Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 30 Disember 2009

Mesyuarat Pra MoU PPKKS dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UPSI

Semenjak perlantikan Dr. Fauziah Hanim binti Abd. Jalal sebagai ahli lembaga pelawat Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, semakin kerap aktiviti dan program yang berjaya dianjurkan bersama antara Unit Kaunseling dan Psikologi PPKKS dengan para pelajar daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UPSI. Berdasarkan daripada program yang telah berjaya di anjurkan sepanjang tahun 2009 didapati berlaku perkembangan positif terhadap perkembangan emosi para pelatih kesan daripada hubungan dengan para fasilitator.

Hal ini dapat dilihat dalam sesi bimbingan dan kaunseling selepas setiap program tersebut dijalankan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan kecil yang dilakukan fasilitator dari segi penyediaan modul, pengurusan masa dan komunikasi yang berkesan namun ianya tidak dipedulikan oleh pelatih sebaliknya mereka menekankan rasa seronok dan gembira ketika bersama dengan kakak-kakak dan abang-abang fasilitator.

Secara umumnya para pelatih PPKKS walaupun tidak pernah terlibat dengan sebarang jenis jenayah secara perundangan namun mereka adalah golongan berisiko yang memerlukan pemantauan berkesan sepanjang masa. Hal ini kerana sejarah hidup pelatih yang tidak terurus hasil daripada masalah keluarga dan sebagainya.

Walaupun begitu para pelatih masih lagi kanak-kanak yang secara nalurinya menolak pemantauan dan mahukan kasih sayang. Sudah tentu dalam usia yang mentah mereka masih keliru dengan apa itu kasih sayang dan kasih sayang yang bertanggungjawab. Oleh yang demikian kahadiran abang-abang dan kakak-kakak ini memberikan dorongan secara emosi kepada mereka.

Perkembangan emosi yang semakin positif akan memudahkan para pekerja sosial di PPKKS untuk mengendali dan membentuk tingkah laku positif para pelatih. Sudah tentu program ini mesti dilakukan secara berkala dan berterusan bagi menjamin kesinambungan perkembangan pelatih secara fitrah.

Bagaimanapun satu hal yang dikenal pasti sepanjang program 2009, para fasilitator kurang mementingkan klien dan lebih fokus untuk menyiapkan program seperti mana yang dikehendaki oleh kursus yang diambil. Akhirnya jadilah program tersebut sebagai program “asal siap” manakala kualitinya tidak begitu dipentingkan.

Bagi meneruskan dan memantapkan lagi kerjasama yang telah sedia terjalin Unit Kaunseling dan Psikologi PPKKS telah berbincang dengan Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor bagi mencari jalan dan pendekatan terbaik bagaimana usahasama ini dapat menghasilkan kualiti yang mantap sesuai dengan hasrat YAB Perdana Menteri agar “Pencapaian Diutamakan”.

Hasil daripada Mesyuarat Perbincangan Kerja Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor Bil. 14/2009 pada 28 Disember 2009, dipersetujui agar satu kerjasama antara Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor dengan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dimeterai. Satu program dengan konsep mentor mentee antara para Kaunselor dan Penolong Kaunselor JKMN Selangor dengan para pelajar UPSI diadakan dan para pensyarah daripada UPSI akan bertindak sebagai penyelaras bersama dan sebagai pemantau sepenuhnya.

Program ini melibatkan sesi kaunseling dan bimbingan kelompok di institusi kelolaan JKMM dalam negeri Selangor khususnya PPKKS. Setiap kelompok akan dikendalikan oleh seorang kaunselor dan seorang pelajar menggunakan teknik kaunseling yang sesuai. Perjalanan sesi selama sejam atau kurang akan dipantau oleh pensyarah UPSI dan sesi “post moterm” bersama pemantau akan terus dijalankan selepas itu.

Sebarang isu yang timbul daripada sesi tersebut boleh terus dipantau oleh kaunselor walaupun tanpa fasilitator. Ini bermakna keperluan emosi klien akan terus terjaga. Hasil daripada penilaian para pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia akan turut membantu para kaunselor JKMN Selangor memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan. Jelasnya di sini satu situasi menang-menang dapat diwujudkan.

Para kaunselor dapat memantapkan ilmu dan pengalaman manakala pelajar mendapat pengalaman baru dan memahami erti komitmen dalam menjalankan program. Pengalaman ketelusan dan ketegaran dalam menjalankan program dapat dikongsi bersama.

(RAMLAN BIN RAMLI)
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah.

Sabtu, 26 Disember 2009

Azam 2010

Kita sekarang berada di penghujung tahun 2009. Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan berjaga sehingga dinihari menonton tv melihat sambutan tahun baru di seluruh dunia. Bagaimana dengan azam tahun lepas...? Sudah terlaksana semuanya?

Kalau soalan tersebut dipulangkan kepada saya jawapannya ada yang telah terlaksana dan ada yang belum. Bagi yang telah terlaksana setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi manakala bagi yang belum dipanjatkan doa moga berjaya di tahun 2010 nanti.

Bahagianya sambutan tahun baru kali ini adalah kerana hampirnya dengan tarikh 1 Muharam 1431 Hijrah. Nampaknya tahun ini azam kita seiring dengan tahun Hijrah. Moga-moga kelebihan ini kita manfaatkan sama-sama supaya jiwa kita lebih dekat dengan kalendar Hijrah.

Biasanya kalendar hijrah hanya dipedulikan dalam bulan Ramadhan sahaja. Bagi yang berkerja kalau ianya menjadi tarikh cuti maka ingatlah kita. Saya tidak bercakap untuk orang lain tetapi itulah saya. Sengaja saya menulis begini untuk mengingatkan diri sendiri.

Tahun 2009 saya membeli sebuah komputer riba maka tahun 2010 saya berazam untuk lebih aktif dengan dunia siber. Sekitar bulan 10 atau 11 2009 saya menghantar artikel ke sebuah akhbar arus perdana namun mungkin kerana tiada nama yang besar di arus perdana maka rasanya artikel saya itu dibakul sampahkan. Maka saya akan terus menggunakan laman blog untuk berkongsi idea.

Biasanya saya kurang peduli dengan apa juga yang berlaku di dunia IT. Maklumlah saya bukan pelajar bidang IT ataupun mempunyai rakan-rakan yang tahu tentang IT. Dua tahun lepas saya disindir oleh bapa saudara saya di majlis hari lahirnya kerana tidak tahu processor terkini. Maka tahun ini setelah mempunyai komputer riba sendiri saya akan lebih "up to date" dalam bidang IT.

Saya mula kenal komputer melalui cerita omputeh dalam TV masa masih di sekolah rendah. Masa tu saya ingat komputer lebih pandai daripada orang. Saya begitu cemburu melihat sebuah komputer lama yang dah tak boleh digunakan terletak tunggu masa untuk dibuang di atas meja tulis di rumah kawan saya. Rasanya komputer itu milik pejabat ayahnya. Pada saya ketika itu komputer lambang kecanggihan yang paling canggih.

Umur mencecah 30 tahun dan beranak seorang ini barulah saya merasa komputer sendiri yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri. Masa saya mengisi borang untuk mengeluarkan caruman KWSP memang telah terpahat di hati untuk memiliki komputer peribadi. Syukur terlaksana juga hasrat yang saya pendam dari kecil. Rupa-rupanya nikmat yang ditangguhkan Allah memberi nikmat yang berganda-ganda bila diperolehi.

Sesekali sekarang ini terasa juga kelucuannya bila disebabkan kemaruk baru mendapat komputer saya sering dirungut oleh isteri tercinta. Maklumlah semua kerja rumah terpulang ke pundaknya saya leka membelek komputer. Syukur orang rumah saya bukan jenis berleter. Kalau tak mahu luruh telinga ini dibuatnya. Namun saya akur memang silap saya sendiri juga.

Di hujung-hujung tahun ni juga saya menerima banyak ucapan tahniah kerana akan naik pangkat. Saya tersenyum lebar mendengarkan ucapan itu lalu mengucapkan terima kasih. Namun jauh di sudut hati berita ini saya dengar sejak bulan Mac yang lalu. Sampai sekarang abuk pun tarak... namun bagi saya dan rakan-rakan yang senasib, biasalah kita kerja dengan gomen...

Tahun 2009 juga menyaksikan pertukaran pengetua PPKKS. Pengetua lama kembali dipanggil bertugas di Pejabat Menteri KPWKM. Tahniah untuk beliau. Sekarang dengan pengetua baru maleh saya nak ulas...mungkin warga JKM PKMD Hulu Langat lebih arif untuk mengulasnya...

Team Pegawai dan Penolong Pegawai Psikologi JKMN Selangor rancak bertukar orang ada yang dapat jawatan baru dan ada yang baru masuk. Saya pernah cakap besar dengan kawan-kawan dari negeri lain. Selangor sekarang dah ada team yang cukup mantap. Kami akan buat lebih banyak program dengan tenaga yang lebih ramai. Nampaknya saya perlu menarik balik kata-kata saya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun demi menjaga ego, saya tangguhkan dulu permohonan maaf dan hasrat untuk menarik balik kata-kata saya itu. Seboleh mungkin bermula dalam bulan Disember ini saya merangka beberapa aktiviti yang mungkin berguna untuk memantapkan kerjasama dan gerakkerja team Kaunselor Selangor.

Lebih baik kalau saya katakan bahawa dalam tahun 2009 adalah proses mengenal hati budi rakan-rakan dalam team kaunselor. Apapun jangan putus asa dan teruskan perjuangan. Dulu team kaunselor di pelbagai peringkat merungut dengan sikap PKM yang kurang memberikan kerjasama ataupun adakalanya enggan memberikan kerjasama. Setiap kali ada kursus atau perjumpaan bersama sekitar tahun 2006 dan 2007 itulah tajuk yang paling popular.

Saya sangkakan bila kaunselor makin bertambah maka team akan makin kuat dan digeruni namun saya tersasar. Bila makin ramai kita cenderung untuk kutuk-mengutuk sesama kita. Saya tak pasti di tempat lain tetapi itulah pengalaman saya. Namun saya tidak bermaksud mengatakan ianya terlalu serius. Bahkan hal ini hanya sekadar cakap-cakap belakang di angin lalu. Depan kita dia bercakap, depan tuan punya badan langsung tak bunyi. Di kala begini saya teringat betul dengan indahnya suasana di Rumah Pengasih dulu...

Namun tanpa kesilapan kita tak tahu apa yang betul dan terbaik. Masalah mencetuskan penyelesaian. Setiap halangan merangsang arus fikir untuk bergetar disegenap urat darah bagi merentasi cabaran. Maka harapan saya tahun ini suasana Unit Kaunseling dan Psikologi JKMN Selangor akan ada perubahan positifnya. Kita bukan sekadar perlu berkerjasama tetapi mestilah dilihat berkerjasama.

Salam dan berkat untuk semua.

Rabu, 23 Disember 2009

Rabu, 9 Disember 2009

Trilogi 'Lord of the Ring' Filem Terbaik Dekad Ini.

Mereka Tidak Lebih Buruk Dari Firaun - Dr Asri

BERITA

Selasa Disember 8, 2009

Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap pandangan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, yang menyifatkan hasratnya untuk berdakwah di pusat hiburan sebagai tidak bersesuaian dengan matlamat dakwah, sebagai "satu pandangan peribadi".

Kata Tamyes, pendakwah perlu jaga maruah dan imej, elak dipandang serong masyarakat.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Mohd Asri berkata, "Mungkin itu pandangan dia dan rakyat boleh menilai'."

"Nabi Musa lebih baik daripada kita dan Firaun lebih jahat dari semua yang dianggap buruk di zaman ini. Nabi Musa pergi ke istana Firaun, tempat di mana Firaun melakukan kesalahan. Beliau pergi berjumpa dan berdakwah dengan Firaun.

"Adakah kita pada hari ini lebih baik dari Nabi Musa, dan anak-anak muda itu lebih teruk dari Firaun hingga kita merasakan apabila kita pergi kepada mereka, kita mencemar diri kita," kata Mohd Asri.

Dalam sebuah laporan akhbar hari ini, Tamyes dipetik sebagai berkata, pendekatan Mohd Asri tidak betul dan penyampaian dakwah Islam dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan dengan berhikmah.

Kata Tamyes lagi, "Apabila kita hendak menyampaikan dakwah, jangan sampai maruah kita sebagai pendakwah terjejas. Sebaiknya sampaikan dakwah dari luar. bawa mereka (pengunjung pusat hiburan) ke kawasan yang lapang dan adakan ceramah untuk beri kesedaran pada mereka."

Namun, Mohd Asri mempunyai pandangannya sendiri tentang pendekatan dakwah yang dirasakan lebih efektif.

"Kalaulah ada pihak tertentu merasakan dengan pergi ke tempat teruk itu mencemarkan diri dia, orang yang kita pergi jumpa itu lebih teruk dari Firaun. Adapun Nabi Musa itu bukan bandingan untuk diri saya saya kerana beliau adalah utusan tuhan.

"Saya juga tidak pernah menganggap anak-anak muda yang tersasar itu lebih teruk dari Firaun. Saya tidak rasa saya telah menyalahi etika jika saya pergi berjumpa dengan mereka," kata pendakwah yang tidak pernah jemu mengutarakan idea 'tajdid'nya yang dianggap agak 'kontroversial' sebelum ini.

Kata Mohd Asri, agama Islam akan menjadi lesu dan mandul apabila orang-orang agama yang bergaji hanya mahu duduk di kerusi empok mereka dan enggan turun ke padang.

"Apabila mereka menganggap kerja agama dengan kadar gaji yang diberi kepada mereka maka matilah dakwah. Lebih buruk lagi, apabila mereka menerima gaji lebih daripada kerja yang mereka lakukan.

"Jika golongan agamawan bergaji enggan menolong saya dan duduk di kerusi empok mereka, Alhamdulillah kerana setakat ini saya mendapat sokongan muda, ahli politik dan artis yang akan membantu jika saya buat sasaran dakwah di pusat hiburan dan sebagainya," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) ini.

Mohd Asri berkata, tumpuan dakwah di pusat hiburan seperti yang dilaporkan sebelum ini bukan memberi tumpuan di negeri Selangor saja.

"Saya tidak pernah berkata yang saya akan memberi fokus di Selangor saja, tapi di mana-mana saja. Banyak aktiviti begini telah saya buat sebelum ini.

"Bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi sebagai galakan untuk pihak-pihak yang sedia turut sama membantu atau melakukan aktiviti itu di tempat masing-masing," kata Mohd Asri yang mengakui skop dakwah yang terpaksa dilakukan termasuk kajian ilmu, urusan universiti, ucapan di seminar dan mesyaurat.

Tamyes juga menganggap berdakwah di pusat hiburan ala Mohd Asri, ibarat hendak membersihkan tong najis, pastinya kita akan bersihkan tong itu dari luar kerana sekiranya kita bersihkan dari dalam tentu kita pun akan terkena najis itu.

"Saya akan buat dakwah begini sebagai berkala tapi pengurusannya akan dibuat oleh ustaz-ustaz dan anak-anak muda," kata Mohd Asri.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/12/8/mstar_berita/20091208113603&sec=mstar_berita

Filem 'Upin & Ipin' Diterjemah ke 11 Bahasa

HIBURAN

Rabu Disember 9, 2009

Oleh R.K.SHYAMALA


Watak siri kartun 'Upin dan Ipin' semasa majlis pelancaran komik tersebut semalam.

SIRI kartun kembar 'Upin & Ipin' kini melangkah setapak lagi dengan penerbitan komik 'Upin & Ipin' secara bulanan buat pertama kalinya.

Watak kartun tempatan ini mula menempa nama empat tahun yang lalu.

Menurut Pengarah Nyla Sdn Bhd, Tunku Maziah Tunku Mukhtar, yang juga penerbit komik tersebut, syarikatnya telah menerbitkan 75,000 naskah komik dan sudah mula dijual sejak semalam.

"Komik berwarna ini akan dijual pada harga RM4.90 di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula semalam. Ianya boleh didapati dari kedai-kedai buku berhampiran.

"Setiap edisi akan memuatkan dua episod siri kartun 'Upin & Ipin' serta beberapa lagi segmen lain yang pasti menjadi tarikan kanak-kanak," kata Maziah dalam satu sidang media majlis pelancaran komik 'Upin & Ipin' di Shah Alam semalam.

"Kami juga sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk memasarkan komik ini di setiap kedai buku sekolah seluruh negara untuk memupuk minat membaca di kalangan murid-murid sekolah rendah," katanya lagi. Maziah juga menjelaskan yang komik ini turut menarik perhatian pengedar buku dari Indonesia.

"Sebelum komik ini diedarkan, seorang pengedar buku dari Indonesia sudah menunjukkan minat untuk memasarkan komik 'Upin & Ipin' ke Indonesia. Dia juga memaklumkan kepada saya yang komik ini pasti laris di sana.

"Oleh kerana kami belum ada lesen untuk memasarkan komik ini ke Indonesia, kami terpaksa menolak permintaan pengedar buku itu," ujar Maziah lagi.

Sementara itu, filem kartun yang menampilkan watak-watak popular 'Upin & Ipin,' dalam ‘Geng: Pengembaraan Bermula,’ sedang dalam proses diterjemahkan ke 11 bahasa termasuk Bahasa Hindi untuk pasaran di India.


Filem 'Geng: Pengembaraan Bermula' yang menampilkan watak 'Upin dan Ipin' telah diterjemahkan ke 11 bahasa termasuk Bahasa Hindi.

Filem itu telah ditayangkan di Malaysia pada bulan Febuari lalu dan mendapat kutipan lebih daripada 6 juta ringgit.

Menurut Pengarah Urusan Les Copaque Productions Burhanuddin Radzi, filem itu akan ditayangkan di 400 buah pawagam di seluruh India pada tahun hadapan.

Manakala siri kartun 'Upin & Ipin' telah mula ditayangkan di Turki dan Kuwait pada bulan Ramadhan lalu.

Kini, siri ini juga telah menambat hati penonton di Asia dan sebagai bukti, siri kartun 'Upin & Ipin' sedang ditayangkan di Disney Channel Asia dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/12/9/mstar_hiburan/20091208182058&sec=mstar_hiburan

Kerajaan Diminta Kaji Mansuh Seksyen 309 Kanun Keseksaan Kesalahan Cubaan Membunuh Diri

BERITA

Selasa Disember 8, 2009

KUALA LUMPUR: Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji kemungkinan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan cuba membunuh diri, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata ini kerana seksyen itu, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, gagal menjadi faktor pencegahan.

"Mungkin kita boleh mengikut negara maju yang kebanyakannya sudahpun memansuhkannya," katanya.

Fong berkata terdapat kecenderungan mereka yang berhasrat membunuh diri akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana jika gagal, mereka terpaksa berhadapan dengan pertuduhan cuba membunuh diri di mahkamah.

Beliau berkata situasi sebegini tidak akan membantu mangsa cubaan membunuh diri kerana kebanyakannya nekad untuk melakukannya akibat tidak mampu menghadapi tekanan hidup.

"Selepas gagal membunuh diri, mereka akan didakwa dan terpaksa berhadapan pula dengan kemungkinan dipenjara atau didenda," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat berkata kementerian sedar mengenai perkara itu namun memerlukan notis untuk mengambil langkah selanjutnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mempunyai statistik mengenai jumlah mereka yang didakwa cuba membunuh diri.

Jelaing berkata kes bunuh diri disiasat sebagai laporan mati mengejut dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sebabsebab kematian.

"Mengikut rekod yang ada di Kementerian Dalam Negeri, jumlah kes mati mengejut bagi tahun 2005 adalah sebanyak 1,578, tahun 2006 sebanyak 2,722 kes, tahun 2007 sebanyak 3,426 kes, tahun 2008 adalah sebanyak 3,976 kes dan bagi tempoh Januari 2009 hingga November 2009 adalah sebanyak 3,398 kes," katanya.

Jelaing berkata antara sebab-sebab kes bunuh diri adalah berpunca daripada masalah kewangan, keluarga, mental dan kesihatan. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/12/8/mstar_berita/20091208153940&sec=mstar_berita