Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 11 September 2009

Misteri: Banyak persamaan sampai ke kubur

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Banyak perkara kebetulan berlaku di antara Presiden Abraham Lincoln dan John F Kennedy

ABRAHAM Lincoln dan John F Kennedy boleh dikatakan dua presiden Amerika Syarikat paling dikenali dan popular dalam sejarah negara itu. Mereka dikagumi dengan perubahan yang dilakukan dan keperibadian masing-masing yang jauh mendahului senarai panjang bekas pemimpin lain Amerika.

Seperkara menarik yang mengaitkan Lincoln, presiden ke-16 dengan Kennedy, presiden ke-35 Amerika ialah banyak kebetulan yang berlaku antara kedua-duanya, daripada susur galur perjalanan untuk menjadi lelaki paling berkuasa di dunia sehingga kepada pembunuhan paling diingati dalam sejarah.



Konspirasi misteri atau kebetulan antara kedua-dua lelaki berkenaan bermula dengan pelantikan Lincoln menjadi anggota Dewan Perwakilan pada 1846, manakala Kennedy pula mendudukinya genap 100 tahun kemudian pada 1946. Malah, Lincoln dilantik sebagai presiden pada 1860, diikuti Kennedy 100 tahun selepas itu.

Setiausaha Lincoln bernama Kennedy, manakala setiausaha Kennedy bernama Lincoln.

Kebetulan paling misteri antara kedua-dua bekas presiden itu ialah mereka pernah kematian anak ketika menduduki Rumah Putih. William Wallace Lincoln meninggal dunia pada usia 11 tahun ketika bapanya menjadi presiden, manakala Patrick Bouvier Kennedy meninggal dunia ketika berusia dua hari pada 9 Ogos 1963, tiga bulan sebelum Kennedy dibunuh.

Lincoln dan Kennedy mati ditembak di kepala pada Jumaat. Lincoln ditembak oleh John Wilkes Booth, manakala Kennedy dibunuh oleh Lee Harvey Oswald. Seperkara menarik melingkari kisah pembunuhan mereka ialah Lincoln ditembak di sebuah teater dinamakan Ford's Theatre, kemudian pembunuhnya melarikan diri ke sebuah gudang.

Kennedy pula ditembak dalam kereta Lincoln buatan syarikat Ford dan pembunuhnya lari dari gudang dan menyembunyikan diri di teater.

Selepas kematiannya, Lincoln digantikan Naib Presiden Andrew Johnson yang dilahirkan pada 1808, manakala Kennedy digantikan naibnya, Lyndon Johnson, yang lahir pada 1908.

Kedua-dua presiden itu seolah-olah dapat meramalkan kematian mereka dengan Lincoln dilaporkan memberitahu isteri dan rakannya mengenai mimpi dia ditembak oleh pembunuh beberapa hari sebelum kejadian, manakala beberapa jam sebelum dibunuh, Kennedy memberitahu isteri dan rakannya pasti mudah bagi pembunuh menembaknya di tengah kesesakan jalan raya.

Persamaan antara Lincoln dan Kennedy boleh dilihat ketara dengan Lincoln mempunyai dua anak lelaki yang dinamakan Robert dan Edward, begitu juga Kennedy yang mempunyai dua saudara lelaki dengan nama sama. Bezanya, anak Lincoln, Edward mati ketika masih muda dan Robert hidup lama tetapi saudara Kennedy, Robert meninggal dunia pada usia muda dan Edward meninggal dunia ketika berusia 77 tahun pada 25 Ogos lalu.

Kebetulan lain yang menjadi perbahasan mengenai kebenarannya ialah seminggu sebelum Lincoln ditembak, dia berada di Monroe, Maryland dengan rakannya, manakala seminggu sebelum Kennedy menemui ajal, dia dilaporkan bersama simbol seks Hollywood, Marilyn Monroe, yang didakwa wanita simpanan presiden itu.

Hakikat mengenai kehidupan dan pembunuhan Lincoln dan Kennedy memang mempunyai persamaan ketara. Tidak dapat dipastikan sama ada kebetulan itu membawa sebarang makna tetapi ia jelas sesuatu yang pelik.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090906071403/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan