Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 14 April 2010

Kenangan Berceramah Di PPKKS

Masa majlis sambutan Ambang Merdeka tahun lepas di PPKKS, saya diminta menyampaikan ceramah kepada kakitangan dan pelatih. Setelah sekian lama bersusah payah berusaha menyelaraskan gaya penyampaian supaya sesuai dengan tahap pemikiran para pelatih, pada malam tersebut saya melupakan semuanya. Saya terus menyampaikannya dalam bahasa umum yang minimum standard pemikirannya bertaraf SPM.

Saya tidak peduli sama ada pelatih faham atau tidak. Secara egonya lebih kepada lepas gian nak berceramah secara bebas dan bersahaja. Imbasan semasa zaman belajar di kolej, ketika minda masih kosong dan polos dilonjakkan oleh tenaga remaja yang menyala-nyala, keghairahan menyampaikan idea begitu membuak dan emosinya cukup terasa ketika saya menyampaikan ceramah bertemakan kemerdekaan walaupun kepada remaja yang lemah akademiknya.

Antara lain isi ceramah tersebut ialah saya akan menyentuh soal Satu Malaysia. Bagaimanapun idea ini tidak saya utarakan kerana pada ketika itu ianya malangkaui keperluan majlis dan permintaan penganjur. Idea ini akan saya kongsikan di sini.

Bagi saya idea ini tidak akan tercapai jika kita hanya bergantung kepada kontrak sosial yang ideanya dicetuskan oleh sekelompok pemimpin.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa dengan kehebatan teknologi maklumat masa kini, generasi sekarang lebih terdedah untuk turut sama membuat keputusan. Maka kalau sekarang kita katakan ada orang yang berani mencabar kontrak sosial fahamilah bahawa kontrak sosial telahpun dicabar seawal kemerdekaan lagi. Ramai bukan bumiputera yang mempertikaikan isu ini ketika perlaksanaan DEB di bawah Tun Abdul Razak dulu.

Kalau dulu telah dipertikai, sekarang pun dipertikaikan lagi bahkan dengan lebih hebat hujahnya maka bagaimana pula dengan masa akan datang. Ketika itu generasi memahami sejarah bergantung kepada pembacaan buku kerana tiada lagi generasi lama yang masih hidup untuk dijadikan panduan.

Saya mencadangkan dalam konteks masa sekarang sudah sampai masanya kita perlu berasimilasi dengan kaum lain secara lebih dekat bukan sekadar pemahaman terhadap kontrak sosial. Maksud saya di sini ialah kita perlu berasimilasi secara kahwin campur.

Sebagai contoh Ali ada seorang anak lelaki, Ah Seng pula mempunyai seorang anak perempuan. Anak Ali berbangsa Melayu dan bertaraf bumiputera. Anak Ah Seng pula adalah seorang Cina yang bertaraf bukan bumiputera.

Setelah besar, anak Ali dan Ah Seng bertemu di IPT contohnya, bercinta dan akhirnya berkahwin. Setelah setahun mereka mendapat anak. Kini setelah selang satu generasi cucu Ali dan Ah Seng kini bertaraf bumiputera tanpa perlu mengisi sebarang borang atau bertegang lidah dan urat untuk menuntut hak dan taraf yang sama.

Saya gemar membaca cerpen-cerpen lama karya Abdul Rahim Kajai dan Pak Sako. Dalam cerpen mereka ada akronim DKK dan DKA. Pada mulanya saya tertanya-tanya apa maksudnya sehinggalah saya mendapat jawapan DKK bermaksud Darah Keturunan Keling dan DKA Darah Keturunan Arab.

Kedua-dua golongan ini tidak diiktiraf sebagai Melayu pada awalnya. Kecuali perempuan DKK atau DKA berkahwin dengan lelaki Melayu barulah anaknya diiktiraf sebagai Melayu.

Mungkin kita anggap perkara ini mudah kerana persamaan akidah, sama-sama Islam. Tetapi realitinya tidak begitu. Pada masa itu golongan DKK atau DKA dipanggil Syed atau Sayid yang dikatakan mempunyai pertalian darah atau nasab sehingga sampai kepada Rasulullah. Mereka dianggap sebagai golongan atasan atau bangsawan sehingga sukarlah lelaki Melayu meminang anak gadis mereka. Kajai juga sering mengungkapkan golongan ini sering menggunakan agama untuk kepentingan kebangsawanan mereka.

Saya setelah membaca cerpen-cerpen tersebut cukup terasa suasana latar budaya masyarakat pada masa tersebut. Tetapi dapat kita lihat kini suasana itu telah berubah. DKK dan DKA telah diiktiraf sebagai Melayu. Saya tidak mencadangkan idea baru tetapi sekadar mengingatkan semula.

Sebenarnya saya menyatakan semua ini dalam ruangan kali ini kerana satu pukulan yang saya rasai baru-baru ini. Dalam keghairahan menyatakan idea dan pendapat kononnya sebagai warganegara generasi baru yang berwawasan dan sensitif terhadap masa depan negara tiba-tiba saya dihadapkan dengan situasi yang cukup sinis saya rasakan.

Seorang kakitangan di tempat saya berkerja sekarang telahpun melaksanakan idea ini lama sebelum saya melontarkan idea dalam ceramah di PPKKS. Berkahwin silang bangsa dan budaya. Keduanya saling bertoleransi dengan baik. Lebih baik daripada para pembuat dasar yang hanya mencetuskan idea. Kakitangan inilah yang berdakwah dengan hikmah menyebarkan agama dan budaya secara lembut dan kekal menjadi generasi.

Sebagai seorang penceramah kecil di pentas yang kecil sepatah yang mampu saya ucapkan : “Saya malu dan terasa kerdil sekali”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan