Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Selasa, 26 Januari 2010

Lapor Diri Ke PKMD Kinta

Setelah sekian lama menunggu akhirnya pada hari Isnin 18 Januari 2010 sampailah sepucuk surat kenaikan pangkat S32 (memangku). Kenaikan tersebut berkuatkuasa pada tarikh yang sama surat tersebut sampai dan aku perlu melapor diri ke KPWKM di Wisma Sime Darby, KL.

Hari tu sampai hari tu juga nak kena lapor diri...apa nak buat...tetapi hati tetap gembira dan bersyukur. Segala masalah remeh temeh dah tak dipedulikan lagi. So esoknya 19 Januari aku lapor diri ke tingkat 6 Wisma Sime Darby, KPWKM. Kemudian ke Menara TIMA untuk pengesahan penempatan.

Bersama dengan aku, Mariam daripada RKK Kuantan dan Rosmawati daripada RKK Kepala Batas. Awal-awal lagi Mariam mintak kalau dapat nak tukar tempat dengan aku kalau boleh. Akhirnya memang kabar angin yang didengar betul aku ditempatkan ke PKMD Klang, Mariam ke PKMD Kinta dan Rosmawati ke JKMN Perlis.

Oleh kerana keadaan kesihatan ayahnya tidak mengizinkan Mariam berada jauh maka aku dan Mariam tukar suka sama suka. Aku ke PKMD Kinta dan Mariam ke PKMD Klang.

Sebenarnya dah 10 tahun aku bermastautin di Selangor bermula di Puchong, Shah Alam, Seri Kembangan, Kajang, Bangi, Kuala Lumpur dan terkini di Serendah. Fakta yang semua terpaksa akui ialah kesesakan jalan raya. So kalau dapat aku nak merasa pulak berkerja di luar Selangor. Apakah cabaran yang bakal mendatang. Mampukah aku menghadapinya. Ini semua bermain di minda dan menyebabkan aku rasa seram sejuk.

Walaupun di Perak juga Pegawai dan Penolong Pegawainya orang baru tetapi kebanyakan mereka telah pernah berkerja dengan pelbagai jawatan lain dan tentunya lebih banyak pengalaman. Berbeza dengan di Selangor.

Bagaimanapun aku mengharapkan lebih banyak ilmu yang dapat aku pelajari di sana.

Surat khabar hari ini 26 Januari mengatakan 9 Februari adalah tarikh di mana Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan tentang pertikaian siapa Menteri Besar Perak yang baru. Seandainya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak Dato' Seri Ir. Nizar bin Jamaluddin maka tentunya beliau akan memohon perkenan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya kecil peringkat Negeri Perak diadakan. Masak ler aku dah masuk PKMD Kinta nanti...

Apa-apa pun kepada kawan-kawan di JKMN Selangor aku sentiasa akan merindui korang... dengan pesanan jadilah seperti biji benih walau dihanyutkan air walau diterbangkan angin asal terdampar akan bercambah dan tumbuh membesar. Akar memasak bumi, pucuk menggapai awan...

Jangan jadi seperti sekeping tatal, hanyut atau terbang jatuh ke tanah tak dipedulikan orang.

Kepada rakan-rakan di PPKKS selamat berjuang. Ingatlah hanya di PPKKS kita dapat menggunakan segala ruang dan peluang untuk berkerja dengan gaya kita sendiri. Kepuasan melihat anak didik kita berjaya adalah harta yang tak ternilai. Sahamnya terus memberi laba hingga ke liang lahad.

Salam sayang buat semua kengkawan di Selangor. Doakan aku semoga berjaya di Perak.

Sabtu, 16 Januari 2010

Mesyuarat

Mesyuarat adalah kaedah terbaik menyatukan hati manusia dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Kata perbilangan masyarakat Minang menyebut “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Saya pernah tertanya-tanya kenapa sidang parlimen perlu diperuntukan masa tertentu dan kadangkala dilihat sangat terhad.

Sekarang saya bersetuju dengan kaedah yang diamalkan.

Tanpa masa yang ditetapkan kecenderungan untuk “kelaut” adalah sangat tinggi dan dalam konteks parlimen “kelaut” membawa implikasi yang besar terutama perbelanjaan wang rakyat.

Zaman sekarang ramai yang bermesyuarat tanpa tahu kaedah.

Mesyuarat jadi terlalu panjang.

Pengerusi berucap berjela-jela.

Isu dibincang tetapi tidak ada kata putus.

Pengerusi takut buat keputusan.

Ahli mesyuarat takut keluarkan idea.

Semua ini adalah barah dalam setiap organisasi zaman ini.

Saya pernah bersembang dengan beberapa orang kawan.

Ketika lepas mesyuarat biasanya ada mesyuarat tidak rasmi untuk mengutuk kelemahan bos.

Saya lihat idea yang dinyatakannya ada benarnya dan sangat baik jadi saya bertanya kenapa dia tidak menyuarakannya dalam mesyuarat.

Jawapannya memeranjatkan saya : “kalau saya bagi cadangan nanti bos suruh saya buat”.

Mari kita imbas sebuah cerita kanak-kanak :

Sekumpulan tikus berbincang bagaimana mengelak daripada di makan kucing. Dalam banyak-banyak cadangan yang diutarakan ada sekor tikus bagi cadangan supaya diikat kalung loceng di leher kucing. Jadi bila kucing datang semua tikus akan dengar bunyi loceng dan sempat menyembunyikan diri. Idea ini diakui oleh semua tikus sebagai cadangan yang sangat baik. Tetapi bila pengerusi tikus bertanya siapa yang hendak mengikat loceng di leher kucing tak ada sekor pun nak volunteer. Termasuklah yang bagi cadangan. Agaknya sebab itulah orang yang takut dipanggil menikus.

Konflik dalam organisasi adalah sesuatu yang biasa.

Ianya merupakan kekuatan dan kelemahan sesuatu organisasi.

Ada ahli yang boleh jadi “Master Mind” dan ada yang lain jadi “Monster Mind”.

Ada yang berfikir camana nak tingkatkan kualiti organisasi dengan berkerja secara bersistem dan terarah supaya semua ahli mendapat manfaat bersama. Kita menyumbang yang terbaik kepada organisasi akan datang tanpa diduga melalui cara yang tidak pernah kita sangka organisasi akan menyumbang sesuatu yang lebih baik kepada ahli. Sumbangan organisasi bukan bermaksud sumbangan ahli dalam organisasi tetapi betul-betul organisasi itu sendiri.

Ada pula yang berfikir untuk mengelak daripada dikutuk, dicerca oleh orang lain jangan buat kerja lebih daripada yang sepatutnya. Maka orang tidak rasa bersalah main internet atau buang masa dalam pejabat daripada duduk berbincang menyatukan fikir merancang rencana kerja. Asalkan aku ada dalam pejabat tak kira aku buat apa orang tak boleh kata apa. Inilah namanya merancang untuk gagal.

Sama-sama kita fikirkan. Salam dan berkat untuk semua.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
Sabtu, 16 Januari 2008 (10.53 malam)

Rabu, 6 Januari 2010

Si Fakir Tafakur Di Taman Minda

Suatu pagi musim tengkujuh
Hujan teduh beberapa hari
Sinar matahari persis menyuluh
Si Fakir rusuh berjalan mencari

Antara teduh rendang pepohonan
Taman kota kerajaan negeri
Sinar matahari pancarkan kehangatan
Sedarkan si fakir kekerdilan diri

Lantang Tuk Guru mengajar di madrasah
Si fakir jahil semakin gundah
Berilmu beriman tiada membantah
Si fakir miskin menolak syariah

Bertemu wakil menjaja puisi
Si fakir beradu di Taman Minda
Kolam air memancut tinggi
Menggapai langit pimpinan ulama

Si fakir tafakur di wakaf warisan
air pancutan tempayan gergasi
Adakah jalan mendamaikan pergaduhan
Perebutan kuasa negara demokrasi?

LEO AWS,
Kota DarulNaim

Selasa, 5 Januari 2010

Derita di sebalik senyuman si lumba-lumba oleh Wardina Safiyyah Fadlullah

Ikan lumba-lumba binatang yang amat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Mereka bijak dan mampu menceriakan sesiapa sahaja. Ikan lumba-lumba adalah mamalia seperti juga kita manusia.

Di kebanyakan negara, ikan lumba-lumba dilindungi daripada eksploitasi dan penyeksaan. Data menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 2,700 ikan lumba-lumba ditangkap dari habitat asal mereka.

Kira-kira 53 peratus akan mati dalam masa 90 hari dan setengah daripadanya mati dalam dua tahun pertama akibat terseksa di tempat baru.

Kematian ini kerana ia tidak boleh menyusuaikan diri. Kajian menunjukkan bahawa ikan lumba-lumba antara haiwan yang tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dalam kurungan walau selama mana mereka dilatih. Naluri semulajadinya bebas di lautan, melompat dan terus bergerak.

"The Dolphins and Sea Lion Show" yang dibawakan oleh sebuah syarikat menampilkan dua ekor ikan lumba-lumba bernama Rio dan Karon dan sepasang singa laut bernama Gendon dan Brad menunjukkan bagaimana Malaysia dan rakyatnya langsung tidak sensitif mengenai hak dan isu eksploitasi binatang.

Saya berasa dukacita haiwan-haiwan ini dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia. Binatang-binatang ini diusung dari Kuala Lumpur, kemudian ke Pulau Pinang dan Johor selama tiga bulan berturut-turut.

Cubalah bayangkan bagaimana terseksanya haiwan ini apabila diusung ke sana ke mari hanya kerana ingin memberi "hiburan" kepada manusia.

Rio and Karon dipaksa melakukan tiga pertunjukkan sehari pada hari biasa dan sehingga lima pertunjukkan sehari pada Sabtu dan Ahad! Bayangkanlah betapa penatnya mereka. Sudahlah mereka dikurung dalam penjara buatan manusia.

Jika kita disuruh bekerja melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, pasti ada perasaan derita di hati, bukan? Sekurang-kurangnya kita dibayar gaji dan tidak dikurung dalam penjara.

Mamalia ini cuma diberi makan ikan mati, yang tidak pula mereka gemari! Diet ikan lumba-lumba adalah ikan hidup yang segar!

Binatang ini juga mempunyai perasaan. Sayangnya perasaan ikan lumba-lumba tidak mampu dizahirkan di wajah mereka. Hakikatnya otot di muka ikan lumba-lumba tidak boleh bergerak.

Oleh sebab itu, sedih atau takut, sakit atau sihat, mereka akan kelihatan seperti "tersenyum" sentiasa.

Persembahan singa laut dan ikan lumba-lumba ini tidak memberi secebis pun maklumat atau pengajaran berguna kepada penonton, yang rata-ratanya terdiri dari golongan anak-anak.

Tidak ada sedikit pun cerita mengenai binatang ini, dari mana asalnya, bagaimana habitatnya, apa yang mereka gemari?

Mesej yang diberikan kepada penonton adalah – "tidak mengapa kita bersuka ria, dan bertepuk tangan; tidak salah kita menangkap ikan lumba-lumba ini dan memaksa mereka menghiburkan kita; melayan binatang seperti objek hiburan adalah perbuatan yang boleh diterima".

Muzik yang kuat dan pengacara yang menjengkelkan membuatkan saya merasa begitu simpati sekali kepada haiwan-haiwan ini.

Di akhir pertunjukan, puluhan manusia akan beratur panjang untuk mengambil gambar dengan ikan lumba-lumba ini dan dikenakan caj tambahan RM15. Ikan lumba-lumba tidak suka disentuh oleh begitu ramai orang!

Memegang ikan lumba-lumba dengan sesuka hati menyebabkan mereka berasa tertekan yang amat dahsyat. Tekanan ini menyebabkan usus dalaman mereka rosak dan ia boleh membawa kematian.

"Tempat tinggal" Ria dan Karon terlalu kecil pada pandangan saya. Ikan lumba-lumba di lautan menyelam sehingga 150 kaki dan melompat serta berenang beratus-ratus kilometer jauhnya. Penjaranya kini cuma 2.5 meter dalam!

Saya seperti mahu mengalirkan air mata.

Menurut pekerja yang bertugas, sangkar singa laut lebih kecil lagi. Cara binatang ini dieksploitasi menunjukkan bahawa manusia sememangnya sangat tamak dan tidak berperikemanusiaan.

Haiwan-haiwan ini dikerah bekerja bagi segelintir orang untuk mendapat pulangan. Jika Malaysia mahu mencapai status negara maju, pertunjukan sebegini sepatutnya diharamkan.

Saya pasti negara-negara maju tidak akan membenarkan pertunjukan yang jelas menyeksa binatang diadakan di negara mereka.

Saya lebih terkejut lagi apabila melihat logo Tourism Malaysia tertera di kain rentang pertunjukan ini, walhal hakikatnya Tourism Malaysia tidak pernah bekerjasama dengan penganjur.

Bagaimana mereka dengan sesuka hati boleh meletakkan logo Tourism Malaysia tanpa kebenaran? Dan siapakah yang membenarkan pertunujkkan ini masuk ke Malaysia?

Bukalah mata anda semua, bersuaralah dan hentikanlah kekejaman ini! Ikan lumba-lumba ini sepatutnya bebas berenang di lautan bersama keluarga mereka!

Saya pasti Malaysia, kerajaan, wakil rakyat, NGO dan rakyatnya peka kepada nasib malang binatang-
binatang ini.

http://www.malaysiakini.com/letters/120436