Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 10 Mac 2011

'Jika selamat, mengapa tak bina di Perth'

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan hari ini mempertikaikan kewajaran kerajaan membina pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

Katanya, jika benar pusat bernilai RM700 juta yang dibina oleh sebuah syarikat Australia, Lynas Corp didakwa tidak akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk, mengapa bahan sisa perlu diproses di negara ini.

“Malangnya Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan mengatakan kesan radiasinya rendah dan selamat.

“Persoalannya, jika proses menapis tanah jarang ini tidak memberi kesan kepada kesihatan penduduk, kenapa ia dilombong di Mount Weld Australia dan tidak sahaja ia diproses di Perth Australia?

“Kenapa perlu pindahkan ke Gebeng, Kuantan melepasi 2500 km jauh jaraknya?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia dilaporkan beberapa hari lalu oleh akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) yang memetik beberapa pakar yang melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan .

“Penduduk sekitar daerah Kuantan dan Gebeng sekali lagi terdedah kepada ancaman sisa radioaktif yang bakal terhasil... Saya melihat projek seperti ini sangat mengundang risiko kepada tahap kesihatan masyarakat kita kerana Pusat Industri Gebeng letaknya berhampiran dengan taman perumahan penduduk.

“Sisa buang yang akan tersalur ke sungai akan memberi kesan radioaktif kepada masyarakat. Apakah seluas-luas gurun di Australia tidak mencukupi untuk membina kilang seperti ini jika ia benar-benar didakwa selamat?” soal Nasrudin.

Menurutnya, kilang serupa pernah cuba dibina di Bukit Merah, Perak pada sekitar tahun 1982 hingga 1987. Namun ia mendapat bantahan hebat dari pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk seperti kanser, leukemia dan kecacatan.

“Malah ada yang meninggal dunia. Sekarang mereka membinanya pula di Pusat Industri Gebeng Kuantan, Pahang yang letaknya tidak jauh dari kawasan penempatan awam yang besar di daerah Balok , Beserah dan Pelindung,” katanya.

Nasrudin kemudian menyenaraikan semula kronologi penetangan Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh sehingga penutupannya pada 19 Januari, 1994.
Berikut disiarkan kronologi penuh berkenaan:

1979

November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak itrium ( sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35 peratus), Beh Minerals (35 peratus), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20 peratus) dan beberapa peniaga bumiputera (10 peratus).

Pihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat Penyelidikan Atom Tun Dr Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan radioaktif yang dihasilkan melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

1982

Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas sembilan ekar, kira-kira 6 kilometer penempatan mereka untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.

30 Jun: Berikutan bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari tapak baru.

11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.

1983

November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu ARE sedang mengorek lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk dijadikan tapak buangan sisa radioaktif. Tapak itu merupakan pilihan kerajaan

1984

24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

31 Mei: Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.

5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatannya dan menegaskan pembinaan tapak buangan radioaktif di Papan akan diteruskan.

18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah tapak buangan yang dicadangkan.

28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong berkata, tapak buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan tapak itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.

1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan tersebut.

4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk perasaan meskipun Ketua Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.

18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri daripada penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah, sebagai tanda sokongan kepada penduduk Papan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri memaklumkan paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan kolam terbuka berhampiran kilang ARE di Bukit Merah.

Satu bacaan yang dicatat oleh pegawai-pegawai SAM sewaktu berkunjung ke situ ialah 43,800 milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras maksimum yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk orang ramai.

29 Ogos: Michael O 'Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak buangan toksik di Papan.

19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu tidak selamat.

5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis kesihatan menerima jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan tersebut. Hasil pemerhatian beliau mendapati kerja-kerja kejuruteraan yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.

21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa Akademi Sains Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi Mengion (BEIR), Dr Edward Radford, atas jemputan penduduk Papan, membuat tinjauan di tapak buangan sisa itu.

Beliau dapati tapak itu tidak sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis atau sudah merekah.

7 November: Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr Jun Ui, menerima jemputan penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE. Beliau juga mendapati tapak itu tidak sesuai dijadikan kawasan penimbunan sisa berbahaya.

28 November: Kabinet membincangkan laporan-laporan yang diserahkan oleh dua badan kawalan. Laporan yang dikemukan oleh Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata, penduduk hanya akan selamat jika faktor-faktor tertentu diberi perhatian oleh kerajaan Perak dan syarikat ARE. Laporan kedua oleh IAEA pula berkata, lubang-lubang yang dibina tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan menempatkan tapak buangan sisa di Papan.

Penduduk Bukit Merah membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik dari Jepun, Profesor Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras radiasi di situ terlalu tinggi malah paras tertinggi yang dicatatkan melebihi 800 kali paras yang dibenarkan.

12 Disember: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan minat secara peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau mengunjungi tapak buangan tersebut.

1985

11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari Menglembu.

1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif di sekitar kampung tersebut.

Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear.

Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

14 Oktober: Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil.

Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.

1986

22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang dikehendaki oleh perintah mahkamah), diikuti oleh piawaian IAEA.

Ia menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau, paras radiasi berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE memenuhi piawaian ICRP dan beliau dapati kilang itu selamat untuk beroperasi.

5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan sekitarnya mengadakan tunjuk perasaan terhadap rancangan ARE untuk menimbun sisa radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran Kledang.

28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke Bukit Merah mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi paras yang dibenarkan. Beliau dilarang masuk ke dalam kilang itu.

16 November: Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah tapak buangan sisa torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah. Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo yang pernah membuang sisa di situ.

Bacaan di salah sebuah tapak ialah 0.05 – 0.10 milirem/jam (iaitu 438 - 876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum 0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.

26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).

8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam berkata hasil pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah mendapati paras radiasi di situ adalah selamat.

Menurutnya, sungguhpun AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi paras normal, ini tidak membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat sedikit bilangannya.

1987

6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasi, AELB Malaysia memberikan lesen kepada ARE supaya meneruskan operasinya.

10 April: PARC menjemput 14 pakar asing untuk datang ke Bukit Merah-pengasas-pengasas Institut Antarabangsa bagi Kepentingan Awam di Kanada, Dr Rosalie Bertell; Setiausaha Pusat Keselamatan Industri dan Kepentingan Alam Sekitar di India, V.T. Pathmanaban; dan Presiden Institut Kesihatan dan Tenaga di Amerika Syarikat, Kathleen Tucker merupakan antara mereka yang dilarang memasuki kawasan ARE.

Dalam satu forum yang berlangsung di Bukit Merah, pakar-pakar itu membuat kesimpulan bahawa ARE mendedahkan pelbagai ancaman kesihatan yang serius.

12 April: Kira-kira 10,000 orang penduduk berarak di Bukit Merah sebagai membantah operasi yang dijalankan semula oleh ARE.

24 Mei: Kira-kira 300 orang penduduk diperintahkan bersurai oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berhampiran ARE.

Lebih 20 orang, termasuk tiga wanita mengalami kecederaan dalam dua pertelingkahan pada hari itu. Seramai 60 orang ditahan oleh pihak polis. Semua kecuali enam dibebaskan kemudian selepas disoal-siasat.

Keenam-enam pemuda itu dibebaskan seminggu kemudian di mana pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan. Penduduk menghalang kerja-kerja membina jalan yang menuju ke tapak buangan kekal di Banjaran Kledang yang dicadangkan.

23 Julai: Seorang doktor Kanada, Bernie Lau, diupah oleh PARC untuk meletakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau berjaya mengesan sejumlah gas radon dibebaskan daripada kilang itu.

Terdahulu dari itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk Amar Stephen Yong berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan penilaian kesan alam sekitar bagi tapak buangan kekal yang dicadangkan itu. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama beberapa orang pegawai Kementerian.

7 September: Perbicaraan saman yang dikemukakan oleh lapan orang penduduk Bukit Merah terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Sebagai mengetengahkan nasib mereka, para penyokong PARC berjalan sejauh 8 km dari Bukit Merah ke Ipoh. Polis menyuraikan tunjuk perasaan mereka berhampiran Menglembu. Sembilan orang ditahan tetapi dibebaskan setelah diikat jamin. Kira-kira 1,000 orang hadir di mahkamah sebagai menunjukkan sokongan mereka.

11 September: Para penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari terakhir perbicaraan. Jumlah mereka yang hadir dianggarkan 3,000 orang.

18 Spetember: Penduduk Bukit Merah mengemukakan permohonan perbicaraan kerana menghina mahkamah terhadap ARE memandangkan ia melanggar perintah menahan operasi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kepada mereka pada tahun 1985.

27 Oktober: Lebih 100 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di antaranya termasuklah pengerusi PARC, Hew Yoon Tat; timbalannya, Hiew Yew Lan; (bekas) setiausaha PARC, Lee Koon Bun; ahli jawatankuasa, Phang Kooi Yau dan peguam Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Merek dibebaskan selepas dua bulan.

November: ARE mula membina tapak buangan kekal sisa toksik di Banjaran Kledang.

1988

25 Januari: Perbicaraan disambung semula.

1990

13 Februari: Perbicaraan tamat selepas berlansung selama 65 hari dan berlanjutan lebih 32 bulan.

1992

11 Julai: Penduduk Bukit Merah memenangi kes saman terhadap ARE. Mahkamah mengarahkan penutupan kilang ARE dalam tempoh 14 hari. Pihak ARE pula mengumumkan ia akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.

23 Julai: ARE mengemukan rayuan di Mahkamah Agung berhubung perintah Mahkamah Tinggi Ipoh supaya operasinya dihentikan. Pengerusi PARC Hew Yoon Tat dan salah seorang plaintif dalam saman terhadap ARE, Lau Fong Fatt menemui kakitangan atasan Mitsubishi Chemical di Jepun. Mereka diberitahu ARE mengemukan rayuan tanpa kebenaran syarikat itu.

24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Hakim Besar Mahkamah Agung menahan (sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya menghentikan operasinya.

3 Ogos: Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir di Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menggantung operasinya. Bagaimanapun, hakim-hakim Mahkamah Agung Menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos kerana 'tekanan oleh mereka yang berpiket di luar mahkamah.'

5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan ARE untuk menolak perintah Mahkamah Tinggi yang meminta ARE menghentikan operasinya berikutan rayuan syarikat berkenaan. Menurut hakim-hakim itu, penutupan tersebut akan menyulitkan kilang dan 183 pekerjanya.

1993

15 Mac: Perbicaraan rayuan yang dikemukan oleh ARE di Mahkamah Agung ditangguhkan pada 7 Jun.

7 Jun: Perbicaraan mendengar rayuan ARE sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

1994

19 Januari: Pengumuman syarikat ARE untuk menghentikan operasi.

http://www.malaysiakini.com/news/158216

Rabu, 9 Mac 2011

Sinar dicelah kabut...

Baru-baru ni ada satu kes yang menyakitkan kepala.

Sudah menjadi lumrah kita manusia bila kita berdepan dengan sebarang masalah yang bebannya menyebabkan kita tak nampak jalan keluar maka kita akan merujuk kepada seseorang yang kita percaya. Kita akan bertanya bagaimana jalannya atau bagaimana caranya kita dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Orang yang kita rujuk itu oleh kerana dia tidak terbeban dengan masalah kita maka dia dapat melihat dengan jelas isu dan permasalahannya. Seterusnya dia dapat memberi cadangan penyelesaian yang terbaik dapat difikirkannya.

Cadangan yang dilontarkan mungkin berdasarkan pengalamannya, pengetahuannya atau sekadar lontaran tanpa asas.

Bagaimanapun sebelum cadangan tersebut keluar kita telah dapat meluahkan apa yang terbuku di hati dan terbeban di minda. Kadang-kadang semasa meluahkan perasaan kita secara spontan terfikirkan satu penyelesaian atau ternampak punca masalah.

Kita meminta bantuan atau pandangan orang lain bukan kerana kita bodoh, tidak berpengetahuan, tiada pengalaman atau orang yang kita minta pandangan itu lebih baik dari kita. Tetapi dengan meluahkan perasaan dan meminta pandangan orang lain mungkin kita dapat menilai sesuatu permasalahan dari sudut yang berbeza dan menilai permasalahan melalui cara yang baru.

Setelah mendung permasalahan bertukar menjadi kabut nipis yang membiaskan cahaya maka kita mula mengorak langkah menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah yang tadinya beban telah menjadi ringan dan terasa bagaikan suatu cabaran yang mengujakan.

Itulah manusia atau insan yang normal yang cekal dalam menghadapi ujian hidup.

Malang sekali bila ada orang yang ditimpa permasalahan mahu menyelesaikan masalah tanpa mahu mengetepikan ego sendiri. Lebih senang menyalahkan orang lain.

Bercerita, meluahkan masalah dengan harapan dan tanggapan si pendengar akan bersetuju dengannya. Dia bukan mahu mendengar pandangan tetapi dia mahu melontarkan pandangan dan mahu ianya dipersetujui.

Pandangannya itu bukan pandangan yang menguntungkan masyarakat umum tetapi pandangan yang hanya menguntungkan dirinya. Tetapi ianya diulang berulang kali bagi mensahihkan fakta.

Sudah menjadi tabiat masyarakat kita, apa saja yang kerap didengar maka itulah yang betul. Sifir mudahnya kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tidak perlu kaji selidik lagi. Kalau tak betul takkan orang bercakap.

Bila bermasalah kita cari penyelesaiannya. Tetapi tidak baginya. Saya ada masalah dan awaklah yang perlu selesaikannya sebab awak ada kuasa. Awak dibayar gaji. Kalau tidak gaji awak tu haram nak bagi makan anak bini.

Menarik betul sifirnya. Dia ada masalah kita kena selesaikannya. Kita dibayar gaji kerana kita buat kerja mengikut bidang tugas yang diamanahkan dia pulak yang buat fatwa haram dan halalnya. Bila pulak dia jadi mujtahid.

Walaupun kali ini terpaksa bersengkang mata dan minda. Terpaksa juga memujuk jantung hati yang sesekali remuk redam dibelasahnya. Namun ianya kemudian bertukar menjadi cerminan pengalaman yang mengujakan. Andainya suatu hari saya berpeluang menaqalkan kisah ini dalam sebuah memoir maka insyaAllah saya akan lakukan. Semoga ianya menjadi pengajaran bersama kepada anak-anak.

Rabu, 23 Februari 2011

Februari...



Bulan Februari hampir ke penghujungnya...biasanya bulan Februari cukup indah dengan sinar cahaya cinta anugerah Ilahi...bukan kerana Velentine Day tapi kerana hari lahir Umi...



Maafkan Abah kerana tak dapat bersama Umi di hari ulang tahun Umi...namun wajah Umi tak pernah hilang dari jantung hati Abah...Umilah yang sudi mengikat baiah janji setia dengan Abah...biarpun saat Abah senang mahupun susah...



Umi...belum sempat Abah menitipkan hadiah buat Umi...sayu rasa hati bila mengenangkan Umi yang sedang sarat mengandungkan hadiah buat Abah...sesungguhnya hanya Umi yang bertakhta di hati Abah dan Iskandar...



Peluk cium dari Abah...

Khamis, 10 Februari 2011

Khutbah Jumaat

Maksud Khutbah Jumaat

Ucapan atau syarahan yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat, yg mengandungi nasihat, peringatan & pengajaran.

Hukum Khutbah Jumaat

WAJIB

- Ia salah satu dari syarat sah solat Jumaat

- Tanpa Khutbah, Solat Jumaat tidak sah

Rukun Khutbah Jumaat

1. Puji-pujian kepada Allah Subhanahu wa Taala.

2. Selawat ke atas Nabi Sallallahu alaihi wasallam.

3. Berpesan supaya bertaqwa.

4. Membaca ayat dari Al-Quran pada salah satu dari kedua-dua khutbah.

5. Doa kepada orang-orang mu'min pada khutbah kedua.

Wajib khatib berkhutbah dalam keadaan berdiri, suci dari hadas, menutup aurat dan wajib duduk antara dua khutbah dengan kadar lebih dari toma'ninah dalam solat dan tidak senggang masa terlalu lama antara dua khutbah.

Kontradik...

Harga tol dari jam 12 malam sampai 7 pagi dikurangkan 10%...


Kempen keselamatan jalanraya meminta pemandu jangan memandu ketika mengantuk bagi mengelakkan nahas jalan raya...hmmm...

Isnin, 7 Februari 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir dan Wawasan Politik UMNO

Khalid Samad

Sambil mengikuti perkembangan kebangkitan rakyat Mesir, saya merasakan teramat kagum terhadap kesanggupan mereka untuk turun ke jalan raya menuntut hak mereka. Setelah dibelenggu selama berpuluh tahun, 30 tahun darinya di bawah Hosni Mubarak, rakyat Mesir telah menyedari bahawa perubahan perlu dilakukan dan tiada cara lain melainkan mereka sendiri berdiri teguh menuntutnya. Persoalan keadilan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya menjadi isu yang mendorong mereka untuk menuntut perubahan. Semua persoalan ini merupakan persoalan yang cukup releven di dalam sebuah masyarakat yang bertamaddun dan bermaruah.

Lantaran dari itu, saya terfikir adakah mungkin ahli-ahli UMNO kebinggungan dengan semua yang sedang berlaku? Mungkin ada yang tertanya, “Apa masalahnya? Tidakkah mereka semua satu bangsa dan majoriti besar mereka itu orang Islam?” Dan pasti juga tertanya lagi, “Hai, bukankah pemimpin mereka tu orang Islam? Jalan raya sudah siap dibina, begitu juga hotel-hotel bertaraf antarabangsa yang didatangi manusia dari seluruh dunia! Apa lagi yang rakyat Mesir itu inginkan?” Dan sudah pasti juga ada yang menyampuk sambil berkata, “Sungguh tidak pandai berterima kasih rakyat Mesir ini!”.

Maka, bagi otak UMNO yang tidak memahami persoalan keadilan, menentang rasuah serta salah guna kuasa, apa yang sedang berlaku pasti sesuatu yang tidak dapat mereka fahami. Akhirnya pasti dirumuskan, “Ini mesti kerja ‘penderhaka’ dan sebagainya”. Rakyat yang baik tidak mungkin menentang kerajaannya walau zalim mana sekalipun.

Untuk pengetahuan tuan-tuan sekalian, otak UMNO ini telah dididik untuk melihat dunia ini secara mudah. Nombor Satu soal kaum dan bangsa. Nombor Dua soal taat dan setia kepada pemimpin. Nombor Tiga bersyukur kepada pemimpin ke atas segala pemberian yang diperolehi. Kalau sedikit, itu soal rezeki yang ditentukan Allah. Rezeki secupak tidak akan jadi segantang, tambah mereka lagi.

Di Mesir, kaum dan bangsanya satu. Semuanya Arab. Kalau dikaji dari agihan kekayaan tempatan, 100% milik Arab kerana semuanya Arab. Dari sudut kepimpinan pula, Arab juga! Dari segi rasuah, biarlah yang rasuah itu, rezki mereka, jangan kita dengki dan jangan kita cemburu. Berdosa. Lagipun, penerimanya pun Arab juga maka apalah masalahnya?

Oleh itu, otak mereka tidak mampu memahami apa yang sedang berlaku. Mengapa ya, tertanya-tanya orang UMNO diantara satu sama lain. Apa yang rakyat Mesir ini hendak?

Ada yang secara bergurau menghantar SMS kepada saya, ‘Pemuda UMNO mendesak rakyat Arab Mesir bersatu. Takut-takut sekiranya berpecah, maka Cina akan ambil alih kuasa dan jadikan Mesir seperti Singapura!’ Saya tergelak apabila menerima SMS tersebut dan terus di saya hantar ke twitter kerana saya tahu bahawa sebenarnya, itulah pemikiran politik orang UMNO, termasuk para Pemudanya.

Begitu juga apabila disebut bahawa Mubarak mengaut harta Negara dan memiliki asset peribadi bernilai hampir USD 30 Billion, maka sudah hampir pasti reaksi pemuda PAS dan pemuda UMNO akan berbeza. Pemuda PAS akan menyerang Mubarak dan membidasnya kerana melalui amalan rasuah dan kronisma Berjaya mengkayakan diri sambil rakyat Mesir dibiar terus miskin. Pemuda UMNO pula sebaliknya akan membincang dan memerah otak sambil menyusun strategi bagaimana hendak jadi kroni Mubarak supaya mendapat manfaat dari hartanya! Kena jadi Arabkah kita? Soal seorang Pemuda UMNO kepada seorang rakannya yang turut kebingungan.

Persoalan keadilan, kebenaran, menentang penindasan dan kezaliman semua itu hanya retorik politik bagi UMNO. Tiada makna. Ianya ungkapan-ungkapan Pembangkang. Dan oleh kerana itu, mereka terngangga melihat apa yang berlaku di Mesir. Namun, hakikatnya rakyat Mesir sememangnya ditindas dan dizalimi selama ini. Pemimpin-pemimpin Negara membolot kekayaan Negara dan rakyat kebanyakan dibiarkan dalam kemiskinan. Siapa yang pernah ke Mesir memahami apa yang saya maksudkan.

Sekiranya datang individu-individu yang menuntut keadilan demi rakyat, menuntut supaya kekayaan Negara diagihkan dengan cara yang lebih adil, mereka-mereka ini akan ditangkap dan dipenjarakan. Dalam penjara mereka akan diseksa dan ada yang dibunuh. Apa yang baru bermula di Malaysia telah lama diamalkan di Mesir.

Oleh itu, saya sanjung keberanian rakyat Mesir dan menyokong usaha mereka untuk mendatangkan perubahan kepada yang lebih baik. Hosni Mubarak, sekiranya mengasihi Negara dan rakyatnya lebih dari dirinya sendiri, harus berundur dengan baik. Cara bagaimana, saya yakin rakyat Mesir lebih mengetahuinya. Biarlah mereka berbincang dan menentukan cara mereka.

Namun, apa yang jelas, setelah melangkah kedepan dengan berani, mereka tidak boleh berundur. Maka amat benar apa yang dikatakan oleh salah seorang penunjuk perasaan di dataran Tahrir, “Sekiranya kami berundur dalam keadaan Mubarak masih berkuasa, dia akan tentukan setiap seorang dari kami ditahan dan dibunuh. Kami tahu, kami pernah laluinya sebelum ini”.

Oleh yang demikian, sama sama kita doakan semoga perubahan itu akan berlaku dan Hosni Mubarak tidak akan terus mengkhianati Negara dan rakyatnya lagi. Sebaliknya akan berundur secara terhormat supaya rakyat Mesir dapat bernafas dan hidup bebas dari cengkamannya.

Begitu juga, supaya ummat Islam di Malaysia, akan dapat membebaskan diri mereka dari corak politik sempit dan ‘pemikiran terhad’ seperti persoalan kaum dan kedudukan; serta mampu menghargai persoalan politik yang lebih utama seperti persoalan memperjuangkan keadilan dan kebenaran serta menolak dan menentang kezaliman. Hanya dengan itu akan ummat Islam dan bangsa Malaysia menjadi ummat dan bangsa yang bermaruah dan disegani dunia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD