dalam pelbagai bidang. Apa lagi yang Pak Ungku masih cari sekarang ini?

UNGKU AZIZ: Kebanyakan perkara yang saya hendak buat, saya sudah buat. Buku yang hendak dibaca, saya sudah baca. Muzik yang hendak didengar, saya sudah dengar. Tempat yang saya hendak pergi, sudah dilawati. Dan, saya sudah pun berjumpa dengan bermacam-macam orang yang saya ingin jumpa.

Jadi dalam usia begini, saya akan buat perkara yang menarik bagi saya. Baca buku yang menarik, tempat menarik ke dan pemikiran menarik. Itulah fokus saya.

Apa lagi cita-cita atau impian Pak Ungku yang hendak dicapai pada masa ini?

UNGKU AZIZ: Mungkin tidak ada lagi. Saya sudah mulakan banyak perkara di Universiti Malaya (UM). Begitu juga dengan penubuhan Tabung Haji. Semuanya sudah dilaksanakan dengan baik malah mungkin lebih baik daripada jangkaan saya.

Ada juga yang tidak mencapai kesempurnaan dan tidak memuaskan hati saya tetapi sekurang-kurangnya sudah ada inisiatif melaksanakan cadangan saya itu.

Apa perhatian Pak Ungku sekarang?

UNGKU AZIZ: Sekarang ini, saya beri tumpuan kepada Angkasa. Daripada badan yang kecil, sekarang ia sudah boleh menyediakan kursus pendidikan kepada lebih 100,000 pelajar. Saya suka bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Angkasa dalam usaha mewujudkan gerakan koperasi di Malaysia.

Yang lain, saya masih lagi ada pejabat di UM. Di situ saya buat kerja akademik dan yang berkaitan dengan akademik Jepun.

Selain itu, melalui syarikat Azair, saya terlibat menyediakan bekalan air di sekolah di Sabah dan Sarawak. Di beberapa tempat di sana tidak ada penyediaan bekalan air untuk pelajar atau penduduk. Mereka takung air hujan atau air parit untuk minum atau mandi. Kami menggunakan teknologi menggali lubang dan mencari air dalam tanah, lengkap dengan sistem penapisan.

Pak Ungku dikatakan seorang yang tidak berhenti-henti belajar. Apakah yang Pak Ungku sedang belajar sekarang?

UNGKU AZIZ: Saya berminat membaca tulisan Parsi dan Jepun. Saya belajar dan sekarang saya sudah boleh membaca tulisan dan buku-buku bahasa Parsi, Inggeris, Jepun dan bahasa Melayu sendiri. Penguasaan terhadap tulisan dan bahasa-bahasa ini menjadi cabaran kepada minda saya. Ia juga memberi peluang berfikir dalam budaya yang lain.

Saya membeli buku-buku dalam semua bahasa ini. Saya tidak boleh berhenti berfikir kerana bagi saya kalau tidak berfikir, itu maknanya kita sudah `tidur'. Tidak perlulah kita goyang kaki dan termenung saja untuk berehat pada usia begini.

Semua orang tahu Pak Ungku banyak sumbangan kepada bangsa dan negara. Apa lagi yang ingin Pak Ungku perjuangkan selepas ini?

UNGKU AZIZ: Sejak saya muda iaitu selepas Perang Dunia Kedua, saya mula memikirkan apakah masalah terbesar orang Melayu. Dari dulu sampai sekarang, saya akan terus memperjuang dan memperkatakan tentang masalah orang Melayu.

Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya bahawa masalah terbesar dan mustahak untuk diatasi dalam masyarakat Melayu ialah kemiskinan. Ini mempengaruhi hala tuju politik Melayu dari zaman merdeka, selepas 13 Mei 1969 dan sekarang.

Masalah politik dalam UMNO dan Pas dan masalah di Kelantan dan Terengganu berakar umbi daripada soal kemiskinan. Selagi masalah kemiskinan tidak diatasi, selama itulah orang Melayu mengalami masalah memajukan bangsa sendiri. Cabaran besar ialah kemiskinan, kita kena cari cara terbaik untuk mengatasinya. Kita tidak boleh beri orang duit saja, RM100 seorang atau apa saja tindakan seumpamanya, itu tidak mengatasi masalah kemiskinan. Kita kena cari punca-punca kemiskinan ini.

Saya menulis banyak kertas kerja termasuk untuk Majlis Perundingan Ekonomi Negara I (Mapen I) dan Mapen II. Tetapi sehingga kini orang ramai belum membacanya sungguhpun ada kesediaan pihak atasan menerbitkan laporan Mapen II itu.

Nampaknya, ia masih dirahsiakan. Saya hairan kenapa ia dirahsiakan dan kenapa orang Melayu sendiri tidak boleh membaca satu laporan begitu tebal yang memikirkan dan memberi banyak maklumat tentang punca-punca kemiskinan orang Melayu.

Dari dulu Pak Ungku asyik membincangkan tentang perkara yang sama ini. Ada yang berkata kenapalah Pak Ungku sibuk sangat dengan masalah orang Melayu ini?

UNGKU AZIZ: Sebab saya orang Melayu. Saya tinggal di negeri Melayu. Saya tidak boleh jaga tepi kain orang Indonesia, saya tidak boleh jaga hal orang di negara China atau India.

Selagi saya ada umur, saya kena hadapi semua ini. Kalau saudara tanya tentang masalah pokok orang Melayu... saya tiada jawapan lain. Itulah dia iaitu masalah kemiskinan.

Kerajaan berpendapat kemiskinan ini boleh diatasi menerusi bidang pendidikan. Bagaimana Pak Ungku melihat perkara ini?

UNGKU AZIZ: Memang benar. Pendidikan memang alat terbesar untuk mengatasi kemiskinan. Tetapi di Malaysia, dasar, teknik dan rancangan memajukan pendidikan orang Melayu berubah-ubah dari semasa ke semasa. Baiki sana dan baiki sini.

Apabila saya kata ini seperti tikus membaiki labu, orang marahkan saya. Dari titik permulaan negara kita iaitu sejak merdeka, cuba tanya apakah yang orang Melayu telah buat untuk menyusun program pembangunan ekonomi dan pendidikan bangsanya.

Kita tidak mempunyai definisi masalah. Kalau ditukar fokus daripada pembangunan ekonomi kepada pendidikan, kita mesti tanya bagaimana pembangunan minda orang Melayu? Dan, apakah sikap orang Melayu terhadap pendidikan?

Dan, satu lagi yang orang Melayu tidak suka saya tanya perkara ini. ``Apakah ideologi orang Melayu ketika ini?'' Adakah ia lahir daripada bidang agama atau ekonomi dan nasionalis? Apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah minda, pemikiran dan sikap orang Melayu terhadap pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Di bidang pendidikan, orang Melayu kena susun program menyeluruh supaya mereka boleh berdiri sendiri. Didorong program itu, barulah orang Melayu menjadi maju. Lihat Jepun, China, Jerman atau Amerika Syarikat (AS), semuanya ada ideologi yang mempengaruhi manusia tentang bagaimana hendak maju dalam bidang pendidikan. Saya rasa kepimpinan Melayu sendiri masa kini, tidak jelas tentang ideologi mereka dalam bidang pendidikan.

Adakah orang Melayu belum mencapai tahap seperti yang Pak Ungku harapkan?

UNGKU AZIZ: Ya. Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula.

Pada tahun 1980-an misalnya, orang Melayu dilanda budaya mengejar wang, gila wang dan mahu cepat kaya. Kalau tidak kaya pun, mereka mahu mendapat duit dengan mudah. Ini merosakkan ekonomi dan masyarakat orang Melayu. Apabila pengaruh budaya wang ini sudah reda, datang pula tumpuan hebat mengikut aliran dunia iaitu dalam bidang agama.

Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.''

Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga.

Orang Melayu juga masih dibelenggu budaya rasuah. Ini ada kena-mengena dengan budaya mengejar dan mementingkan wang tadi. Kadang-kadang, orang Melayu mencampurkan budaya mementingkan wang, agama dan gejala rasuah. Selagi dipengaruhi titian sebegini, orang Melayu tidak boleh maju.

Orang Melayu bagaimana Pak Ungku mahu tinggalkan?

UNGKU AZIZ: Saya hanya boleh beri mereka peluang untuk berfikir. Dalam Islam pun, Rasulullah s.a.w. pun meminta umatnya berfikir. Nabi kata orang yang berfikir untuk kebaikan dalam jangka pendek pun, jauh lebih baik daripada orang yang buat ibadat. Dan kalau kita mahu mengubah keadaan, kita mesti perbetulkan diri dan minda sendiri.

Di sebalik kegagalan mengubah pemikiran dan minda orang Melayu, apakah idea lain Pak Ungku yang berjaya memberi kesan kepada orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Contoh yang masih topikal ialah Dasar Pandang ke Timur. Ini sudah diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan. Dalam bidang pendidikan, menerusi ideologi dasar ini, kita wujudkan program penghantaran pelajar Melayu dari sekolah menengah ke Jepun selepas dua tahun belajar di UM. Setiap tahun kira-kira 150 pelajar pergi ke sana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun dan Malaysia.

Kedua, Pusat Asasi Sains di UM. Pada mulanya, orang tidak percaya pada masa itu iaitu dalam tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahawa anak Melayu dari sekolah rendah Melayu boleh belajar ilmu sains dalam bahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah Melayu.

Saya sediakan cara mengajar orang Melayu dalam bahasa Melayu supaya boleh lulus sekolah menengah dan masuk universiti. Ini berbeza dengan langkah kerajaan sekarang iaitu mengajar semula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Di universiti, kita juga boleh mengajar sains dalam bahasa Melayu selepas itu. Saya buat sistem supaya orang boleh belajar kejuruteraan dan perubatan dalam bahasa Melayu. Sebabnya orang Melayu berfikir dalam bahasa Melayu.

Dan hari ini, menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran Sains di sekolah menengah dan juga Kejuruteraan dan Perubatan di universiti, ribuan anak Melayu sudah jadi profesor dalam bidang perubatan atau bekerja profesional dalam bidang kejuruteraan.

Apa perasaan Pak Ungku apabila dikatakan pelajar-pelajar Melayu lepasan universiti sekarang semakin menurun kualitinya?

UNGKU AZIZ: Memang saya sedih. Kualiti mereka menjadi lebih rendah sebab azam hendak belajar semakin kurang. Ibu bapa tidak berminat ambil tahu pelajaran anak-anak. Mereka ingat sebab ada banyak duit cukup dengan memanggil tutor ajarkan anak dan bagi duit begitu saja. Ibu bapa tidak ambil berat membantu anak-anak.

Selain azam, pelajar pula sebenarnya ramai yang tidak berminat betul-betul mahu belajar. Orang Melayu sudah hilang perhatian ini. Semuanya nak cepat, zaman kehidupan segera, mi segera, bercinta segera dan belajar pun mahu segera juga.

Pemimpin Melayu perlu mengawal pengaruh segera dan ingin cepat ini terutama di kalangan pelajar Melayu. Tidak ada penyelesaian segera dalam apa juga bidang.

Kelemahan lain, tenaga pengajar, profesor...

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah nisbah guru dengan pelajar. Seorang pensyarah bercakap di hadapan lebih 50 orang. Lebih malang kalau mengajar 200 pelajar. Kalau 200 orang mendengar, mustahil boleh belajar. Nisbah di universiti yang baik sejak dulu ialah antara 30 dan 40 pelajar.

Universiti terunggul pula meletakkan nisbah seorang pensyarah dengan 15 pelajar. Ini memberi ruang berfikir dan bersoal balas dengan pensyarah, bukan yang pandai menghafal tetapi tidak berfikir.

Difahamkan Pak Ungku minat mengkaji pantun. Bila buku koleksi pantun Pak Ungku akan siap?

UNGKU AZIZ: Belum siap lagi. Saya sudah baca lebih 3,000 pantun. Hari-hari saya cari pantun Melayu sampai bertimbun-timbun di rumah saya. Kalau dikaji betul-betul, pantun dan teka-teki menggambarkan minda Melayu tulen dan asal-usul pemikiran Melayu. Ia unik dan identiti serta kelebihan orang Melayu. Intisari pemikiran dan minda Melayu terdapat dalam pantun.

Malah kalau orang Melayu mempelajari pantun-pantun bangsa sendiri, orang Melayu boleh maju jaya.

Saya juga ingin mencadangkan bagaimana menganalisis pantun dengan cara dan dimensi yang baru. Analisis lama mengenai pantun Melayu dipengaruhi pemikiran Barat iaitu Inggeris dan Belanda yang memang hendak merosakkan minda Melayu.

Berapa banyak buku yang Pak Ungku sudah baca?

UNGKU AZIZ: Lebih 70,000 buku iaitu sejak 70 tahun lalu. Saya sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabat-pejabat saya. Kamus saja saya ada 20 kamus yang masih dipakai di bilik saya di rumah. Saya juga menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Berapakah jumlah buku yang Pak Ungku cadangkan untuk pelajar baca dalam sehari?

UNGKU AZIZ: Kalau boleh mereka mesti baca sekurang-kurangnya satu buku dalam sebulan. Itu jumlah paling sikit.