Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
Pintu perangkap di tempat menggantung pesalah tidak boleh dibuka walaupun percubaan sebelumnya berjaya
BEKAS anggota polis, James Berry, yang bertukar kerjaya menjadi tukang gantung pada 1883 di Yorkshire, England, mendapat mimpi aneh mengenai kerja barunya itu yang kemudian bertukar menjadi kenyataan dan menghantui hidupnya untuk sekian lama.
Dalam mimpi pada malam sebelum hukuman dijalankan, Berry mendapati dia tidak boleh menggantung salah seorang penjenayah di Penjara Carlton, Edinburgh, kerana pintu lubang di bawah tali gantung tidak terbuka. Pagi berikutnya, segala-galanya berjalan lancar dan dua penjenayah yang dihukum mati dibawa ke tempat penggantungan tanpa sebarang masalah.
Seorang daripada mereka ialah John Lee, 19, yang disabitkan bersalah membunuh bekas ketua dayang yang juga rakan kepada Ratu Victoria, Emma Whitehead Keyse, pada 15 November 1884. Saksi dalam kes itu ialah tukang masak Keyse, Elizabeth Harris, yang juga saudara tiri Lee.
Lee yang mempunyai reputasi sebagai pencuri dan diambil bekerja oleh Keyse kerana simpati mudah dianggap suspek utama pada pandangan polis, di sebalik hakikat Lee cuba memadamkan kebakaran pada malam pembunuhan dan menangis sebaik mendengar Keyse dibunuh.
Polis sebaliknya mendapat gambaran lain dan bukti menunjukkan remaja berkenaan melakukan pembunuhan itu berdasarkan penemuan baju Lee yang mempunyai kesan darah. Lee ditahan dan didakwa membunuh dan ketika perbicaraan, pendakwa menunjukkan cuma dia mempunyai motif melakukan pembunuhan itu kerana sebelum kematiannya, Keyse memotong gaji Lee kerana disyaki mencuri.
Lee membantah tetapi tidak dihiraukan. Juri sebulat suara mendapati dia bersalah dan sejurus sebelum hukuman dijatuhkan, Lee menjerit: “Saya tidak bersalah. Tuhan tidak akan membenarkan saya dihukum bunuh.”
Selepas perbicaraan, khabar angin tersebar menyatakan Elizabeth ditemui melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki di katil Keyse oleh mangsa. Disebabkan panik, Elizabeth menumbuk Keyse yang membawa kepada kematiannya.
Harris dan kekasihnya dikatakan membawa mayat Keyse ke bilik makan dan cuba menyembunyikan pembunuhan dengan memukul tengkorak mangsa untuk menampakkan ia dilakukan seorang pencuri.
Menyedari polis tidak mudah diperbodohkan Elizabeth menyimbah setin minyak tanah ke atas mayat dan membakarnya, dengan harapan kebakaran menjadikan punca kematian Keyse sukar ditentukan.
Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya kerana Lee terhidu bau asap dan berlari ke tempat kebakaran dengan sebaldi air untuk memadamkan api. Ketika Lee sibuk memadamkan kebakaran, Elizabeth dan kekasihnya meletakkan tin minyak tanah di tempat kerja Lee.
Pada malam hukuman ke atasnya bakal dijalankan, Lee tidur dengan nyenyak tetapi bermimpi sesuatu yang aneh. Lee bermimpi dia berdiri di tempat gantung dengan talinya sudah berada di lehernya tetapi pintu di bawah tempat dia berdiri tidak terbuka. Lee terjaga daripada tidur dan berasa Tuhan memberi jaminan kepadanya supaya tidak bimbang kerana dia tidak akan mati di tali gantung.
Pada pagi Isnin, 23 Februari 1885, Berry membawa Lee ke tengah tempat gantung, dan mengikat kedua-dua kaki Lee di bawah lutut, sebelum mengetatkan tali di lehernya. Berry turut menyarungkan kain putih di kepala Lee.
Kematian cuma sedetik daripada Lee tetapi apa yang mengejutkan orang ramai ialah pintu di bawah tempat Lee berdiri tidak terbuka. Mimpi Berry dan Lee menjadi kenyataan ketika itu.
Berry gementar. Dia menanggalkan sarung kepala dan tali gantung daripada Lee dan menguji pintu perangkap itu dengan beg pasir seberat berat badan Lee. Ia terbuka dan beg pasir itu terhumban ke tanah. Lee ditempatkan di atas pintu perangkap itu sekali lagi dan kali ini semua saksi pasti hukuman berjaya dilaksanakan.
Sekali lagi keadaan mengejutkan orang ramai apabila pintu perangkap itu tidak terbuka. Berry berbincang dengan jurutera penjara dan seorang tukang kayu untuk memperbetulkan pintu perangkap itu. Ujian menggunakan beg pasir sekali lagi berjaya.
Lee diletakkan di atas perangkap itu untuk kali ketiga. Berry menarik nafas panjang dan menarik tuil sekuat mungkin tetapi sekali lagi Lee berdiri tenang di atas pintu perangkap yang enggan terbuka. Paderi yang menyaksikan kejadian itu pengsan.
Ketika itu diputuskan mesej perlu dihantar ke London untuk memberitahu Setiausaha Dalam Negara mengenai apa yang berlaku. Sembilan jam kemudian, penghantar utusan tiba dari London untuk memberitahu hukuman Lee diringankan kepada penjara seumur hidup. Lee dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.
Dia dibebaskan pada 1905 dan mengahwini kekasihnya yang setia menunggu. Mereka berpindah ke Amerika Syarikat dan menetap di negara itu sehingga kematiannya pada 1993. Lee, lelaki yang tidak boleh digantung, bersumpah dia bukan pembunuh.
Setiap kali ditanya apa yang difikirkan terselamat daripada tali gantung sebanyak tiga kali, Lee berkata, ia bukan kerana nasib atau kegagalan mekanikal sebaliknya campur tangan sesuatu yang suci.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090830094024/Article/index_html
Dr. Rozmey jual Ferrari RM80,000, cerita ditipu rakan
-
Dr. RozmeyPETALING JAYA – Sekitar 2010, nama serta gaya Datuk Dr. Rozmey
sering kali menghiasi akhbar-akhbar serta kaca televisyen tempatan, bahkan
terdap...
13 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan