Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 26 Jun 2009

Hang Tuah Dalam Kenangan, Kaunselor Pencetus Harapan

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
16 Jun 2009

Barangkali ramai di antara kita pernah menonton filem Hang Tuah, filem Melayu pertama yang berwarna. Filem ini dilakonkan oleh P. Ramlee sebagai teraju utama memegang watak Hang Tuah. Filem ini berlatar masa zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah. Filem ini sangat menarik dan boleh dikatakan berjaya menggambarkan suasana masyarakat pada zaman tersebut. Hal ini tidak menghairankan kerana sekitar tahun 50-an masyarakat kita masih belum jauh meninggalkan teks hikayat Melayu lama seperti Hikayat Hang Tuah.

Melalui filem ini digambarkan citra masyarakat Melayu yang terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan Melaka. Pada masa itu tidak ada apa yang lebih penting selain mendapat kepercayaan dan perhatian daripada Sultan. Oleh kerana Sultan berkuasa mutlak, mempunyai kuasa pemutus dan setiap titah adalah undang-undang yang perlu ditaati.

Kalau hal ini terjadi pada masa sekarang, mempunyai kuasa mutlak adalah hal yang menggerunkan. Tetapi sultan pada masa itu tetap terikat pada perlembagaan Hukum Kanun Melaka. Antara yang menarik dalam kitab Hukum Kanun Melaka ini ialah keringanan atau kelonggaran hak raja yang kadang kala dibenarkan rakyat jelata menikmatinya.

Sebagai contoh istilah “raja sehari” yang diguna bagi menggambarkan pasangan yang baru berkahwin. Pihak istana membenarkan istilah “raja” digunakan oleh rakyat kebanyakan dalam “sehari” bagi meraikan pengantin. Mungkin pada kita hari ini ianya adalah hal yang kecil tetapi pada masyarakat dahulu yang “menjunjung titah menjulang daulat”, ini adalah anugerah daripada pihak istana.

Secara ringkasnya walaupun raja tidak mencemar duli turun makan kenduri di rumah rakyat kebanyakan tetapi penggunaan istilah “raja sehari” umpama hadiah pihak istana kepada pasangan pengantin. Walaupun raja tidak berjumpa rakyat tetapi melalui kaedah ini rakyat dan raja berjaya didekatkan.

Berbalik kepada filem Hang Tuah, oleh kerana sikap dan tutur kata yang bijaksana menyebabkan beliau disenangi sultan, akhirnya menimbulkan dengki terhadapnya. Daripada dengki terhasillah khianat berupa fitnah yang dilempar menyebabkan beliau dijatuhkan hukum bunuh tanpa sebarang siasatan.

Asal mulanya perasaan dengki itu bila Hang Tuah pada hari pertama dibawa Bendahara mengadap Sultan kerana berjasa menyelamatkan Bendahara daripada diserang orang mengamuk, (kemudian kerana jasanya diangkat Sultan menjadi “Betara Dalam” jawatan pertama Hang Tuah dalam Kerajaan Melaka) telah berdatang sembah supaya para pengiring Bendahara diampunkan kesalahannya lari meninggalkan Bendahara. Sedangkan sebelum itu para pegawai istana lain yang lebih tinggi tarafnya telah berdatang sembah memohon agar para pengiring itu dihukum bunuh.

Tindakan Hang Tuah dianggap lancang sehingga menyinggung perasaan pegawai istana yang lain. Dalam filem ini, Hang Tuah (P. Ramlee) bila disindir dengan perkataan “kaduk naik junjung” menjawab : “Datuk, kalau burung enggang marah burung pipit terbang tinggi akhirnya burung enggang jua akan mati kelaparan”.

Dialog ini sewajarnya diangkat martabat menjadi salah satu prinsip dalam menjana modal insan masyarakat Malaysia. Sikap dengki khianat wujud dan bersebati dalam jiwa kebanyakan kita. Saya berpendapat Hikayat Hang Tuah difilemkan bukan untuk mengangkat martabat Hang Tuah sebaliknya untuk menyedarkan sebuah bangsa yang ketika itu baru merdeka agar membuang jauh-jauh perasaan dengki khianat.

Dengki adalah perasaan yang wujud dalam hati sanubari seseorang terhadap kejayaan seseorang yang lain. Khianat pula adalah perlakuan yang timbul kesan daripada perasaan tersebut. Dengki khianat adalah situasi di mana perasaan yang wujud dijelmakan dalam bentuk perlakuan sehingga memberi kesan negatif kepada yang didengki.

Bagaimanapun harus diingat, orang yang mendapat musibah akibat khianat merasa sakitnya selepas terkena tetapi orang yang berdengki dan melakukan khianat merasakan sakitnya sejak dari awal rasa dengki itu wujud. Jelasnya pendengki sebenarnya lebih sakit daripada yang dikhianat.

Begitulah fenomena yang melanda kita dari dulu hingga hari ini. Bangsa kita takkan ke mana sekiranya usaha tidak dilakukan untuk membendung gejala ini. Mungkin wajar difikirkan bersama dalam kalangan para kaunselor dan pegawai psikologi dengan dibantu oleh para penolong untuk menjadikan pembangunan modal insan sebagai fokus utama.

Kita tidak perlu menunggu klien di bilik kaunseling. Kita tidak perlu keluh kesah dengan akta kaunselor yang begitu susah difahami. Tidak perlu risau dengan kelayakan diri kerana belum berdaftar. Hakikatnya kita telah dilantik sebagai pegawai dan penolong pegawai psikologi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan kita terikat dengan peraturan penjawat awam.

Kalau nak diikutkan ramai individu terkenal termasuklah yang bergelar datuk mengaku mengamalkan kaunseling sedangkan mereka tak pernah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor. Setakat ini tiada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah kerana itu. Secara logik ilmu kerja sosial, di mana salahnya tindakan membantu sesama manusia tanpa sebarang balasan. Ikut logik ilmu undang-undang biarlah orang yang pakar tentangnya berbicara. Kalau ikut logik sejarah telah terbukti di zaman ada pihak berkuasa mutlak (istana) boleh bertolak ansur melalui Perlembagaan Hukum Kanun Melaka memberi kelonggaran dan keistimewaan kepada orang kebanyakan. Apa pula di zaman ini yang betul salahnya ditentukan melalui pertikaian soal teknikal di mahkamah.

Uniknya perjawatan pegawai dan penolong pegawai psikologi ialah walaupun jawatan ini terpencil sifatnya di awal kemunculan tetapi berkat susah payah kaunselor terdahulu lahirlah Akta Kaunselor yang mengangkat martabat bidang kerjaya kita. Sedangkan perjawatan lain bergantung kepada peranannya dalam sektor ekonomi sebelum dinilai perlu kepada akta atau tidak.

Perjawatan kita terlalu tinggi tarafnya sehingga kekadang tak mampu dicapai oleh rakan-rakan yang keluar dari menara gading. Institusi Pengajian Tinggi diberi julukan nama “menara gading” supaya setiap yang memasukinya akan berdiri dipuncak menara melihat rakyat marhaen dari atas dan merangka dasar untuk membangunkan bangsa. Namun sebaliknya terjadi, disebabkan hambatan material, anak bangsa kita keluar menara gading dari pintu yang dimasukinya. Kesarjanaan hanya pada segulung kertas bukan pada individu. Macam mana dia masuk begitu jugalah dia keluar.

Kalau masuk tandas sekalipun, sebelum masuk perut meragam maka selepas keluar perut mesti rasa selesa. Tetapi kita masuk universiti sekadar masuk dan keluar. Tidak ada idea baru yang hendak dicetuskan. Ikut saja orang lama kalau salah boleh tuding jari.

Hang Tuah seawal dilantik ke jawatan istana telah melakukan perubahan. Berani bertentang pendapat dengan pegawai yang lebih senior. Bukannya biadap tetapi atas dasar pengetahuan dan perasaan ihsan sesama makhluk. Sudah menjadi kebiasaan pegawai senior bangga dengan jasanya maka pegawai baru perlu berusaha menunjukkan jasa.

Adatlah jika ada orang mengumpat. Kita takkan tahu sesuatu usaha kita akan berjaya atau tidak tetapi sekiranya mula saja kita mengorak langkah mahu mengerjakan sesuatu yang baik terus saja ada umpat keji, maka teruskanlah itulah petanda awal usaha kita akan mencapai kejayaan. Saya menyebut ini berdasarkan pengalaman peribadi dan itulah yang memotivasikan saya.

Dalam ruangan ini biarlah kita berdebat bukan berJebat. Musa diangkat darjatnya oleh tuhan kerana derhakanya kepada Firaun. Baru-baru ini saya menjemput sekumpulan kaunselor dan penolong kaunselor untuk menjadi fasilitator dalam Kem Motivasi dan Jatidiri 2009. Jemputan itu saya buat secara lisan dalam sebuah perjumpaan. Sedih sekali bila kalangan penjana modal insan ini bertanya soal tempat tidur dan penginapan serta keselesaan bilik air bukannya soal pengisian program atau seumpamanya.

Menjalankan kem motivasi ibarat kita mencuci kain dengan tangan. Kalaupun kain yang dicuci tidak bersih tetapi sudah pasti tangan kita akan bersih. Kita tidak tahu sejauh mana objektif program akan dicapai tetapi pengalaman menjalankan program akan kekal bersama kita membantu meningkatkan pengetahuan dan mutu kerjaya untuk masa depan. Kalau para penjana modal insan gagal mencerap hakikat ini maka di manakah masa depan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Malaysia.

Sesuai dengan perjawatan kita yang dibina dengan pasak akta dan etika yang kukuh maka kita perlu berfikir dan bertindak untuk mencapai matlamat berjabatan dan berpremis sendiri seterusnya mempunyai ketua pengarah sendiri. Tentunya tidak dapat dicapai dalam setahun dua tetapi persediaan ke arah itu perlu ada dan persediaannya adalah para pegawai dan penolong pegawai perlu bersedia mental dan fizikal serta bersedia mengutarakan idea-idea baru untuk berkembang. Biarlah kita generasi sekarang menjadi “pengembang” dan bukan “ikut berkembang”.

Hang Tuah hidup dalam kurun ke 15 dan di zaman yang tiada universiti itulah beliau bangkit menjadi pakar diplomasi yang hebat. Di zaman itu slogan cemerlang, gemilang dan terbilang belum wujud. Tetapi itulah yang telah dicapai beliau dan masyarakat pada zamannya. Mungkin kerana Hang Tuah telah belajar dengan seorang guru yang hebat bernama Sang Adi Putra yang betapa di Gunung Ledang.

Sang Adi Putra telah mencipta kaedah yang hebat untuk memilih pelajar, beliau tinggal di puncak Gunung Ledang dalam sebuah gua. Sesiapa yang ingin menuntut ilmu dengannya perlu meredah semak belukar, hutan belantara menempuh seribu satu macam halangan dan rintangan untuk sampai kepada beliau. Hanya yang berjiwa cekal dan kental akan berjaya sampai. Catatan sejarah atau lagenda hikayat tidak menukilkan sebarang fakta atau cerita mengatakan Sang Adi Putra ada mempunyai ramai murid. Barangkali hanya Hang Tuah lima bersaudara saja muridnya tetapi kualiti pelajar yang terhasil bertaraf antarabangsa. Berbeza dengan kita sekarang keluar dari menara gading yang gah pada nama tetapi pemikiran seperti katak bawah tempurung, takut berdepan dengan masyarakat.

Dato’ Dr Siddiq Fadhil, Presiden Kolej Dar’ Al-Hikmah ketika dalam sebuah majlis konvokesyen mengungkapkan, “upacara konvokesyen bukan sekadar upacara menyerahkan segulung ijazah atau diploma kepada graduan tetapi sebenarnya menyerahkan para graduan kepada masyarakat”. Seandainya para graduan memahami ungkapan keramat ini pastinya sedar betapa berat tanggungjawab yang digalas. Tanggungjawab yang perlu direalisasikan dengan membuka seluas-luasnya ruang fikiran agar maklumat yang dicerap deria dapat dicerna menjadi idea yang seterusnya memerah keringat melaksanakan idea tersebut agar bangsa kita benar-benar menjadi bangsa yang hidup.

Biarlah ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah disaat ajal hampir tiba “takkan Melayu hilang di dunia” kita realisasikan agar Melayu bukan sekadar tidak hilang tetapi biarlah wujudnya dirasai, hilangnya dikesali.

Inilah tanggungjawab besar yang digalas oleh kita yang memegang status kaunselor, pegawai psikologi, penolong kaunselor dan penolong pegawai psikologi. Kalau kita mahu klien kita bermotivasi maka kita dahulu perlu bermotivasi, kalau kita mahu mengubah tingkahlaku klien maka kita dulu perlu berubah. Imam Hassan Al-Basri ketika hayatnya mempunyai kelebihan mengubah tingkah laku masyarakat melalui khutbah Jumaatnya. Bila beliau berkhutbah tentang solat Tahajjud maka masyarakat pada minggu tersebut berlumba-lumba bangun Tahajjud pada setiap malam begitu juga jika beliau berkhutbah berkenaan puasa sunat maka dalam minggu tersebut masyarakat akan berpuasa sunat.

Hal ini diperhatikan oleh golongan hamba abdi pada ketika itu. Mereka telah datang berjumpa dengan Imam Hassan Al-Basri dan meminta kepada beliau supaya berkhutbah tentang kelebihan membebaskan hamba abdi. Hal ini dipersetujui oleh beliau. Menjelang hari Jumaat berikutnya para hamba abdi ini menunggu dengan penuh harapan tetapi hampa kerana beliau berkhutbah tentang tajuk yang tidak ada kena mengena dengan pembebasan hamba abdi. Begitu juga dengan Jumaat seterusnya sehingga beberapa lama.

Sehinggalah pada suatu Jumaat, Imam Hassan Al-Basri akhirnya berkhutbah tentang kelebihan membebaskan hamba abdi dan kesannya seperti yang diduga, ramailah pemilik hamba abdi yang membebaskan hamba mereka. Selepas dibebaskan, bekas hamba abdi ini datang berjumpa dengan Imam Hassan Al-Basri untuk mengucapkan terima kasih dan juga protes kenapa mengambil masa yang terlalu lama untuk menyampaikan khutbah seperti diminta. Beliau menjawab, “aku terpaksa menangguhkan khutbah tersebut kerana ketika kamu datang aku belum pernah membebaskan hamba abdi. Aku terpaksa mengumpul sejumlah wang sehingga aku dapat membeli seorang hamba abdi dan aku bebaskan dia”.

Semoga kisah di atas ada manfaatnya untuk kita semua dalam memahami peranan dan tanggungjawab yang kita pikul. Jangan kita menjadi seperti kaldai yang membawa kitab. Ilmu yang ada sekadar beban yang digalas bukan digunakan.

Hang Tuah di zamannya telah mencapai kegemilangan, sampailah masanya kita memacu negara ini dengan pengetahuan yang ada mengangkat bangsa kita ke mercu martabat jatidiri. Jangan sekadar megah dengan slogan, kerana Hang Tuah mencipta slogan keramatnya diakhir hayat bukan ketika mula berkhidmat. Slogan Hang Tuah adalah kesimpulan kepada pengalaman hidup dan cintanya kepada bangsa sedangkan kita mencipta slogan untuk bermegah. Marilah kita sama-sama memantapkan pengetahuan dan memajukan diri untuk berhadapan dan berkhidmat untuk masyarakat. Selamat dan berkat untuk semua.

Khamis, 25 Jun 2009

Surat Berantai, Holy Water dan Filem Bollywood

Sebelum adanya sistem rangkaian teknologi maklumat seperti sekarang manusia mencipta pelbagai kaedah lain yang juga berguna dan efisien tetapi tidak secanggih zaman ini. Orang zaman batu berkomunikasi jarak jauh dengan menggunakan asap dan api, zaman berkembang sistem pos wujud dengan penghantarnya berlari, menunggang kuda dan sebagainya sehinggalah menggunakan kenderaan bermotor.

Jelasnya manusia sedaya upaya sepanjang zaman cuba berhubung dengan lebih pantas agar maklumat dapat disampaikan. Sedari dulu lagi pengetahuan tentang peri pentingnya maklumat disampaikan dengan cepat telah wujud. Pengetahuan tentang elektrik dan gelombang telah mempercepatkan lagi penyampaian maklumat dengan kaedah morse sehinggalah suara sebenar manusia dapat didengar.

Sekiranya sesuatu maklumat itu disampaikan secara lisan, peratus ketepatannya akan terjejas. Umpama kita bermain telefon buruk, semakin panjang rantaian pemainnya, semakin berubahlah maklumat yang disampaikan.

Berbeza dengan penyampaian hadis Nabi Muhammad SAW yang mempunyai kaedah Usul Hadis bagi memastikan kesahihannya berdasarkan penelitian terhadap peribadi para pemegang sanad. Bagi kita di akhir zaman ini tidak perlu bimbang tentang masalah sahih atau palsu sesuatu hadis kerana masalah ini telahpun diselesaikan oleh para ulama hadis terdahulu. Rujuk sahaja pada lima kitab hadis terkemuka seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan At-Tarmizi, Sunan Ibnu Majah dan Sunan Abu Dawud.

Sekitar tahun lapan puluhan ketika saya masih menuntut di sekolah rendah, saya pernah menerima sepucuk surat berantai yang menceritakan tentang kiamat dan keperluan untuk umat Islam beramal dengan sebaik mungkin. Surat itu dikatakan terhasil setelah seorang Syeikh bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Sesiapa yang menerima surat ini perlu membuat 20 salinan dan mengedarkannya kepada orang lain serta amaran sekiranya tidak dibuat orang itu akan ditimpa musibah. Bersama surat tersebut disertakan juga testimoni berkenaan beberapa orang yang dikatakan gagal mengedarkan surat tersebut meliputi orang biasa dan tokoh politik yang ditimpa musibah. Mereka juga dikatakan terselamat daripada musibah tersebut setelah bertindak membuat salinan surat tersebut dan mengedarkannya semula.

Saya disebabkan tidak mampu (masa itu saya hanya membawa 50 sen ke sekolah), tidak dapat membuat salinan surat tersebut seperti yang dikehendaki. Kesannya saya diejek rakan-rakan mengatakan saya akan ditimpa musibah. Apa pun, syukur saya masih bernafas dan dapat hidup sehingga hari ini.

Surat berantai tersebut rupanya masih wujud sehingga era 90-an dan 2000. Lebih menarik lagi ianya berkembang biak dengan pelbagai tajuk lain yang membawa khabar angin disebar luas menerusi sistem penyampaian maklumat tercanggih masa kini, Internet.

Untungnya kita tidak perlu lagi membeli setem, sekadar menekan butang “send” menggunakan tetikus dengan hujung jari. Tetapi soalnya di sini bukan masalah untung rugi, tetapi soalnya di mana tahap akidah kita dengan percaya musibah dan manfaat ditentukan oleh surat berantai. Kalau untuk berdakwah, Nabi mengajar kita berjumpa manusia berbicara hati ke hati. Tidak salah menggunakan teknologi untuk berdakwah. Kalau perlu memberi peringatan dengan SMS contohnya, beri sajalah peringatan itu dengan menukilkan matan hadis atau kata-kata hukama tanpa perlu menakutkan orang dengan janji musibah dan sebagainya sehingga menyesatkan.

Habis isu surat berantai, akhir tahun 90-an kita didakyahkan pula dengan gejala Holy Water atau air suci dari gereja. Pelbagai versi cerita yang dapat di dengar. Antara lain katanya holy water itu dibuat melalui pemujaan oleh paderi menggunakan janin bayi yang digugurkan dari rahim ibu mengandung tidak sah taraf. Sesiapa yang terminum air tersebut akan murtad serta merta. Tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah. Ada yang dikatakan histeria meronta-ronta mahu ke gereja mengisytiharkan diri masuk Kristian dan sebagainya.

Kasihannya bila ada produk keluaran bumiputera dikatakan mengandungi holy water sehingga kesannya produk tersebut tidak laku mengakibatkan pengeluarnya menanggung kerugian. Entah betul atau tidak langsung tidak ada bukti.

Bila ditanya kepada rakan-rakan yang menjadi penyampai berita tak bergaji ini tentang kesahihannya mereka bermati-matian mempertahankannya. Bila ditanya lagi adakah mereka melihat sendiri berapa orang yang telah murtad itu jawapannya mereka juga dengar cerita orang. Hendak dilawan berdebat mereka yakin dengan apa yang telah didengar. Mungkin mereka baru lepas belajar ilmu tauhid mengatakan iman itu percaya pada yang ghaib dan bersikap “saya dengar dan saya taat”.

Kalau benarlah isu holy water ini, begitu mudah akidah umat Islam hancur hanya dengan seteguk air dari gereja maka tentunya sudah habis seluruh umat Islam negara ini murtad. Cuba kita tanya pada diri sendiri mana lebih kuat antara air surah Yassin dengan Holy Water. Adakah orang bukan Islam yang meminum air surah Yassin akan secara tiba-tiba mahu memeluk Islam?

Bayangkan situasi ini pula, seorang pemimpin negara Islam melawat sebuah negara yang majoriti beragama Kristian bertemu dengan pemimpinnya. Secara sulit semasa berbincang isu-isu antara negara pemimpin Kristian itu memasukkan Holy Water dalam minuman pemimpin Islam. Kembali sahaja pemimpin Islam itu ke negaranya, dia dengan tiba-tiba dalam satu majlis di hadapan khalayak umum mengisytiharkan dirinya murtad. Bayangkan apa yang akan terjadi. Bayangkan betapa mudahnya negara Islam tersebut diperkotak-katikkan selepas situasi itu terjadi.

Jika demikian hebatlah holy water, tentunya musuh Islam tidak akan melepaskan peluang menggunakan kaedah yang mudah dan murah untuk menghancurkan Islam bagi menghilangkan sindrom Islamphobia yang melanda negara mereka khususnya pemimpin mereka.

Biarpun kita sibuk dengan holy water, natijahnya semakin ramai orang kita yang murtad. Virus isu ini tak pernah dapat dimutasikan dengan baik. Pasti ada bocor di sana sini. Tetapi apa yang pasti mereka murtad bukan disebabkan holy water.

Lazimnya murtad disebabkan percintaan silang agama. Kalau dulu siapa saja bukan muslim mahu berkahwin dengan muslim mereka perlu “masuk Melayu” dahulu dan kalau lelaki perlu “potong”. Hal ini tidak pernah dibantah kerana umum mengetahui sikap orang Melayu yang lembut dan bersopan santun. “Masuk Melayu” mungkin jadi kebanggaan pada ketika itu.

Tetapi sekarang siapa yang nak “masuk Melayu”? Melayu bukan lagi bangsa yang bersopan santun. Melayu terlibat dengan berbagai gejala sosial. Penagih dadah, kutu rayau, rempit, bohsia, bohjan dan pelbagai lagi. Bukan mahu membuka pekung di dada, tetapi pekung itu dah terlampau busuk, tutuplah macam mana sekalipun baunya tetap bertebaran.

Jadi kalau mahu kahwin ikut sahaja agama saya. Penganut agama awak asyik bergaduh pagi, petang, siang dan malam. Berbahas tapi tak pernah ada penyudah. Mungkin itu agaknya yang didakyahkan.

Pernah dahulu ketika negara ini dilanda demam Bollywood, para ulama dan mufti memberi peringatan agar gejala ini dibendung agar tidak membenihkan gejala negatif yang lain. Pendapat mereka diperlekehkan bahkan dipermainkan. Filem dan lagu Bollywood hanyalah sekadar hiburan, apa perlu ditakutkan.

Implikasinya dapat dilihat hari ini, oleh kerana ramai pemuda Melayu Islam yang melanjutkan pelajaran ke pusat serenti maka pemudinya beralih arah menumpahkan cinta sayang kepada pemuda dari Bollywood. Sayangnya para pemuda dari Bollywood tidak tertarik dengan pemudi Melayu, maka para pemudi Melayu mencari alternatif, tak dapat Bollywood tak apa, Banglawood pun lebih kurang apa.

Memanglah rupanya lebih kurang, tetapi si pemuda datang ke sini berpermit. Tamat permitnya kembalilah mereka ke negara asal. Tinggallah isteri dan anak-anak terkontang-kanting meraih simpati di bumi sendiri. Akhirnya kerana hilang tempat bergantung anak dirujuk ke Kebajikan Masyarakat, dihantar menginap di rumah kanak-kanak bertebaran berpecah keluarga dan adik beradik. Si ibu yang penyayang tadi membuka lembaran hidup baru berkahwin pula dengan Mat Indon. Barulah glamour bila ada citarasa antarabangsa.

Satu cerita lisan yang saya dapat dari ceramah seorang ustaz ; ustaz ini telah dijemput untuk memberikan ceramah motivasi kepada satu kumpulan perkerja. Dalam kumpulan ini ustaz ini terlihat satu pasangan yang menarik perhatiannya. Si perempuan bertudung dan berbaju kurung menampakkan ciri-ciri jelas seorang gadis Melayu manakala si lelaki berantai emas berkulit gelap jelas menunjukkan secara fizikalnya seorang India dan bukan beragama Islam. Cara pasangan ini berkomunikasi jelas menunjukkan mereka bukan kawan biasa sebaliknya mempunyai hubungan yang lebih dari kawan biasa. Disebabkan tidak puas hati, semasa rehat ustaz ini mengambil kesempatan bertanya terus kepada si perempuan agar tidak menyimpan syak.

Si perempuan mengaku terus terang memang dia Melayu Muslim dan lelaki tersebut India beragama Hindu dan mereka sedang bercinta. Ustaz mempersoalkan kenapa si perempuan bercinta dengan lelaki Hindu sedangkan ramai lagi lelaki Islam yang lain. Jawapan si perempuan mudah lelaki India lebih romantik berbanding Melayu. Jantan Melayu tak ada kerja lain lepas kahwin fikir nak tambah isteri lagi satu. Kalau dalam agama Hindu lelaki tak boleh kahwin lebih dari satu.

Berdasarkan cerita si perempuan, ustaz tersebut membuat kesimpulan inilah penangan filem Bollywood yang diremehkan oleh ramai orang. Macam biasa masyarakat kita dah terantuk baru nak terngadah.

Kemudahan teknologi komunikasi memudahkan banyak urusan manusia. Tetapi biarlah apa yang kita sebarkan mempunyai asas fakta yang kukuh bukan sekadar dengar cakap orang. Masyarakat kita perlu membuat anjakan pemikiran agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang yang berkepentingan.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
26 Mei 2009

ORANG MELAYU DAN SILANG BUDAYA

Perkataan Melayu merujuk kepada Kamus Dewan bermaksud nama suatu bangsa dan bahasa terutama di Semenanjung Malaysia. Ada ungkapan “masuk Melayu” yang diertikan oleh Kamus Dewan sebagai mengikut cara hidup orang Melayu atau masuk Islam.

Melayu jika dinisbahkan kepada nama khas merujuk kepada suatu bangsa manakala jika dinisbahkan kepada kata kerja bermaksud perbuatan menghilangkan kesegaran pada sesuatu contohnya daun teh perlu dilayukan terlebih dahulu selepas dipetik atau daun pisang perlu dilayukan dahulu sebelum membalut kuih. Perbuatan melayu boleh dengan menjemur di bawah terik matahari atau melayurnya seketika di atas api.

Konotasi perkataan melayu dilihat dari sudut kata kerja membawa maksud yang negatif bila dinisbahkan kembali kepada sebuah bangsa. Bangsa yang layu tidak mungkin membina peradaban, tidak mungkin menjadi pelopor kepada idea-idea baru yang mampu mengubah atau mencorak dunia.

Bagaimanapun dilihat dari sudut sejarah, ternyata bangsa Melayu tidak tandus peradabannya. Bermula dengan kerajaan Sriwijaya yang beragama Hindu, Sambojaya, Langkasuka, Kataha, Syailendra, Kalinga, Mataram, Kediri, Singasari, Majapahit, Darmasyraya, Aditiawarman, Pagaruyung, Majapahit dan Semundra Pasai.

Kerajaan Semundra Pasai merupakan kerajaan pertama memeluk Islam daripada agama Hindu. Melayu pertama memeluk Islam bernama Merah Silu raja kepada kerajaan tersebut. Merah Silu kemudiannya menukar nama kepada Sultan Al-Malikul Saleh.

Setelah raja memeluk Islam maka tiada halangan besar untuk rakyatnya beransur-ansur memeluk Islam. Sesuai dengan ajaran Islam yang tidak pernah menolak adat dan budaya tempatan selagi mana tidak bercanggah dengan akidah.

Masa berlalu dan generasi berganti, hari ini bangsa Melayu sudah lupa sejarah. Entah kenapa walaupun bangsa Melayu dikatakan sebagai bangsa yang kaya dengan budaya dan adat resam namun amalan membaca bukan menjadi tradisi Melayu.

Seringkali didengar perkataan ibu, ayah atau datuk nenek menegur anak cucu “kata orang tua-tua...”. Siapa orang tua itu tidak dapat dipastikan. Adakah namanya Socrates, Plato atau Aristotle tak siapa yang tahu. Merakamkan idea dalam bentuk tulisan agaknya bukan budaya Melayu.

Mempelajari sastera klasik kita akan menemukan nama besar penulis tersohor seorang Bendahara Kerajaan Johor Riau bergelar timang-timangannya Tun Seri Lanang. Walaupun terdapat banyak lagi hikayat-hikayat lama namun tak diketahui pengarangnya. Kemudian kita akan berjumpa lama selepas itu yang digelar Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah. Malangnya Munsyi Abdullah bukanlah Melayu tulen. Beliau berketurunan Tamil beragama Islam.

Bagaimanapun orang Melayu hari ini patut berterima kasih kepada si Tamil ini kerana jika diharapkan kepada Melayu tulen maka tiadalah langsung khazanah sastera bangsa kita. Sedih dan sayu rasa hati bila diimbas kembali sejarah bangsa. Patutlah ramai Melayu yang layu tidak mahu membaca dan mengimbas sejarah, mungkin kerana terlalu meruntun emosi jati diri Melayu tulen.

Terlepas daripada persoalan emosi yang kaku dan bisu, mari kita telusuri keadaan bangsa kita kini menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-52 bulan Ogos akan datang. Dibandingkan dengan pembangunan fizikal ternyata modal insan kita jauh ketinggalan. Ruang pemikiran antara generasi jauh berbeza. Institusi keluarga di negara ini kian runtuh hari demi hari. Ibu bapa hilang kawalan ke atas anak-anak kerana jika dikawal anak-anak akan memberontak. (Inilah fakta lazim ditemui setiap kali menjalankan Bengkel Interaktif).

Maka paling mudah untuk keluar daripada masalah ini keluarga menggunakan mekanisme beladiri menyalahkan orang lain seperti masyarakat, guru, pemimpin dan sebagainya. Menariknya bila golongan yang disalahkan turut tidak mahu kalah bangkit menyalahkan yang lain. Putaran ini telah sekian lama berlaku dalam negara kita sehingga akhirnya sedar atau tidak seluruh masyarakat telah menerima budaya menyalahkan ini sebagai suatu yang normal sehingga menjadi norma.

Bangsa Melayu menerusi Kerajaan Melayu Melaka mencapai kegemilangannya kerana ramainya dagang santeri yang datang berniaga dan kemudian terus bermastautin. Berkahwin dengan wanita tempatan kemudian membentuk generasi berkualiti menerusi asimilasi ini. Sultan Melaka sendiri, Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Hang Li Po, puteri Maharaja China.

Kegemilangan Melaka juga turut disumbang oleh sistem urus tadbir yang baik di bawah kelolaan Bendahara Seri Maharaja seorang Melayu yang mempunyai darah keturunan Tamil. Portugis hanya berjaya menawan Melaka selepas Bendahara Seri Maharaja dijatuhkan hukuman bunuh dalam skandal merebut puteri Bendahara, Tun Fatimah.

Sewajarnya dalam keadaan sekarang dengan limpahan warga berbilang kaum, Malaysia sewajarnya lebih maju berbanding negara-negara Harimau Ekonomi yang lain. Semasa Melaka di puncak kegemilangannya, warga Jepun masih leka dengan tradisi jumud mereka mengagungkan budaya Samurai sehingga mereka tewas kepada bangsa Monggul.

Lebih 50 tahun kita masih gagal berasimilasi antara kaum. Perkahwinan campur patut digalakkan. Biarlah kita meriah dengan keluarga yang berbagai warna kulit daripada sekadar meriah dengan paluan kompang dan tepung tawar. Istiadat tepung tawar walaupun terus dipertahankan tetapi gagal menawar geruh dalam rumah tangga. Walaupun sesama bangsa dan sama cara hidup tetapi kadar perceraian dalam kalangan Melayu masih tinggi. Melayu masih menang sorak kampung tergadai.

Walaupun sibuk berkokok ke sana ke mari mendendangkan kemajuan yang telah dicapai namun sangat menggerunkan bila didapati minda pemikiran Melayu masih ditakuk lama. Melayu sekarang bukan membina kepercayaan, keyakinan terhadap jati diri tetapi terus menerus kekal dalam kepercayaan karut marut yang tiada asas logik dan boleh dijadikan wadah melonjakkan bangsa Melayu ke takah yang lebih tinggi.

Melayu lebih disibukkan saban hari dengan cerita hantu polong walaupun tinggal di tengah kota metropolitan. Tentu ada yang pernah mendengar khabar angin pernah ternampak hantu ketika menaiki LRT Putra melintasi Kampung Baru Kuala Lumpur kerana khabarnya terowong tersebut melalui bawah kawasan kubur. Sistem Transit Aliran Ringan dibawa ke negara ini bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang semakin mendesak seluruh warganya. Sepatutnya warga Kuala Lumpur bersungut tentang masalah kelewatan train atau perlunya menambah laluan ke seluruh Kuala Lumpur dan seterusnya keluar ke seluruh Lembah Kelang. Sudahnya cerita hantu pula yang keluar.

Kalau betul sekalipun ada hantu tak mungkin terowong itu ditutup kerana telah menelan belanja yang besar. Sedangkan ada terowong yang lebih kecil yang “hantunya” telah merogol gadis bawah umur masih terus dikekalkan dengan ingatan dan amaran agar tidak melalui terowong tersebut berseorangan demi keselamatan.

Demikianlah kita generasi hari ini berfikir tanpa menaakul. Setiap pemikiran yang dicetuskan seharusnya mengikut landasan yang menghala kepada kemajuan. Dasar-dasar yang telah digazetkan kerajaan sepatutnya boleh menjadi landasan melapangkan kotak fikir Melayu. Tetapi kita lebih senang hidup kita dicorakkan orang lain supaya bila berlaku kesilapan dengan mudahnya kita boleh menuding jari.

Bangsa Melayu mempunyai citra budaya yang cukup indah dan tersusun. Ketika bangsa lain memandang wanita sebagai warga kelas kedua, Melayu telah mencipta budaya Pepatih yang melebihkan kaum Ibu. Maju mundur bangsa kita akan terjamin sekiranya kita sedia kembali berasimilasi dengan kaum lain dalam negara ini.

Melayu adalah bangsa pengembara, pelaut yang handal, meredah samudera melangkaui dunia. Bila Melayu terperuk dihujung kampung seperti mana yang dihajatkan penjajah maka selagi itulah kita tak akan dapat mengapai kembali kegemilangan seperti yang pernah dicapai oleh Kerajaan Melaka ketika Sultan Mansur Shah memerintah, Bendahara Tun Perak mentadbir dan Laksamana Hang Tuah menjalankan diplomasi antara negara.

Rujukan:

A. Samad Ahmad, 1997. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Dr. Hamka, 2002. Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
23 Mei 2009

Sajak : Apa Yang Hilang

Apa yang hilang?
Dari dalam diri seorang gadis
Yang dahulunya menjadi pinggitan
Serta turut jadi bualan
"Molek sungguh anak Pak Polan"
Sedang pada ketika ini
Si gadis sedang jadi taruhan
Siapa menang dalam perlumbaan
Hanyutlah dia semalam-malaman
Bersama gemuruh tepukan Syaitan
Meraikan hadirnya seorang teman
Bersama menuju kemurkaan Tuhan.

Apa yang hilang?
Dari dalam diri seorang pemimpin
Yang dahulunya menuturkan janji
Akan membela maruah pribumi
Sedang pada ketika ini
Serba serbi tak menjadi
Akibat lalai diri sendiri
Ingatlah wahai pemimpin bistari
Ketika engkau di mahkamah Ilahi
Kami semua menjadi saksi
Menghumbankan engkau ke dalam api.

Ramlan Ramli
PPPsi
PPKK Serendah

SOLAT DAN AKADEMI FANTASIA

Dunia adalah jambatan manusia menuju akhirat. Seseorang yang melalui sebuah jambatan tidak akan berhenti lama, walau secantik mana sekalipun jambatan tersebut atau seindah mana sekalipun pemandangan dilihat dari atas jambatan, orang yang melaluinya akan terus pergi. Adalah suatu yang tidak masuk akal untuk tinggal menginap lama-lama di atas jambatan sekalipun ia bertaraf lima bintang.


Di Indonesia, ada sekelompok manusia yang tinggal membuat penempatan di bawah jambatan sekitar Jakarta. Taraf hidup yang tinggi tidak sepadan dengan pendapatan kecil golongan marhaen menyebabkan mereka tiada pilihan lain. Wujudnya golongan ini memberi gambaran sebenar hakikat hidup rakyat Jakarta tanpa perlu bersusah payah meneliti statistik perangkaan taraf hidup penduduk.

Malaysia juga tidak terlepas dengan situasi ini. Rancangan 360 terbitan TV3 mendedahkan sekumpulan pendatang asing warga Bangladesh yang tinggal di bawah jambatan di Ibu Kota kerana tidak mempunyai pekerjaan dan pelbagai isu lain merempat dan terpaksa merayu bantuan.

Jelasnya jambatan bukannya tempat yang selayaknya manusia tinggal. Jika dikatakan dunia sebagai jambatan ke akhirat maka akhirat adalah destinasi dan individu perlu terus berjalan sehingga tiba ke destinasi. Malangnya ramai antara kita yang terleka dengan keindahan jambatan dan terpesona dengan keindahan pemandangannya. Golongan ini akan mendapati mereka sangat rugi bila tiba ke destinasi.

Berjalan di atas jambatan dunia bukan bermaksud mengorak langkah sebaliknya melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Ilahi contohnya solat lima waktu sehari semalam. Solat ditegakkan dengan tiga rukun mencakupi hati, lidah dan perbuatan seterusnya dikembangkan menjadi 13 rukun.

Solat akan menjadi perkara pertama yang akan disoal kepada setiap umat Muhammad di Padang Mahsyar selepas iman disoal di alam kubur. Ini menjelaskan lagi peri pentingnya solat dikerjakan dengan sempurna.


Bagaimanapun dewasa ini kita dapat melihat kebobrokan yang melanda masyarakat kesan daripada fahaman hedonisme. Masyarakat digula-gulakan dengan hiburan tanpa henti melalui pelbagai media sama ada elektronik mahupun cetak. Asalnya tujuan pihak media mahu mengaut untung tetapi kesannya masyarakat hancur tanpa jati diri yang jitu tanpa mengenal siapa diri sendiri.

Buktinya masyarakat hari ini begitu mudah melatah bila dicuit media. Sebut saja satu isu ramai-ramai melatah tanpa faham apa sebenarnya isu itu dan tanpa mengambil sebarang tindakan yang sesuai agar isu itu tuntas.

Contohnya buang anak, heboh sekejap di dada media masyarakat pun menari mengikut rentaknya. Selang seminggu heboh pula isu ragut sekali lagi masyarakat menari mengikut rentaknya sedangkan isu buang anak masih belum selesai. Ia hanya didiamkan media kerana takut menjadi basi dan membosankan khalayak.

Kalau masyarakat faham hakikat sebenar, apa yang dimaksudkan dengan gejala sosial maka tidak ada seorangpun yang akan mendiamkan diri melainkan bangun untuk sama-sama memerah keringat berganding bahu memikul tanggungjawab bagi menghapuskannya. Karana lambat laun ia akan terkena juga pada kita. Sama ada diri sendiri, anak cucu atau keturunan generasi seterusnya.

Saya kekadang letih melihat rakan-rakan sekerja, kaum keluarga dan sahabat handai bercerita tentang sinetron, telemovie atau drama bersiri yang disiarkan saban hari di tv. Walaupun penceritaan dan temanya lebih kurang sama tapi khalayak yang menontonnya tetap ramai (tanpa perlu membandingkannya dengan rancangan bercorak ilmiah kalau dibandingkan nanti terasa hinanya rancangan ilmiah tersebut).

Entah kenapa tema saling dengki mendengki, curi rampas kekasih, isteri atau laki orang begitu laku di pasaran. Adakah hakikatnya masyarakat kita sememangnya begitu? Wawasan 2020 dengan sembilan cabarannya telah lama dilancarkan. Tahun 2020 hanya tinggal 11 tahun saja lagi tetapi warga kita masih berotak 20 sen.

Baru-baru ini Akademia Fantasia selesai melabuhkan tirainya. Sama ada ia berjaya melakukan tranformasi seperti yang dicanangkannya atau tidak terpulanglah kepada penonton, peminat dan pengundinya. Saya tertarik kengan komen masyarakat ketika mula-mula Akademi Fantasia dilancarkan. Masyarakat mengkritik kenapa perlu pelajar lelaki dan perempuan berpelukan adakah itu wajar walaupun atas tiket pelajar dan belajar. Manakah pula akal budi tenaga pengajar yang banyak ilmu dan pengalaman dalam mencorak perilaku moral pelajar yang bakal menjadi selebriti.

Segala komen yang diberi tidak dapat dipastikan sama ada memberi kesan atau tidak bagaimanapun pujian harus diberikan kepada TV9 kerana menerbitkan rancangan Akademi Al-Quran bagi memberi alternatif kepada penonton. Tidak perlulah dipertikaikan dari segi rating penonton kerana itu bukan salah TV9. TV9 sudah melakukan apa yang perlu dan mampu dibuat olehnya.

Bagaimanapun saya amat tertarik dengan satu kaedah pengajaran dalam Akademi Fantasia iaitu kritikan daripada pengkritik profesional. Selama ini industri hiburan kita terutama bidang nyanyian menjadi lesu kerana penyanyinya lebih banyak miming daripada live. Sudah tentu mereka tidak memerlukan sebarang latihan yang bersungguh. Hasilnya munculnya mereka mengikut musim sekadar menjadi perantis kemudian pergi hanya segelintir yang kekal.


Kalau mereka tidak dimanjakan, bebas untuk dikritik maka mereka akan tampil atau berusaha untuk tampil dengan lebih mantap dimasa depan. Siapa juga yang bersedia untuk dikritik dan berlapang dada akan bangun dengan lebih gagah mampu berdepan dengan apa juga cabaran.

Kalau selama ini kita mengatakan Akademi Fantasia itu melalaikan maka kenapa tidak sekarang kita menggunakan Akademi Fantasia untuk muhasabah diri. Bayangkan kita sedang bersolat di atas sebuah pentas dan tiga orang malaikat sedang menjadi juri atau pengkritik profesional. Selesai memberi salam kita bangun mengadap juri dan seorang demi seorang memberikan komen. Agaknya apa komen yang akan diberikan?

Malaikat pengkritik 1 : Hati
Malaikat pengkritik 2 : Lidah, pertuturan atau bacaan
Malaikat pengkritik 3 : Gerak badan dalam solat

Meminjam trade mark Raja Lawak Musim Kedua, Ahmad Nabil, “Lu pikir la sendiri”

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah
21 Mei 2009

CINTA, KAHWIN DAN ZINA

Cinta merujuk perasaan si polan kepada si anu atau seseorang kepada sesuatu yang membawa suatu kaitan atau ikatan emosi yang amat kuat sehingga boleh mengubah perilaku dan peribadi seseorang. Untuk menjadikan atau mewujudkan situasi cinta perlu kepada dua elemen utama iaitu asyik dan maksyuk.

Asyik merujuk kepada perasaan ingin dan rindu kepada seseorang atau sesuatu dan Kamus Dewan mendefinasikannya sebagai menaruh berahi atau perasaan cinta yang amat sangat terhadap seseorang. Manakala maksyuk merujuk kepada balasan cinta daripada yang diingin dan dirindu kepada yang mengasyikkannya.

Timbul persoalan di sini sama ada boleh atau tidak seseorang yang berperasaan mencintai sesuatu yang tidak berperasaan seperti kerjaya atau hobi. Dilihat sepintas lalu ianya tidak mungkin. Mustahil sesuatu yang tidak berperasaan dapat meluahkan kembali rasa cintanya kepada seseorang.

Namun seringkali kita dengar orang mengungkapkan kata-kata dia sangat mencintai kerjayanya atau hobinya. Kalau dia mengasyikkan kerjanya mungkinkah kerjanya maksyuk kepadanya? Bagi yang pernah mengalaminya ternyata tidak mustahil. Maksyuk itu datang dalam bentuk kepuasan terhadap kerja yang dilakukan oleh seseorang itu. Kepuasan terhadap kerja menyebabkan seseorang tidak berasa jemu atau letih meneruskan kerjanya walaupun diulang saban tahun sehingga berpuluh tahun lamanya.

Begitulah hebatnya apa yang dinamakan cinta. Cinta adalah fitrah. Cintalah yang menimbulkan keghairahan manusia untuk terus memakmurkan bumi ini. Cinta jugalah yang menimbulkan keamanan dan kerosakan pada manusia dan alam. Alam maya terus wujud hingga ke hari ini juga kerana cinta Yang Maha Esa kepada ciptaannya.

Bagi kita manusia yang tercipta dengan fitrah yang telah ditentukan, maka kita perlu kepada pasangan hidup supaya kelangsungan generasi dapat diteruskan. Agama telah menetapkan naluri fitrah ini dapat dilampiaskan menerusi perkahwinan.

Untuk itu sebagai bangsa yang bertamadun perkahwinan dijadikan asas pembentukan dan pembangunan sesebuah keluarga. Manusia muslim diletakkan empat perkara asas untuk memilih pasangan. Islam menjadikan proses memilih pasangan ini sebagai tonggak pendidikan anak-anak.

Sebagaimana yang umum telahpun maklum, pasangan perlu dipilih berdasarkan keturunan, rupa paras, kekayaan dan agamanya. Islam juga menekankan peri pentingnya agama dalam menentukan pilihan pasangan.

Keturunan sangat penting dalam pembentukan keluarga. Ini bukan soal keturunan antara dua darjat tetapi baka atau genetik sangat mempengaruhi perkembangan dan kesihatan anak-anak. Syukurlah sekarang persoalan kesihatan keturunan dapat dipastikan melalui ujian darah. Pasangan yang ingin berkahwin boleh menjalani ujian bagi memastikan sama ada mereka positif pembawa talasemia atau tidak sebagai contoh. Ujian ini dapat mengurangkan risiko lahirnya anak yang cacat.

Rupa paras dan kecantikan adalah suatu yang subjektif sifatnya. Dalam memerihalkan persoalan ini HAMKA pernah membuat analogi dengan dua orang yang melihat bunga. Bunga yang sama dilihat oleh dua orang yang berbeza dan keduanya memberikan komen yang berbeza. Seorang mengatakan bunga itu cantik dan yang seorang lagi langsung tidak mempedulikan bunga itu. Jadi soalnya dimanakah kecantikan bunga itu. Adakah pada bunga itu sendiri atau pada orang yang melihatnya.

Begitu jugalah dengan seseorang individu, rupa fizikal yang elok memberi tarikan kepada yang memandang. Hebatnya ilmu Tuhan kerana meletakkan kecantikan kepada yang memandang dan bukan yang dipandang. Jika kecantikan itu objektif sifatnya maka pastilah yang cantik akan jadi rebutan sehingga berbunuhan. Yang tidak cantik akan terbiar keseorangan sepanjang hayat.

Biarpun kita dalam zaman moden yang maju materialnya tetapi bergaduh berebut pasangan bukan perkara asing bahkan ada ke tahap berbunuhan. Inilah akibatnya bila kehendak dan rangsangan fitrah tidak disalurkan dengan cara yang sewajarnya menurut tuntutan Ilahi. Tak percaya? Mahukan bukti? Selak saja lembaran akhbar bahagian hiburan tentu ada cerita yang membuktikannya...

Harta kekayaan biarpun bukan hakikat kebahagiaan tetapi sering dianggap lambang kebahagiaan. Apatah lagi dalam dunia sekarang yang materialistik sifatnya. Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran jelasnya harta juga memberi peranan meneguhkan akidah apatah lagi meneguhkan sebuah perkahwinan. Kerana itu wujudnya konsep sekufu atau sama taraf. Agar tidak berlaku ungkit mengungkit sesama pasangan di belakang hari.

Malangnya harta yang ada tidak digunakan untuk membahagiakan rumahtangga sebaliknya mencipta pelbagai masalah. Sebagai contoh untuk melangsungkan perkahwinan hantarannya mesti gah. Mesti ikut macam artis. Mesti glamour walaupun hakikatnya kita bukan artis dan langsung tak glamour.

Maka terpaksalah pasangan mencari dana untuk persiapan berkahwin. Jalan mudah pinjam bank. Setelah berkahwin gaji yang ada terpaksa ditolak untuk melunaskan hutang. Kenduri selesai hanya kekal dalam gambar. Mungkin dibuka setahun sekali semasa hari ulangtahun perkahwinan. Nasib tak baik kekal terperuk dalam almari.

Alasan untuk berkenduri besar kerana takut umpatan jiran dan orang sekeliling. Yang mengumpat dah tentu berdosa kerana bercakap tanpa ilmu, yang menurut cakap orang berdosa dah tentu bodoh. Malang Pak Kaduk ayam menang kampung tergadai...

Pegangan agama yang mantap merupakan pilihan paling unggul dalam memilih pasangan. Wajah yang sering disirami wuduk kalaupun tidak cantik tapi serinya ada. Kalaupun tidak menarik tapi tetap terpaut. Seri agama menenangkan jiwa yang sekacau mana sekalipun. Tahap redhanya tinggi, tidak akan meminta sesuatu yang menyusahkan pasangan harapannya cuma satu berkahwin untuk redha Ilahi.

Seringkali kita tertanya, bagi yang belum berkahwin adakah pasangan yang mantap pegangan agamanya untuk jadi pasangan hidup. Dilihat dengan mata kasar langsung tiada harapan. Ada yang bertudung labuh tapi mulut boleh tahan...ada yang lembut manja tapi tak menutup aurat yang lelaki pula baik alim tapi tawaduk sampai tak campur masyarakat.

Bagi yang dah berkahwin ada yang menepuk dahi, salah pilih katanya. Mula fikir nak buka cawangan. Sedangkan cawangan yang sedia ada tak pernah terurus. Fikir nak tambah pahala hakikatnya menambah bala.

Tak perlu susah payah mencari pasangan sama ada yang belum mahupun yang telah berkahwin. Tak perlu menoleh ke sana ke mari. Caranya mudah, mantapkan pegangan agama sendiri maka mantaplah pegangan agama pasangan kerana Tuhan tidak pernah menzalimi kita. Mendidik pasangan tidak perlu selepas ijab kabul dilafazkan bahkan semasa bujang remaja lagi boleh mendidik biarpun kita tidak pernah terbayang bagaimana rupa paras bakal pasangan.

Serangkap doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi dengan niat memantapkan ilmu, iman dan amal serta usaha gigih yang berterusan (istiqamah) nescaya rahmat akan melimpah kepada bakal pasangan dan pasangan kita sedia ada.

Bagaimanapun bercerita tidak semudah beramal kerana lidah tidak bertulang. Hakikatnya berkahwin tidak semudah itu walaupun agama mengatakannya mudah. Entah bijak pandai mana yang berusaha gigih memayahkan urusan berkahwin. Katanya untuk mengelakkan perceraian dan keganasan rumah tangga.

Hasilnya jadilah seperti sekarang. Tanyalah pada remaja dan belia sama ada lelaki mahupun perempuan. Mana lebih mudah antara kahwin dan zina maka jawapannya sudah terang lagikan bersuluh. Sangat mudah berzina di mana-mana saja asal jangan tertangkap penguatkuasa. Kalau tertangkap sekalipun bayar saja dendanya lambat laun masyarakat akan melupakan. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti dulu, moden dan berfikiran terbuka.

Kata yang ortodoks atau golongan moralis di pentas-pentas berhawa dingin dalam forum-forum di hotel terkemuka kenapa perlu ikut budaya asing, kenapa remaja sekarang tak takut dosa, kenapa perlu merosakkan masa depan sendiri, fikir dahulu sebelum buat, menyesal dahulu pendapatan dan sebagainya kalau mahu dijawab, jawapannya kerana kitalah golongan yang sepatutnya membimbing tidak menjalankan amanah dengan sempurna. Seronok berucap di pentas leka dengan tepukan gemuruh hadirin pembodek.

Masyarakat kita semakin celaru, walaupun dalam persoalan mudah yang mencakupi fitrah insani. Cinta adalah fitrah, kahwin adalah penyelesaian. Lapangkanlah prosedur berkahwin selesailah masalah zina.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah

Touch & Go

Salam semua.

Malaysia dalam mengharungi liku-liku menjadi negara maju perlu menempuhi pelbagai cabaran. Desakan paling utama memajukan modal insan rakyatnya. Menjadi negara maju menuntut warganya berfikir, membuat keputusan dan bertindak lebih pantas pada setiap masa. Bagi merealisasikan hal ini wujud keperluan terhadap prasarana bertaraf kelas pertama setiap sektor dalam negara.

Warga Malaysia merupakan golongan yang terdedah kepada maklumat. Setiap hasrat murni kerajaan difahami dan sebagai warga yang bertanggungjawab pastinya akan turut serta mengambil bahagian merealisaikannya.

Rakyat Malaysia terutama di bandar perlu bergerak lebih pantas. Kemudahan jalan raya dan lebuh raya ditambah dan dinaik taraf boleh dilihat di mana-mana. Bagi memastikan kualiti jalan tersebut sentiasa terbaik pengguna perlu membayar tol. Sebagai warga yang prihatin hal ini tidak menjadi masalah tetapi hasrat untuk bergerak pantas terbantut oleh kesesakan jalan raya di setiap plaza tol terutama waktu puncak. Antara penyelesaiannya ialah dengan menggunakan Touch n Go.

Bagaimanapun dukacita diperhatikan lorong Touch n Go tidak sebanyak lorong berbayar. Dalam keadaan tertentu seperti masa perayaan pengguna Touch n Go terpaksa mengadap kesesakan sebelum tiba ke plaza tol.

Selain itu pengguna Touch n Go juga menghadapi masalah untuk tambah nilai. Biasanya hanya terdapat satu lorong tambah nilai bagi setiap plaza tol. Hal ini tidak logik jika dinisbahkan dengan jumlah pengguna lebuh raya. Lebih merumitkan bila untuk tambah nilai hanya boleh ketika hendak masuk ke lebuh raya. Apa relevannya situasi atau sistem ini? Apa salahnya jika pengguna dibolehkan menambah nilai semasa hendak keluar dari lebuh raya. Sekurang-kurangnya memberikan alternatif bagi yang terlupa menambah nilai.

Kiosk untuk menambah nilai pun sangat kurang. Biasanya di mesin ATM Maybank. Malangnya semasa pulang berhari raya tahun lepas saya dimaklumkan di plaza tol jika kad Touch n Go ditambah nilai di mesin ATM Maybank ia akan dimasuki virus menyebabkan pengguna tidak boleh tambah nilai di plaza tol. Sehingga kini saya masih tertanya-tanya sistem siapa yang bermasalah Maybank atau PLUS.

Oleh kerana keadaan ini terus kekal seperti adanya maka saya berubah menggunakan pengangkutan awam berlandasan. Sekarang saya tidak perlu berhadapan masalah kesesakan jalan raya. Tetapi terpaksa pula berhadapan masalah kesesakan beratur untuk membeli tiket. Lebih buruk lagi jika bertukar train contohnya dari komuter ke Putra LRT atau Star LRT saya terpaksa beratur lagi untuk membeli tiket. (Kita masih lagi tiada sistem satu tiket walaupun telah wujud slogan Satu Malaysia).

Penyelesaian paling praktikal ialah dengan menggunakan Touch n Go. Malangnya di semua stesen tidak ada kaunter tambah nilai sedangkan ianya amat perlu. Jadi caranya terpaksalah saya ke plaza tol yang berdekatan untuk tambah nilai. Sekali lagi saya terpaksa membuang masa dan tenaga bagi urusan yang remeh kerana kelemahan sistem sedia ada.

Masalah pengangkutan merupakan realiti kehidupan masyarakat bandar. Berdepan dengan kesesakan selain daripada membuang masa juga menjejaskan emosi. Kualiti hidup berkeluarga juga terjejas akibat kekangan masa bersama keluarga. Tiada masalah jika tidak bersama keluarga kerana mencari nafkah. Tetapi sangat menyedihkan masa dihabiskan di tengah jalan yang sesak. Tekanan emosi semakin meningkat dalam masyarakat kita dan antara puncanya adalah masalah kesesakan.

Kita meniru sistem pengangkutan awam daripada negara maju. Sepatutnya kita tidak akan berhadapan dengan semua masalah remeh ini. Kita pernah ada Dasar Pandang Ke Timur. Jadilah seperti orang Jepun yang sentiasa menambah baik sistem atau peralatan yang mereka tiru sehingga mengatasi pereka asal.

Janganlah kita menjadi seperti tikus membaiki labu. Nampak macam membuat jasa, hakikatnya menambah sengsara. Bukan senang memulihkan emosi individu yang tertekan. Ia memerlukan pakar, terapi yang betul dan masa yang panjang. Lebih buruk lagi jika ia melibatkan insan lain disekeliling individu tersebut.

Touch n Go bukanlah sebuah terapi tetapi penambahbaikannya akan membantu ramai insan kerdil yang menjadi warga negara ini.


Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah

Rakyat Terkilan

Artikel ini telah keluar dalam ruangan Surat Pembaca Berita Harian pada 14 Januari 2009

Saudara Pengarang,

Merujuk kepada surat Rakyat Terkilan dari Kuala Lumpur bertarikh Selasa, 13 Januari 2009, saya bersetuju dengan ungkapan beliau tentang kerajaan Selangor dan Perak seakan tidak menghargai kewujudan industri kereta nasional di negeri mereka yang telah banyak menyumbang untuk faedah ekonomi dan peluang pekerjaan. Beliau juga menyebut cara pemanduan yang lasak dan “lanyak habis” sebagai penyumbang kepada masalah penyelenggaraan kereta tersebut.

Walau bagaimanapun biarpun berat ramai terpaksa mengakui kelemahan kereta keluaran Proton. Paling cepat terjejas ialah cermin tingkap auto. Saya pernah membawa kereta Savvy Semi Auto ke pusat servis EON untuk diselenggara kerana lampu kecemasan yang bernyala tiba-tiba semasa dipandu. Menyedihkan bila dimaklumkan pihak pusat servis tidak tahu apa masalah sebenar kereta saya dan memaklumkan banyak kereta yang sama mengalami masalah serupa. Kos penyelenggaraan juga meningkat jauh lebih tinggi berbanding kereta keluaran Produa.

Jika saya yang menggunakan kereta Savvy dan dipandu dengan begitu lembut dan cermat oleh isteri saya terpaksa menanggung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat inikan pula kereta mewah seperti Perdana.

Memang tidak patriotik untuk kerajaan Selangor dan Perak menggunakan kereta impot sebagai kenderaan rasmi. Tetapi saya sebagai rakyat Malaysia mengharapkan tindakan kedua-dua kerajaan negeri ini dapat membuka mata dan minda pihak pengurusan Proton untuk mengeluarkan kereta yang lebih bermutu bagi kegunaan rakyat seterusnya mendapat sokongan padu rakyat terhadap kereta tempatan.

Rakyat Jepun dan Jerman bukan sekadar menyokong kereta keluaran negara mereka kerana semangat patriotik semata-mata tetapi juga kerana kereta keluaran mereka memang terbukti berkualiti. Tindakan kerajaan Selangor dan Perak memang mengundang kontroversi. Tetapi kadangkala kita memerlukan kontroversi untuk meningkat ke takah yang lebih baik. Bila banyak berlaku gejala sosial baru bercakap soal modal insan.

Sekian lama kita dibentangkan dengan fakta prasarana kelas pertama maka kontroversi ini menyedarkan kita keperluan meningkatkan mutu kereta keluaran tempatan.

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah