Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Isnin, 26 Mac 2012

Pendatang Asing dan Maruah Kita

Pendatang Asing

Pendatang asing makin ramai.

Kita boleh tengok betapa bersepahnya mereka di mana-mana.

Bayangkan...

Katakan seorang gadis sedang berjalan seorang diri di sebuah lorong.

Tiba-tiba dia melihat sekumpulan Mat Bangla di depan.

Apakah yang difikir dan dirasakannya.

Biasa?

Suka?

Atau bimbang?

Bayangkan lagi...

Apa pula perasaan ibu bapa yang ada anak gadis remaja di sekolah sama ada rendah atau menengah.

Mereka tinggal di kejiranan yang terpaksa mereka kongsi dengan pendatang asing.

Adakah mereka rasa selamat?

Bayangkan pula kalau kita...

Apa perasaan kita kalau kita terpaksa tinggal di flat sempit kos rendah di bandar besar?

Kita inginkan sebuah kejiranan yang kondusif untuk anak-anak kita membesar.

Tapi kita tak mampu.

Terpaksalah kita menahan perasaan bimbang dan risau dan terus tinggal di kejiranan yang berkongsi dengan pendatang asing.

Arghhh...!!!

Apa kita risau.

Ni kan negara kita.

Mereka hanya pendatang yang menumpang.

Kitalah tuan di negara kita.

Betulkah kenyataan di atas?

Atau sekadar ayat penyedap hati?

Benarkah kalau kita tinggal di kejiranan yang berkongsi seperti itu kita tetap dianggap tuan?

Atau kita tinggal ketakutan dibuli dengan perasaan takut oleh pendatang asing.

Percaya

Kita pernah percaya kepada Inggeris.

Mereka menjajah negara kita dan mengaut kekayaan kita.

Mereka membuli kita.

Tapi kita menganggap mereka tuan.

Kita pernah percaya kepada Jepun.

Mereka menyebarkan slogan Asia Timur Raya.

(http://id.wikipedia.org/wiki/Kawasan_Kemakmuran_Bersama_Asia_Timur_Raya)

Kita percaya mereka akan membebaskan kita daripada Inggeris.

Tiga tahun lapan bulan rakyat kita menderita perang.

Kita percaya sana.

Kita percaya sini.

Kita harap negara kita berubah dengan jasa orang.

Sama seperti sekarang.

Kita percaya tanpa warga kerja asing pembangunan akan lumpuh.

Sedangkan ramai warga kita yang tak bekerja.

Satu negara menganga mulut menunggu bantuan.

Negara Bangsa

Kalau kita bersetuju dengan konsep negara bangsa.

Maka mari kita fahami dan realisasikan negara bangsa.

Negara bangsa ada sempadan politiknya.

Negara bangsa ada sempadan kedaulatannya.

Sempadan kedaulatan negara kita bukan sekadar Sipadan dan Batu Putih sahaja.

Penaung kedaulatan negara kita adalah gabungan pemimpin dan rakyatnya.

Bukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Atau Mahkamah Dunia.

Atau International Court of Justice (ICJ).

Yang menjadi organ utama kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

(http://ms.wikipedia.org/wiki/Mahkamah_Keadilan_Antarabangsa)

Impian

Saya mengimpikan sebuah Malaysia yang indah untuk anak-anak saya dan generasi anak-anak saya.

Sama ada kita bersetuju untuk bernaung dalam sebuah negara bangsa bernama Malaysia.

Atau kita mahu bernaung kembali di bawah Empayar Melayu Raya seperti mana yang digagaskan oleh Patih Gadjah Mada.



Terpulang kepada pemahaman dan akal budi generasi mendatang.

Tugas kecil kita sekarang ialah memastikan kedaulatan negara kita tidak tercemar dengan ramainya pendatang asing.

Sabtu, 24 Mac 2012

Jom baca buku!!!

Adakah benar bahasa Inggeris bahasa ilmu?

Kalau benar kenapa German, Perancis, Jepun den beberapa negara maju lain tak "kelapaq" pun nak menggunakan bahasa Inggeris selain sebagai alat perhubungan antarabangsa.

Katakan kita displinkan diri baca sebuah buku Melayu sebulan.

Adakah kita yakin menjelang akhir hayat kita akan habis membaca semua buku berbahasa Melayu?

Siapa kata bahasa Melayu tak mampu menjadi bahasa pengantar ilmu.

Bahasa etnik terpencil sekalipun kalau diasah guna boleh berkembang di universiti.

Rabu, 9 Mac 2011

Sinar dicelah kabut...

Baru-baru ni ada satu kes yang menyakitkan kepala.

Sudah menjadi lumrah kita manusia bila kita berdepan dengan sebarang masalah yang bebannya menyebabkan kita tak nampak jalan keluar maka kita akan merujuk kepada seseorang yang kita percaya. Kita akan bertanya bagaimana jalannya atau bagaimana caranya kita dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Orang yang kita rujuk itu oleh kerana dia tidak terbeban dengan masalah kita maka dia dapat melihat dengan jelas isu dan permasalahannya. Seterusnya dia dapat memberi cadangan penyelesaian yang terbaik dapat difikirkannya.

Cadangan yang dilontarkan mungkin berdasarkan pengalamannya, pengetahuannya atau sekadar lontaran tanpa asas.

Bagaimanapun sebelum cadangan tersebut keluar kita telah dapat meluahkan apa yang terbuku di hati dan terbeban di minda. Kadang-kadang semasa meluahkan perasaan kita secara spontan terfikirkan satu penyelesaian atau ternampak punca masalah.

Kita meminta bantuan atau pandangan orang lain bukan kerana kita bodoh, tidak berpengetahuan, tiada pengalaman atau orang yang kita minta pandangan itu lebih baik dari kita. Tetapi dengan meluahkan perasaan dan meminta pandangan orang lain mungkin kita dapat menilai sesuatu permasalahan dari sudut yang berbeza dan menilai permasalahan melalui cara yang baru.

Setelah mendung permasalahan bertukar menjadi kabut nipis yang membiaskan cahaya maka kita mula mengorak langkah menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah yang tadinya beban telah menjadi ringan dan terasa bagaikan suatu cabaran yang mengujakan.

Itulah manusia atau insan yang normal yang cekal dalam menghadapi ujian hidup.

Malang sekali bila ada orang yang ditimpa permasalahan mahu menyelesaikan masalah tanpa mahu mengetepikan ego sendiri. Lebih senang menyalahkan orang lain.

Bercerita, meluahkan masalah dengan harapan dan tanggapan si pendengar akan bersetuju dengannya. Dia bukan mahu mendengar pandangan tetapi dia mahu melontarkan pandangan dan mahu ianya dipersetujui.

Pandangannya itu bukan pandangan yang menguntungkan masyarakat umum tetapi pandangan yang hanya menguntungkan dirinya. Tetapi ianya diulang berulang kali bagi mensahihkan fakta.

Sudah menjadi tabiat masyarakat kita, apa saja yang kerap didengar maka itulah yang betul. Sifir mudahnya kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tidak perlu kaji selidik lagi. Kalau tak betul takkan orang bercakap.

Bila bermasalah kita cari penyelesaiannya. Tetapi tidak baginya. Saya ada masalah dan awaklah yang perlu selesaikannya sebab awak ada kuasa. Awak dibayar gaji. Kalau tidak gaji awak tu haram nak bagi makan anak bini.

Menarik betul sifirnya. Dia ada masalah kita kena selesaikannya. Kita dibayar gaji kerana kita buat kerja mengikut bidang tugas yang diamanahkan dia pulak yang buat fatwa haram dan halalnya. Bila pulak dia jadi mujtahid.

Walaupun kali ini terpaksa bersengkang mata dan minda. Terpaksa juga memujuk jantung hati yang sesekali remuk redam dibelasahnya. Namun ianya kemudian bertukar menjadi cerminan pengalaman yang mengujakan. Andainya suatu hari saya berpeluang menaqalkan kisah ini dalam sebuah memoir maka insyaAllah saya akan lakukan. Semoga ianya menjadi pengajaran bersama kepada anak-anak.

Rabu, 23 Februari 2011

Februari...



Bulan Februari hampir ke penghujungnya...biasanya bulan Februari cukup indah dengan sinar cahaya cinta anugerah Ilahi...bukan kerana Velentine Day tapi kerana hari lahir Umi...



Maafkan Abah kerana tak dapat bersama Umi di hari ulang tahun Umi...namun wajah Umi tak pernah hilang dari jantung hati Abah...Umilah yang sudi mengikat baiah janji setia dengan Abah...biarpun saat Abah senang mahupun susah...



Umi...belum sempat Abah menitipkan hadiah buat Umi...sayu rasa hati bila mengenangkan Umi yang sedang sarat mengandungkan hadiah buat Abah...sesungguhnya hanya Umi yang bertakhta di hati Abah dan Iskandar...



Peluk cium dari Abah...

Khamis, 10 Februari 2011

Kontradik...

Harga tol dari jam 12 malam sampai 7 pagi dikurangkan 10%...


Kempen keselamatan jalanraya meminta pemandu jangan memandu ketika mengantuk bagi mengelakkan nahas jalan raya...hmmm...

Jumaat, 28 Januari 2011

Eksiden 27 Januari 2011

1. Semalam lebih kurang jam 5.30 petang keluar dari pejabat nak balik rumah.


2. Undur kereta keluar dari tempat parking dan sebaik sahaja berada betul-betul dalam lorong sebuah kereta waja pun mengundur keluar terus menghentam belakang kereta aku.


3. Kemik la sikit.


4. Pemandu kereta waja mengaku salah, terus pergi ke bengkel ketuk kereta berhampiran IPD Kampar.


5. Kos baiki ditanggung beliau.


6. Terima kasih kerana bertanggungjawab.

Ahad, 16 Januari 2011

Santan Tercemar


Tahniah kepada TV3 di atas laporan pendedahan Aduan Rakyat tentang isu santan tercemar. Sangat menarik bila bahan asas popular dalam masakan majoriti masyarakat Malaysia rupa-rupanya mengandungi bahan cemar yang berbahaya kepada kesihatan pengguna. Isu yang lebih menarik ialah ianya bukan tercemar akibat ketidaksengajaan sebaliknya peniaga memasukkan / membancuh bahan kimia bagi menjadi santan untuk mengaut untung.

Isu santan tercemar kalau diperhatikan dengan teliti sebenarnya lebih buruk daripada isu babi yang tercemar oleh kuman virus JE. Ini kerana pengusaha ternakan babi tidak pernah berusaha mencemarkan babi mereka untuk mengaut untung tetapi pengusaha santan bertindak lebih zalim daripada itu.

Apapun sekali lagi tahniah kepada TV3 atas laporan tersebut. Masyarakat memerlukan maklumat sebegini bagi menjamin kesejahteraan hidup bukannya gosip picisan yang banyak terlambak setiap hari. Kehidupan artis bukannya wajib diketahui tetapi itulah yang dilambakkan. Apa juga yang berlaku kepada artis tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan kita tetapi perbuatan terpencil peniaga santan di ceruk sebuah pasar mungkin menyebabkan ramai warga kita yang terpaksa melepak dalam wad hospital.

Ahad, 17 Oktober 2010

Ingatan...

Sesungguhnya manusia yang tidak mahu mempedulikan sejarah bangsa dan agamanya adalah manusia-manusia miskin dan merempat, umpama orang yang hilang ingatan, identiti, sekaligus maruah dan harga diri. Manusia-manusia seperti ini seringkali terdedah kepada pendirian yang berubah-ubah seperti lalang, cepat keliru serta mudah diperkotak-katikkan. Mereka juga sering terjatuh kepada perangkap yang dipasang oleh musuh-musuhnya kerana gagal mengambil iktibar dari sejarah jatuh bangun serta naik turun bangsanya dan umat Islam.

Selasa, 14 September 2010

Sekadar pandangan dan harapan...

Salam ustaz

Merujuk kepada cit chat kita dalam tampalan ustaz dalam FB berkenaan dengan solat Jumaat pada hari raya yang mana ustaz menyanggah pandangan fiqh Dr Asri.

Saya tidak ingin berbahas dengan ustaz berkenaan dengan fiqh atau dalam bahasa yang lebih tepat saya sebenarnya tidak mampu berbahas dengan ustaz dalam soal ini kerana jurang pengetahuan yang sangat luas. Sebenarnya di sini saya ingin menyuarakan rasa hati saya sebagai umat Islam kategori awam yang cetek ilmu pengetahuan tetapi AlhamdulilLah diberikan hidayah timbul minat untuk belajar agama secara berdikit-dikit.

Saya percaya dalam masyarakat kita masa kini majoriti umat Islam termasuk dalam kategori yang sama seperti saya. Tentunya orang yang seperti kami amat memerlukan ilmuan seperti ustaz dan Dr Asri dan lain-lain ilmuan agama sebagai pembimbing.

Manusia seperti kami bukan sahaja cetek dari segi fiqh bahkan juga lebih menyedihkan ceteknya dalam bidang akidah dan ibadah. Kami bukan setakat memerlukan pimpinan bahkan juga tuntunan daripada para ilmuan yang memegang amanah kendali umat.

Kami mendengar ceramah para ilmuan, kami juga mendengar dakyah para munafik dan propaganda musyrik. Sesekali kami keliru dan kembali dicerahkan oleh para ilmuan. Kami dimaklumkan bahawa kelemahan umat Islam masa kini disebabkan kita tidak bersatu padu.

Mengharapkan ideologi nasionalisme Melayu yang ternyata gagal maka kami kembali kepada Islam yang syumul. Kami beralih daripada politikus sempit kepada ilmuan yang mengajar tentang keluasan, kebebasan, keadilan dan kecerahan Islam. Kami mahu bersatu dibawah panji-panji Islam, berteduh dibawah rendangnya ilmu para ilmuan.

Alangkah malang kalau antara para ilmuan sendiri bercakaran. Apakan terjadi pada nasib orang awam seperti saya dan yang lainnya yang baru berjinak dengan Islam. Apa yang dapat saya sampaikan kepada generasi anak-anak saya yang masih mentah kalau saya sendiri masih keliru dan dikelirukan.

Maka saya diberitahu melalui ceramah yang saya ikuti lewat Youtube, Islam amat rigid dalam soal akidah dan ibadah khusus tetapi berlapang dada dalam soal fiqh. Islam itu mudah dan bukan menyusahkan. Ilmu akidah yang menjadi teras ajaran Islam adalah ilmu yang paling ringkas dan mudah difahami sama ada oleh cendiakawan di universiti, peniaga di bursa saham atau petani di sawah.

Ketika di Habsyah Jaafar bin Abi Talib berjaya memberi penerangan tentang Islam kepada Najasyi yang beragama Kristian sehingga beliau memeluk Islam secara senyap. Sudah tentu sebagai raja dan beragama Kristian yang taat beliau adalah seorang intelek namun penjelasan Jaafar bin Abi Talib masuk akal pada raja sehingga menyentuh nuraninya.

Islam juga disampaikan kepada Arab Badwi yang boleh kita samakan sebagai jakun dalam masyarakat kita tetapi kerana mudahnya akidah Islam ia juga turut difahami oleh si Arab Badwi tadi.

Ramai dalam kalangan masyarakat yang ingin kembali kepada Islam, disebabkan itulah siapa saja yang sanggup mengetuk pintu hati mereka maka mereka mudah mengikutnya. Sebab itulah ajaran sesat begitu mudah tersebar. Pendakyah ajaran sesat begitu komited mencari pengikut manakala orang awam pencari hidayah ini dalam kegelapan ilmu menurut saja yang mana paling hampir dengannya dan dirasakan boleh dipercayai. Bayangkan kalau hal ini terjadi berkali-kali akan lunturlah semangat si pencari hidayah yang baru mahu berjinak hatinya mencari Islam. Sedangkan para ilmuan sibuk berbahas tentang soal fiqh yang masing-masing ada dalil.

Sekiranya para ilmuan berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan umat dalam soal fiqh yang diperselisihkan maka naiklah masing-masing atas satu pentas dan berdebatlah. Di akhir debat tersebut buatlah kesimpulan dan hasil kesimpulan itulah yang disampaikan kepada orang awam seperti kami. Janganlah soal fiqh seperti itu dibahaskan di laman sosial. Walaupun ramai diantara kami yang tidak memberi komen namun kami membaca.

Saya ingin menegaskan sepanjang saya mengikuti ceramah ataupun tulisan Dr Asri saya tidak pernah mendengar atau terbaca sebarang kritikan beliau kepada ustaz sama ada dalam bahasa yang lembut hikmah atau kasar tak berlapik. Sekiranya ustaz tidak bersetuju dengan beliau dalam soal fiqh maka langsung saja ustaz berbahas dengan beliau. Bukan dengan kami yang cetek ilmu. Dari segi akidah saya percaya kita semua meyakini Allah yang esa. Salam dan berkat untuk ustaz. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Ramlan bin Ramli
Kampar, Perak.

Jumaat, 9 Julai 2010

Lawatan Cik Ding I Ling

Pagi tadi dalam pukul 10.20 pagi sorang klien Bengkel Interaktif hadir untuk sesi TSCS. Lepas sejam sesi pun tamat. Sambil aku menghantar klien keluar tiba-tiba dimaklumkan staf ada klien lain nak jumpa. So macam biasa...terima tanpa syarat aku pun jemput masuk ke bilik.

Agak suprise gak bila tengok dua orang klien cina, sorang lelaki dan sorang perempuan. Klien cina tu biasa la tapi kali ni lain sket bila ekspressi wajah dua orang ni lagi ceria berbanding aku. Muka aku dalam dua hari ni agak sembab sebab demam dan kurang tidur. Misai dan janggut pun cam tak berbela. So serabai le sket.

Aku pun terus tegur dengan ayat biasa : “apa yang boleh saya bantu?” bertambah suprise bila tetamu memperkenalkan diri sebagai kaunselor JKM dari Pulau Pinang. Cik Ding I Ling dan kawan lelakinya pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Hijau Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar, Perak.

So, reda sikit dari kejutan bermula sesi perkenalan...agak memalukan bila aku tak kenal Cik Ding tapi dia pernah perasan aku masa kat Persidangan Kaunselor kat Plaza Safuan, Chow Kit (dah lupa apa nama hotelnya).

Uniknya Cik Ding mudah mesra dan lebih menarik bila dia sudi datang ke PKMD Kecil Kampar yang daif ni. Sempat juga la dia komen pejabat tak sesuai sebab tak mesra OKU. Aku diam je la pasal memang betul pun. Apa nak buat bajet ciput...jangan katakan nak tukar pejabat...klaim TNT pun belum tentu lagi...

Ada la beberapa isu yang disembangkan contohnya pasal keluarga, perkahwinan jarak jauh, sedikit cerita pasal pengalaman di Selangor, anak, pasal isu pendidikan, statistik, sambung belajar dan beberapa isu lain. (Harap Cik Ding tak kisah sebab kita tak ikat janji kerahsiaan).

Apa pun satu yang menarik tentang lawatan Cik Ding ialah :

1. Ia berlaku secara tidak rasmi. Beliau sekadar datang mengisi masa dalam perjalanan balik ke Sitiawan. Sikap mesra yang jarang orang lain nak buat. Aku pernah melawat rakan-rakan di Bahagian Psikologi dan Kaunseling Ibu Pejabat JKMM tetapi langsung tidak dipedulikan seolah-olah tidak wujud. (Bukan team yang ada sekarang ni la).
2. Perbualan dengan beliau bukan sekadar bual kosong tetapi menarik untuk perkongsian pengalaman.

Sesi perbualan tamat sekitar jam 12.30 tengah hari kerana bergegas untuk solat Jumaat. Sedikit kesal kerana tak dapat makan tengah hari bersama. InsyaAllah lain kali kita jumpa Cik Ding. Terima kasih atas kesudian lawatan tak rasmi. Semoga ada manfaatnya untuk psikologis lain yang membaca. Salam dan berkat untuk semua.

Selasa, 6 Julai 2010

Kisah Mak Inang Garang

Arakian maka tersebutlah kisah akan bosku Cik Puteri yang meminta aku datang ke Batu Gajah untuk bermeting. Maka akupun dengan taatnya menurut perintah turun ke Batu Gajah untuk bermeting. Disebabkan tergopoh-gapahnya aku mengejar masa kerana takut tercuai titah, tak ku sedar akan tuntutan fitrah untuk sarapan pagi. Mujurlah setelah sampai untuk menjunjung duli aku dilimpah kurnia belanja makan pagi. Tanpa berfikir panjang akupun terus merafak takzim menurut perintah.

Akupun dibawa ke warung Mak Inang Timah Garang (timah ke tipah ntah ler...) untuk menyantap sarapan pagi. Letih menunggu nak order...kerana Mak Inang tak bleh ditegur...kabarnya Mak Inang digeruni seantero Batu Gajah. Musykilnya aku warungnya penuh...kabarnya citarasanya enak sekali...sekilas terpandang wajah Mak Inang saling tak tumpah warden Taman Seri Puteri...rasa cam makan kat dewan makan institusi...

Sekali nak bayar bosku dimarah Mak Inang...setahu aku bosku garang...biarlah sesekali dier lak kena marah hehehe...rupanya Mak Inang tak gemar menjunjung titah...

Dah bermastautin di Perak aku tak mau cakap banyak...pesan Sang Adi Putra masih kuingat...kalau makan di negeri Perak jangan banyak kompelin...takut nanti muntah kedarah...

Sabo je la...

Rabu, 14 April 2010

Kenangan Berceramah Di PPKKS

Masa majlis sambutan Ambang Merdeka tahun lepas di PPKKS, saya diminta menyampaikan ceramah kepada kakitangan dan pelatih. Setelah sekian lama bersusah payah berusaha menyelaraskan gaya penyampaian supaya sesuai dengan tahap pemikiran para pelatih, pada malam tersebut saya melupakan semuanya. Saya terus menyampaikannya dalam bahasa umum yang minimum standard pemikirannya bertaraf SPM.

Saya tidak peduli sama ada pelatih faham atau tidak. Secara egonya lebih kepada lepas gian nak berceramah secara bebas dan bersahaja. Imbasan semasa zaman belajar di kolej, ketika minda masih kosong dan polos dilonjakkan oleh tenaga remaja yang menyala-nyala, keghairahan menyampaikan idea begitu membuak dan emosinya cukup terasa ketika saya menyampaikan ceramah bertemakan kemerdekaan walaupun kepada remaja yang lemah akademiknya.

Antara lain isi ceramah tersebut ialah saya akan menyentuh soal Satu Malaysia. Bagaimanapun idea ini tidak saya utarakan kerana pada ketika itu ianya malangkaui keperluan majlis dan permintaan penganjur. Idea ini akan saya kongsikan di sini.

Bagi saya idea ini tidak akan tercapai jika kita hanya bergantung kepada kontrak sosial yang ideanya dicetuskan oleh sekelompok pemimpin.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa dengan kehebatan teknologi maklumat masa kini, generasi sekarang lebih terdedah untuk turut sama membuat keputusan. Maka kalau sekarang kita katakan ada orang yang berani mencabar kontrak sosial fahamilah bahawa kontrak sosial telahpun dicabar seawal kemerdekaan lagi. Ramai bukan bumiputera yang mempertikaikan isu ini ketika perlaksanaan DEB di bawah Tun Abdul Razak dulu.

Kalau dulu telah dipertikai, sekarang pun dipertikaikan lagi bahkan dengan lebih hebat hujahnya maka bagaimana pula dengan masa akan datang. Ketika itu generasi memahami sejarah bergantung kepada pembacaan buku kerana tiada lagi generasi lama yang masih hidup untuk dijadikan panduan.

Saya mencadangkan dalam konteks masa sekarang sudah sampai masanya kita perlu berasimilasi dengan kaum lain secara lebih dekat bukan sekadar pemahaman terhadap kontrak sosial. Maksud saya di sini ialah kita perlu berasimilasi secara kahwin campur.

Sebagai contoh Ali ada seorang anak lelaki, Ah Seng pula mempunyai seorang anak perempuan. Anak Ali berbangsa Melayu dan bertaraf bumiputera. Anak Ah Seng pula adalah seorang Cina yang bertaraf bukan bumiputera.

Setelah besar, anak Ali dan Ah Seng bertemu di IPT contohnya, bercinta dan akhirnya berkahwin. Setelah setahun mereka mendapat anak. Kini setelah selang satu generasi cucu Ali dan Ah Seng kini bertaraf bumiputera tanpa perlu mengisi sebarang borang atau bertegang lidah dan urat untuk menuntut hak dan taraf yang sama.

Saya gemar membaca cerpen-cerpen lama karya Abdul Rahim Kajai dan Pak Sako. Dalam cerpen mereka ada akronim DKK dan DKA. Pada mulanya saya tertanya-tanya apa maksudnya sehinggalah saya mendapat jawapan DKK bermaksud Darah Keturunan Keling dan DKA Darah Keturunan Arab.

Kedua-dua golongan ini tidak diiktiraf sebagai Melayu pada awalnya. Kecuali perempuan DKK atau DKA berkahwin dengan lelaki Melayu barulah anaknya diiktiraf sebagai Melayu.

Mungkin kita anggap perkara ini mudah kerana persamaan akidah, sama-sama Islam. Tetapi realitinya tidak begitu. Pada masa itu golongan DKK atau DKA dipanggil Syed atau Sayid yang dikatakan mempunyai pertalian darah atau nasab sehingga sampai kepada Rasulullah. Mereka dianggap sebagai golongan atasan atau bangsawan sehingga sukarlah lelaki Melayu meminang anak gadis mereka. Kajai juga sering mengungkapkan golongan ini sering menggunakan agama untuk kepentingan kebangsawanan mereka.

Saya setelah membaca cerpen-cerpen tersebut cukup terasa suasana latar budaya masyarakat pada masa tersebut. Tetapi dapat kita lihat kini suasana itu telah berubah. DKK dan DKA telah diiktiraf sebagai Melayu. Saya tidak mencadangkan idea baru tetapi sekadar mengingatkan semula.

Sebenarnya saya menyatakan semua ini dalam ruangan kali ini kerana satu pukulan yang saya rasai baru-baru ini. Dalam keghairahan menyatakan idea dan pendapat kononnya sebagai warganegara generasi baru yang berwawasan dan sensitif terhadap masa depan negara tiba-tiba saya dihadapkan dengan situasi yang cukup sinis saya rasakan.

Seorang kakitangan di tempat saya berkerja sekarang telahpun melaksanakan idea ini lama sebelum saya melontarkan idea dalam ceramah di PPKKS. Berkahwin silang bangsa dan budaya. Keduanya saling bertoleransi dengan baik. Lebih baik daripada para pembuat dasar yang hanya mencetuskan idea. Kakitangan inilah yang berdakwah dengan hikmah menyebarkan agama dan budaya secara lembut dan kekal menjadi generasi.

Sebagai seorang penceramah kecil di pentas yang kecil sepatah yang mampu saya ucapkan : “Saya malu dan terasa kerdil sekali”.

T&T Negeri Perak

Bertemu lagi…maaf kepada kengkawan pasal lama tak update. Maklum jelah dah jadi staf baru kat Perak ni banyak ler kerjanya…kalau tak sibuk aku pulak yang menyibuk…

Sedar tak sedar dah nak masuk tiga bulan aku kat PKMD (K) Kampar. Kalau dulu di PPKKS banyak program yang boleh di buat di Kampar ni slow sikit pasal masalah bajet.

Sekarang ni di mana-manapun jabatan kerajaan isu yang sama : bajet yang terhad. Yang paling menjadi rungutan ialah masalah tuntutan perjalanan yang kini dihadkan dengan tangga siling. Kalau lebih dari had siling maka kena potong ler jawabnya.

Buat masa ni aku belum lagi berhadapan dengan masalah ni sebab macam biasa aku jenis yang malas nak isi borang T&T. Kalau di PPKKS dulu ada kerani kewangan yang sudi menolong menyediakan tuntutan untuk aku secara percuma sekarang terpaksa ler berdikari sendiri.

Masa awal-awal masuk, kengkawan yang naik pangkat sekali sibuk dengan urusan tuntutan pindah. Aku rileks je pasal malas nak pening kepala. Akhirnya setiausaha sulit aku yang buatkan tuntutan tu. So settle le satu masalah. Boleh ler lepas ni bayar saman dan hidupkan road tax.

Kepada setiausaha sulit aku tak tau macam mana aku nak sampaikan rasa penghargaan. Hanya yang mampu aku katakan : “TERIMA KASIH UMI”

Isnin, 8 Mac 2010

Hero

Selesai saja sesi pagi ni aku termenung seketika sehingga beberapa ketika. Berdepan dengan klien ada kalanya memberi pengajaran lebih banyak daripada dalam bilik kuliah. Realiti – itulah fakta dan itulah hakikat. Kekadang kita seakan tidak percaya dengan realiti masyarakat sekarang.

Berkerja dan bergelumang dengan individu, keluarga dan masyarakat saban hari pastinya menemukan aku dengan pelbagai golongan dan kategori manusia. Lebih menarik dan mencabar minda adalah akal budi manusia yang pelbagai dicorakkan oleh rencah pengalamannya.

Umpama membaca sebuah novel, apalah nilainya novel itu jika tiada elemen konflik di dalamnya. Siapa yang akan teruja membaca novel yang wataknya berjaya sepanjang masa. Sudah menjadi tertib yang tidak tertulis bahawa sesebuah naratif itu perlu dipalitkan dengan pelbagai konflik untuk memantapkan watak utamanya.

Walau siapapun kita, walau di manapun kita, di posisi mana atau apa sekalipun kita berada yang nyata kitalah hero dan heroin dalam hidup kita. Dalam sesebuah naratif, kita akan mengenal watak utamanya bila keseluruhan cerita itu melibatkan watak tersebut. Tanpa watak tersebut episod itu tidak akan terhasil. Maka jelasnya dalam cerita hidup kita, kitalah heronya.

Dalam hidup biasanya kita jarang menjadi watak utama. Bagaimana aku dapat menjadi watak utama? Aku hanya peon dalam pejabat. Watak utama adalah bos selaku pembuat keputusan.

Nyatanya anda tetap hero dalam sebuah cerita kisah hidup seorang peon. Bayangkan begini :

Seorang pengarah ingin menggarap sebuah filem yang mengangkat watak seorang peon lantas menggilap sisi positif dan tertinggi seorang peon. Maka dalam cerita tersebut watak peon akan memonopoli keseluruhan layar perak manakala watak bos hanya sekadar pelakon pembantu dan boleh juga digambarkan pengarah sebagai antagonis.

Peon tersebut akan digambarkan sangat penting sehingga mempengaruhi keseluruhan operasi pejabat. Mungkin situasinya begini :

Peon itu dipandang rendah dan tidak ada nilainya kepada pejabat. Dia selalu jadi mentimun yang akan luka dalam apa jua kondisi. Pada suatu hari peon tersebut MC (cuti sakit), maka kelam kabutlah seluruh pejabat yang tiba-tiba menerima lawatan mengejut daripada audit. Masing-masing teringat kepada si peon yang tak berguna itu. Barulah teringat betapa besarnya jiwa si peon yang kekal sabar walaupun dimarah atas alasan yang kecil.

Boleh saja apa juga perwatakan digarap menjadi hero asal kita mahu menggubahnya begitu. Hero atau tidak tergantung kita selaku watak utamanya yang merangkap pengarah dan penulis skrip. Berjaya atau tidak tergantung takdir Ilahi. Yang nyata tuhan tidak pernah menafikan peranan kita sebagai hero dalam kisah hidup kita.

Salam dan berkat untuk semua.

Rabu, 10 Februari 2010

Teori Kaunseling Sebagai Asas Profesionalisme

Teori atau mazhab kaunseling adalah asas atau panduan bagi seseorang kaunselor untuk membezakan dirinya sebagai perunding profesional. Pada saya untuk memantapkan penggunaan teori kaunseling, pilih satu teori dan amalkannya selama setahun secara konsisten. Sebagai contoh teori tingkah laku. Gunakan pendekatan ini kepada semua klien dan lihat bagaimana ia berperanan dan keberkesanannya dalam membantu klien mengubah tingkah laku.

Selepas setahun tukar pendekatan kepada teori yang lain pula dan ulang silibus yang sama. Selepas lima tahun kita akan mahir dalam lima teori dan dapat membuat perbandingan mana yang lebih sesuai dengan diri, peribadi dan personaliti seseorang kaunselor.

Ingat tidak ada teori yang terbaik. Semua teori adalah baik dan sesuai diamalkan oleh kaunselor dan diaplikasikan ke atas klien. Cuma apa yang penting di sini adalah kesesuaian dan keserasian kaunselor yang mengamalkannya.

Keserasian kaunselor dengan sesuatu teori akan menghasilkan kaunselor yang tulen (genuine) dan dapat melahirkan empati yang berkesan terhadap klien.

Apa yang sangat penting diawasi oleh setiap kaunselor adalah persoalan silang budaya masyarakat di mana dia menjadi kaunselor. Setiap teori perlu disesuaikan dengan silang budaya. Tanpa pengertian yang mendalam terhadap silang budaya setiap teori hanyalah sekadar hampas.

Salam dan berkat untuk semua.

Sabtu, 16 Januari 2010

Mesyuarat

Mesyuarat adalah kaedah terbaik menyatukan hati manusia dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Kata perbilangan masyarakat Minang menyebut “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Saya pernah tertanya-tanya kenapa sidang parlimen perlu diperuntukan masa tertentu dan kadangkala dilihat sangat terhad.

Sekarang saya bersetuju dengan kaedah yang diamalkan.

Tanpa masa yang ditetapkan kecenderungan untuk “kelaut” adalah sangat tinggi dan dalam konteks parlimen “kelaut” membawa implikasi yang besar terutama perbelanjaan wang rakyat.

Zaman sekarang ramai yang bermesyuarat tanpa tahu kaedah.

Mesyuarat jadi terlalu panjang.

Pengerusi berucap berjela-jela.

Isu dibincang tetapi tidak ada kata putus.

Pengerusi takut buat keputusan.

Ahli mesyuarat takut keluarkan idea.

Semua ini adalah barah dalam setiap organisasi zaman ini.

Saya pernah bersembang dengan beberapa orang kawan.

Ketika lepas mesyuarat biasanya ada mesyuarat tidak rasmi untuk mengutuk kelemahan bos.

Saya lihat idea yang dinyatakannya ada benarnya dan sangat baik jadi saya bertanya kenapa dia tidak menyuarakannya dalam mesyuarat.

Jawapannya memeranjatkan saya : “kalau saya bagi cadangan nanti bos suruh saya buat”.

Mari kita imbas sebuah cerita kanak-kanak :

Sekumpulan tikus berbincang bagaimana mengelak daripada di makan kucing. Dalam banyak-banyak cadangan yang diutarakan ada sekor tikus bagi cadangan supaya diikat kalung loceng di leher kucing. Jadi bila kucing datang semua tikus akan dengar bunyi loceng dan sempat menyembunyikan diri. Idea ini diakui oleh semua tikus sebagai cadangan yang sangat baik. Tetapi bila pengerusi tikus bertanya siapa yang hendak mengikat loceng di leher kucing tak ada sekor pun nak volunteer. Termasuklah yang bagi cadangan. Agaknya sebab itulah orang yang takut dipanggil menikus.

Konflik dalam organisasi adalah sesuatu yang biasa.

Ianya merupakan kekuatan dan kelemahan sesuatu organisasi.

Ada ahli yang boleh jadi “Master Mind” dan ada yang lain jadi “Monster Mind”.

Ada yang berfikir camana nak tingkatkan kualiti organisasi dengan berkerja secara bersistem dan terarah supaya semua ahli mendapat manfaat bersama. Kita menyumbang yang terbaik kepada organisasi akan datang tanpa diduga melalui cara yang tidak pernah kita sangka organisasi akan menyumbang sesuatu yang lebih baik kepada ahli. Sumbangan organisasi bukan bermaksud sumbangan ahli dalam organisasi tetapi betul-betul organisasi itu sendiri.

Ada pula yang berfikir untuk mengelak daripada dikutuk, dicerca oleh orang lain jangan buat kerja lebih daripada yang sepatutnya. Maka orang tidak rasa bersalah main internet atau buang masa dalam pejabat daripada duduk berbincang menyatukan fikir merancang rencana kerja. Asalkan aku ada dalam pejabat tak kira aku buat apa orang tak boleh kata apa. Inilah namanya merancang untuk gagal.

Sama-sama kita fikirkan. Salam dan berkat untuk semua.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
Sabtu, 16 Januari 2008 (10.53 malam)

Rabu, 30 Disember 2009

Mesyuarat Pra MoU PPKKS dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UPSI

Semenjak perlantikan Dr. Fauziah Hanim binti Abd. Jalal sebagai ahli lembaga pelawat Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, semakin kerap aktiviti dan program yang berjaya dianjurkan bersama antara Unit Kaunseling dan Psikologi PPKKS dengan para pelajar daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UPSI. Berdasarkan daripada program yang telah berjaya di anjurkan sepanjang tahun 2009 didapati berlaku perkembangan positif terhadap perkembangan emosi para pelatih kesan daripada hubungan dengan para fasilitator.

Hal ini dapat dilihat dalam sesi bimbingan dan kaunseling selepas setiap program tersebut dijalankan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan kecil yang dilakukan fasilitator dari segi penyediaan modul, pengurusan masa dan komunikasi yang berkesan namun ianya tidak dipedulikan oleh pelatih sebaliknya mereka menekankan rasa seronok dan gembira ketika bersama dengan kakak-kakak dan abang-abang fasilitator.

Secara umumnya para pelatih PPKKS walaupun tidak pernah terlibat dengan sebarang jenis jenayah secara perundangan namun mereka adalah golongan berisiko yang memerlukan pemantauan berkesan sepanjang masa. Hal ini kerana sejarah hidup pelatih yang tidak terurus hasil daripada masalah keluarga dan sebagainya.

Walaupun begitu para pelatih masih lagi kanak-kanak yang secara nalurinya menolak pemantauan dan mahukan kasih sayang. Sudah tentu dalam usia yang mentah mereka masih keliru dengan apa itu kasih sayang dan kasih sayang yang bertanggungjawab. Oleh yang demikian kahadiran abang-abang dan kakak-kakak ini memberikan dorongan secara emosi kepada mereka.

Perkembangan emosi yang semakin positif akan memudahkan para pekerja sosial di PPKKS untuk mengendali dan membentuk tingkah laku positif para pelatih. Sudah tentu program ini mesti dilakukan secara berkala dan berterusan bagi menjamin kesinambungan perkembangan pelatih secara fitrah.

Bagaimanapun satu hal yang dikenal pasti sepanjang program 2009, para fasilitator kurang mementingkan klien dan lebih fokus untuk menyiapkan program seperti mana yang dikehendaki oleh kursus yang diambil. Akhirnya jadilah program tersebut sebagai program “asal siap” manakala kualitinya tidak begitu dipentingkan.

Bagi meneruskan dan memantapkan lagi kerjasama yang telah sedia terjalin Unit Kaunseling dan Psikologi PPKKS telah berbincang dengan Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor bagi mencari jalan dan pendekatan terbaik bagaimana usahasama ini dapat menghasilkan kualiti yang mantap sesuai dengan hasrat YAB Perdana Menteri agar “Pencapaian Diutamakan”.

Hasil daripada Mesyuarat Perbincangan Kerja Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor Bil. 14/2009 pada 28 Disember 2009, dipersetujui agar satu kerjasama antara Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor dengan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dimeterai. Satu program dengan konsep mentor mentee antara para Kaunselor dan Penolong Kaunselor JKMN Selangor dengan para pelajar UPSI diadakan dan para pensyarah daripada UPSI akan bertindak sebagai penyelaras bersama dan sebagai pemantau sepenuhnya.

Program ini melibatkan sesi kaunseling dan bimbingan kelompok di institusi kelolaan JKMM dalam negeri Selangor khususnya PPKKS. Setiap kelompok akan dikendalikan oleh seorang kaunselor dan seorang pelajar menggunakan teknik kaunseling yang sesuai. Perjalanan sesi selama sejam atau kurang akan dipantau oleh pensyarah UPSI dan sesi “post moterm” bersama pemantau akan terus dijalankan selepas itu.

Sebarang isu yang timbul daripada sesi tersebut boleh terus dipantau oleh kaunselor walaupun tanpa fasilitator. Ini bermakna keperluan emosi klien akan terus terjaga. Hasil daripada penilaian para pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia akan turut membantu para kaunselor JKMN Selangor memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan. Jelasnya di sini satu situasi menang-menang dapat diwujudkan.

Para kaunselor dapat memantapkan ilmu dan pengalaman manakala pelajar mendapat pengalaman baru dan memahami erti komitmen dalam menjalankan program. Pengalaman ketelusan dan ketegaran dalam menjalankan program dapat dikongsi bersama.

(RAMLAN BIN RAMLI)
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah.

Sabtu, 26 Disember 2009

Azam 2010

Kita sekarang berada di penghujung tahun 2009. Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan berjaga sehingga dinihari menonton tv melihat sambutan tahun baru di seluruh dunia. Bagaimana dengan azam tahun lepas...? Sudah terlaksana semuanya?

Kalau soalan tersebut dipulangkan kepada saya jawapannya ada yang telah terlaksana dan ada yang belum. Bagi yang telah terlaksana setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi manakala bagi yang belum dipanjatkan doa moga berjaya di tahun 2010 nanti.

Bahagianya sambutan tahun baru kali ini adalah kerana hampirnya dengan tarikh 1 Muharam 1431 Hijrah. Nampaknya tahun ini azam kita seiring dengan tahun Hijrah. Moga-moga kelebihan ini kita manfaatkan sama-sama supaya jiwa kita lebih dekat dengan kalendar Hijrah.

Biasanya kalendar hijrah hanya dipedulikan dalam bulan Ramadhan sahaja. Bagi yang berkerja kalau ianya menjadi tarikh cuti maka ingatlah kita. Saya tidak bercakap untuk orang lain tetapi itulah saya. Sengaja saya menulis begini untuk mengingatkan diri sendiri.

Tahun 2009 saya membeli sebuah komputer riba maka tahun 2010 saya berazam untuk lebih aktif dengan dunia siber. Sekitar bulan 10 atau 11 2009 saya menghantar artikel ke sebuah akhbar arus perdana namun mungkin kerana tiada nama yang besar di arus perdana maka rasanya artikel saya itu dibakul sampahkan. Maka saya akan terus menggunakan laman blog untuk berkongsi idea.

Biasanya saya kurang peduli dengan apa juga yang berlaku di dunia IT. Maklumlah saya bukan pelajar bidang IT ataupun mempunyai rakan-rakan yang tahu tentang IT. Dua tahun lepas saya disindir oleh bapa saudara saya di majlis hari lahirnya kerana tidak tahu processor terkini. Maka tahun ini setelah mempunyai komputer riba sendiri saya akan lebih "up to date" dalam bidang IT.

Saya mula kenal komputer melalui cerita omputeh dalam TV masa masih di sekolah rendah. Masa tu saya ingat komputer lebih pandai daripada orang. Saya begitu cemburu melihat sebuah komputer lama yang dah tak boleh digunakan terletak tunggu masa untuk dibuang di atas meja tulis di rumah kawan saya. Rasanya komputer itu milik pejabat ayahnya. Pada saya ketika itu komputer lambang kecanggihan yang paling canggih.

Umur mencecah 30 tahun dan beranak seorang ini barulah saya merasa komputer sendiri yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri. Masa saya mengisi borang untuk mengeluarkan caruman KWSP memang telah terpahat di hati untuk memiliki komputer peribadi. Syukur terlaksana juga hasrat yang saya pendam dari kecil. Rupa-rupanya nikmat yang ditangguhkan Allah memberi nikmat yang berganda-ganda bila diperolehi.

Sesekali sekarang ini terasa juga kelucuannya bila disebabkan kemaruk baru mendapat komputer saya sering dirungut oleh isteri tercinta. Maklumlah semua kerja rumah terpulang ke pundaknya saya leka membelek komputer. Syukur orang rumah saya bukan jenis berleter. Kalau tak mahu luruh telinga ini dibuatnya. Namun saya akur memang silap saya sendiri juga.

Di hujung-hujung tahun ni juga saya menerima banyak ucapan tahniah kerana akan naik pangkat. Saya tersenyum lebar mendengarkan ucapan itu lalu mengucapkan terima kasih. Namun jauh di sudut hati berita ini saya dengar sejak bulan Mac yang lalu. Sampai sekarang abuk pun tarak... namun bagi saya dan rakan-rakan yang senasib, biasalah kita kerja dengan gomen...

Tahun 2009 juga menyaksikan pertukaran pengetua PPKKS. Pengetua lama kembali dipanggil bertugas di Pejabat Menteri KPWKM. Tahniah untuk beliau. Sekarang dengan pengetua baru maleh saya nak ulas...mungkin warga JKM PKMD Hulu Langat lebih arif untuk mengulasnya...

Team Pegawai dan Penolong Pegawai Psikologi JKMN Selangor rancak bertukar orang ada yang dapat jawatan baru dan ada yang baru masuk. Saya pernah cakap besar dengan kawan-kawan dari negeri lain. Selangor sekarang dah ada team yang cukup mantap. Kami akan buat lebih banyak program dengan tenaga yang lebih ramai. Nampaknya saya perlu menarik balik kata-kata saya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun demi menjaga ego, saya tangguhkan dulu permohonan maaf dan hasrat untuk menarik balik kata-kata saya itu. Seboleh mungkin bermula dalam bulan Disember ini saya merangka beberapa aktiviti yang mungkin berguna untuk memantapkan kerjasama dan gerakkerja team Kaunselor Selangor.

Lebih baik kalau saya katakan bahawa dalam tahun 2009 adalah proses mengenal hati budi rakan-rakan dalam team kaunselor. Apapun jangan putus asa dan teruskan perjuangan. Dulu team kaunselor di pelbagai peringkat merungut dengan sikap PKM yang kurang memberikan kerjasama ataupun adakalanya enggan memberikan kerjasama. Setiap kali ada kursus atau perjumpaan bersama sekitar tahun 2006 dan 2007 itulah tajuk yang paling popular.

Saya sangkakan bila kaunselor makin bertambah maka team akan makin kuat dan digeruni namun saya tersasar. Bila makin ramai kita cenderung untuk kutuk-mengutuk sesama kita. Saya tak pasti di tempat lain tetapi itulah pengalaman saya. Namun saya tidak bermaksud mengatakan ianya terlalu serius. Bahkan hal ini hanya sekadar cakap-cakap belakang di angin lalu. Depan kita dia bercakap, depan tuan punya badan langsung tak bunyi. Di kala begini saya teringat betul dengan indahnya suasana di Rumah Pengasih dulu...

Namun tanpa kesilapan kita tak tahu apa yang betul dan terbaik. Masalah mencetuskan penyelesaian. Setiap halangan merangsang arus fikir untuk bergetar disegenap urat darah bagi merentasi cabaran. Maka harapan saya tahun ini suasana Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor akan ada perubahan positifnya. Kita bukan sekadar perlu berkerjasama tetapi mestilah dilihat berkerjasama.

Salam dan berkat untuk semua.

Selasa, 27 Oktober 2009

Ucapan Sempena Majlis Jamuan Hari Raya PPKKS

Teks ucapan ni aku buat untuk Haji Razak Aziz Pengetua PPKKS sempena program di atas.

Syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat kita berkumpul dan bersua muka pada hari ini bagi merapatkan silaturrahim dan meraikan kemenangan kita melawan hawa nafsu sepanjang sebulan Ramadhan yang telah lalu.

Majlis Jamuan Hari Raya ini sebenarnya diadakan khusus bagi meraikan para pelatih institusi, kakitangan, Ahli Lembaga Pelawat dan agensi-agensi lain yang banyak membantu institusi sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Justeru itu saya mewakili seluruh warga kerja dan pelatih PPKKS mengalu-alukan kehadiran para jemputan terutama kepada Pengarah JKMN Selangor Tuan Haji Adnan bin Abu Bakar, Dato’ Pengerusi Lembaga Pelawat, Dato’ Zainal Abidin bin Haji Sakom, barisan ahli-ahli Lembaga Pelawat, ketua-ketua agensi seterusnya para hadirin yang dihormati sekelian.

Kehadiran Tuan Haji, Y.Bhg Dato’, dan para hadirin merupakan sumbangan kepada pembangunan sahsiah dan jatidiri pelatih institusi ini. Disebabkan itulah pihak institusi saban tahun tidak pernah lupa mengadakan majlis sebegini kerana selain daripada dapat merapatkan ukhwah sesama kita, ianya juga merupakan suatu terapi kepada jiwa dan minda para pelatih.

Atas kesedaran dan keperluan ini maka pihak institusi mengambil langkah menyambut semua perayaan budaya dan agama masyarakat Malaysia bagi memberi impak kepada pelatih bahawa mereka sama sekali tidak disisihkan bahkan ada ketika mereka mendapat perhatian yang lebih baik daripada kanak-kanak yang bernasib baik tinggal bersama keluarga.

Pihak institusi juga akan mengadakan sambutan Deepavalli untuk pelatih beragama Hindu dan ianya akan diraikan bersama seperti juga sambutan hari raya. Begitu jugalah dengan lain-lain perayaan yang memenuhi kalender atau takwim tahunan kita seperti Hari Guru, Hari Buruh, Hari Kebangsaan dan lain-lain.

Hasrat murni pihak institusi bagi menjadikan institusi ini se-selesa mungkin untuk para pelatih tidak akan tercapai sekiranya tidak disokong dengan peruntukan yang mencukupi. Untuk itu marilah kita memberikan tepukan gemuruh kepada Lembaga Pelawat kerana telah berusaha sedaya upaya bagi mencari dana untuk program-program pelatih di sini.

Menjadi harapan kepada seluruh warga kerja dan pelatih institusi ini untuk Lembaga Pelawat berkerja mencari dana dengan lebih giat agar dapat seiring dengan perancangan program yang telah disusun dan bakal dilaksanakan. Tanpa dana yang mencukupi apa juga idea yang baik dan bernas akan kekal di atas kertas putih, ditutup fail berkulit keras dan tersimpan kemas dalam kabinet besi tanpa dapat dilaksanakan.

Akhir kata daripada saya, majlis kita pada hari ini tidak akan dapat dijayakan tanpa penglibatan penuh dan bersungguh-sungguh para kakitangan. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kerjasama dan tungkus lumus tuan puan sekalian.

Sekian, terima kasih.
Selamat menjamu selera.
Selamat hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir batin.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Topeng H1N1


Sekadar bertanya kenapa topeng pernafasan tidak boleh diedarkan secara percuma sedangkan di bawah program Harm Reduction kondom dan jarum suntikan boleh diberikan percuma kepada pekerja seks dan penagih dadah.

Kondom dan jarum suntikan diedarkan kepada orang yang bermasalah tetapi enggan berubah sebaliknya topeng pernafasan digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan H1N1. Penyakit ini akan menyerang sesiapa sahaja boleh jadi orang tersebut banyak memberi sumbangan dalam masyarakat melalui tugasan hariannya.

Entah ler... saya sekadar bertanya...