Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 1 Julai 2009

Durian Runtuh Tukang Masak, Mentimun Pentadbiran Yang Terluka

Ramlan bin Ramli
Penolong Pegawai Psikologi
Pusat Perkembangan Kemahirang Kebangsaan Serendah

Menelusuri perjalanan hidup kita sehari-hari, pelbagai ragam manusia dapat kita lihat. Biar apa juga bidang yang kita ceburi semuanya pasti melibatkan hubungan dengan manusia. Al-Quran Al-Karim kitab mukjizat yang diturunkan oleh Yang Maha Kuasa melalui Rasulnya kepada umat akhir zaman juga keseluruhannya bertemakan manusia.

Manusia melambangkan kewujudan. Tuhan adalah hakikat kewujudan. Tanpa manusia kewujudan apa juga di dunia ini tidak ada maknanya. Pokok akan kekal sebagai pokok di tempat di mana ianya tumbuh. Di mana biji benihnya bercambah dan berakar maka disitu jugalah ia akan rebah tumbang dimamah usia.

Hadirnya manusia memberi makna kepada pokok. Bermula daripada keindahan estetika sepohon pokok, kesedaran ilmiah betapa bergantungnya manusia kepada pokok yang menyumbang udara untuk kehidupan sehinggalah eksploitasi manusia sendiri ke atas pokok menukarkannya menjadi kediaman atau bahan bakar.

Manusia terhubung dengan Tuhan setiap masa dan keadaan walau apa juga agamanya. Sama ada manusia membalas hubungan tersebut dengan limpahan syukur atas nikmat yang dikurniakan dan kesedaran tauhid yang mengesakan atau pun terus kufur terhadap nikmat dan anugerah Ilahi serta menafikan keesaannya itu tertanggung atas bahu individu, Tuhan kekal menyatakan rahmat dan kasih sayangnya kepada manusia.

Alam sekitar juga sedar dengan hakikat kekhalifahan manusia maka ia terus menerus berkerja berkhidmat kepada manusia walaupun manusia terus menerus menzaliminya. Alam patuh pada titah perintah Tuhan yang mahu alam berkhidmat kepada manusia. Alam tidak pernah mogok kerana mereka dizalimi. Sesekali terjadi bencana bukan kerana alam cuba menderhaka tetapi kerana keangkuhan tangan manusia merobek alam sehingga ia lumpuh dalam usaha mengekalkan keseimbangannya.

Manusia juga perlu berhubung sesama manusia. Ketika ini masalah pun bermula. Hubungan dengan Tuhan walau sejauh mana sekalipun kita menderhakainya, Tuhan adalah Maha Pengasih dan Penyayang. Tuhan Maha Kaya sehingga tidak pernah rugi sekalipun terus melimpahkan rahmat kepada penderhaka. Maka hubungan dengan Tuhan kekal mesra ibarat bayi dengan orang tuanya.

Hubungan dengan alam juga begitu. Alam seboleh mungkin akan kekal berkhidmat sehinggalah ia betul-betul lumpuh selepas ekosistemnya dicabuli. Namun manusia terus mengeksploit alam demi kesinambungannya.

Tetapi hubungan sesama manusia tidak begitu. Hari-hari boleh didengar dan dilihat pertelingkahan manusia di mana-mana. Pemimpin sama pemimpin bebeza pendapat dan ideologi sehingga akhirnya membuahkan perang antara negara. Ekonomi terjejas akibat perang, rakyat menganggur dan menderita. Pemimpin terus angkuh menunjukkan belang rakyat saban hari sabarnya makin kurang.

Pertelingkahan manusia melibatkan isu yang besar seperti ideologi dan ekonomi sehinggalah soal-soal kecil seperti pergaduhan anak-anak yang membawa kepada campur tangan ibu bapa yang saling berjiran.

Negara kita pernah suatu ketika dahulu dilanda situasi tunjuk perasaan jalanan sehingga menimbulkan situasi tidak stabil dalam negara. Ketika itu pihak kerajaan seboleh mungkin mengekang situasi ini dengan menjaga para penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan. Sekiranya golongan ini terlibat dengan tunjuk perasaan ini ia akan mengganggu proses pentadbiran negara dan akan lebih mengucar-kacirkan negara. Sekiranya pentadbiran awam lumpuh kejatuhan sesebuah kerajaan adalah di ambang mata.

Seboleh mungkin kerajaan akan menjaga penjawat awam melalui pelbagai insentif. Setiap tahun penjawat awam akan setia mendengar pembentangan bajet hanya untuk mendengar jumlah bunus tahunan. Tanpa bonus tahunan hari raya tidak berseri dan ibu bapa akan keluh kesah menjelang sekolah dibuka.

Dalam dunia meterialistik hari ini setiap manusia memandang wang seperti oksigen. Tidak perlu dipersalahkan realiti ini kerana sekarang bukan seperti masa awal kejatuhan Daulah Islam sehingga bercambahnya gerakan sufi dan tariqat bagi membendung gejolak emosi umat. Dunia materialistik hanya mengenal angka dan bukan konsep redha.

Pertelingkahan antara manusia menjadi lebih tidak seimbang bila berlaku antara durian dengan mentimun. Pembuat dasar dengan pelaksana dasar contohnya. Bila ini berlaku yang terkena akan menyuarakan rasa hati malangnya jarak pembuat dasar dengan pelaksana dasar terlalu jauh. Kalaupun tidak terlalu jauh sudah mencukupi jaraknya untuk tidak terdengar rintihan dan emosi yang dijerit.

Pagi ini di sebuah pejabat pentadbiran terdengar rintihan dan jeritan yang membingitkan telinga saya akibat sebuah hikayat lara yang dimuat turun dari internet. Pemakluman keputusan kerajaan mengenai pemantapan perkhidmatan sajian makanan yang meliputi penambahbaikan skim perkhidmatan Tukang Masak Gred N1, N4. Skim ini di naik taraf skim perkhidmatan ke Gred N17, N22, dan N26.

Pastinya khabar ini sangat menggembirakan hati para Tukang Masak yang boleh diibaratkan mendapat durian runtuh. Tetapi bagi kakitangan pentadbiran yang menyandang N17 dan ke atas ianya bagaikan kaca terhempas ke batu. Bukan didengki dengan rezeki yang diperolehi rakan (baca : Tukang Masak) tetapi apakah nilai nisbah dan bandingan dengan bidang tugas unit pentadbiran yang setiap hari memerah otak dan fikiran melaksanakan dasar membelanjakan peruntukan bajet tahunan agar amanah pucuk pimpinan negara dan rakyat dapat ditunaikan.

Apakah agaknya perasaan kerani Gred W17 yang bertungkus lumus meminda gaji Tukang Masak sedangkan gajinya ditakuk yang sama. Ketika saya memasuki pejabat pentadbiran tersebut hari ini suasana yang biasanya ceria bagaikan ditegur Sang Kelembai. Untungnya sesiapa yang ditegur Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu sedangkan saya disambar petir lepasan geram sehingga rentung terbakar telinga saya dimamahnya.

Inilah agaknya dikatakan sebagai berada di tempat dan masa yang tidak sepatutnya. Bertugas sebagai kaunselor terpaksalah menjadi pendengar yang baik. Sekurang-kurangnya mereka melakukan tindakan yang sederhana dan wajar. Mereka tidak menyebarkan dakyah melalui internet, surat layang atau SMS. Mereka tidak melancarkan mogok jauh sekali berarak ke jalan raya. Mereka hanya meluahkan perasaan kepada kaunselor dan paling kuat rajuk mereka hanyalah menukar opsyen untuk pencen lebih awal.

Mereka adalah golongan penjawat awam yang taat menjalankan tugas. Sesekali sulamilah kerja dan kesibukan mereka dengan insentif yang selayaknya. Mereka tidak meminta banyak hanya penghargaan pihak atasan.

Saya juga tidak berfungsi banyak. Hanya sekadar penyampai suara hati dalam meladeni hubungan sesama manusia agar lengkap menjalankan tugas kekhalifahan mengurus alam dipayungi rahmat dan berkat Ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan