Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 27 Mei 2010

Minda: Usah jadi gajah sarkas

27/05/2010



BARU-BARU ini, saya menulis rencana bertajuk Bisnes Satu Peperangan yang menghuraikan bagaimana ‘peperangan’ moden hari ini tidak lagi mengguna senjata seperti pedang, senapang dan meriam.

Musuh hari ini juga tidak semestinya datang menyerang dengan nyata secara langsung dari depan. Sebahagiannya tidak kita kenali. Mereka boleh menewaskan dan menjajah kita secara lembut tanpa kita sedari. Kadang kala terdapat situasi kita sendiri rela mengizinkan musuh dengan mudah menjajahi minda dan jiwa akibat daripada tindakan kita sendiri.

Penjajahan abad ke-21 boleh menjelma daripada dua punca utama. Pertama, setelah kita begitu lama dijajah sebelum ini, masih terdapat di kalangan kita yang mewarisi ciri-ciri minda dan pandangan hidup saki-baki peninggalan penjajah. Kedua, penjajahan corak baru akibat bersengkongkol kita dengan sistem ekonomi dunia yang diperkenal dan dicorakkan oleh bekas penjajah atau penerimaan mudah oleh kita terhadap sistem ekonomi sejagat dan budaya yang dibentuk atau dianjur oleh mereka. Inilah yang lebih berbahaya. Fenomena ini boleh kita ibaratkan seumpama pengalaman hidup gajah sarkas. Sekalipun secara fitrah gagah perkasa, gajah sarkas cuma perlu diikat dengan tali atau rantai kecil yang mudah sekali diputuskan. Apapun, tidak terlintas di fikiran gajah sarkas untuk membebaskan diri dan merentap sehingga putus rantai kecil itu. Sehinggakan anak cucu gajah sarkas yang dilahir dan dibesarkan dalam kandang sarkas juga tidak menyedari kekuatan semula jadi yang dimiliki keturunannya. Tali atau rantai kecil itu menjadi simbol hilangnya kekuatan dan kegagahan gajah serta kebergantungannya kepada kehidupan di bawah tajaan pemilik sarkas. Ia dipaksa menggembirakan hati peminat sarkas dan kemudian dirantai kembali. Pemilik sarkas pula menghitung untung.



Inilah senario yang sebenarnya boleh menjadi kenyataan hidup kalau kita terus jumud dan tidak bertindak membela dan memperbaharui nasib diri dan bangsa. Bahayanya, ramai dari kalangan kita sekalipun sudah lama merdeka, tetapi minda dan jiwa seolah-olah masih diikat dengan tali dan rantai kecil yang serupa. Mungkin di sini puncanya ramai yang menggadai hak dan kepentingan dengan harga murah. Saham, lesen, permit, warisan tanah rizab Melayu dan Bumiputera dipertaruh sewenangnya. Ramai juga yang hilang akal setelah silau melihat harta kekayaan lalu lupakan maruah dan harga diri.

Justeru, warisan pemikiran lapuk dan jumud terus-menerus dipanjangkan, termasuk di peringkat atasan dan kepemimpinan iaitu golongan yang diharapkan membawa perubahan dan pembaharuan. Sebagai contoh, hari ini kita berazam menjayakan konsep ekonomi dipacu ilmu pengetahuan atau ‘knowledge-driven’ dan ‘technology-driven.’ Namun, hingga ke hari ini hampir di semua organisasi, baik kerajaan mahupun swasta, semua warga kerja kita masih dipanggil ‘kakitangan’ dan semua orang bawahan ‘dikakitangankan.’ Apakah kakitangan yang ‘tidak berkepala’, justeru, tidak berotak dan berdaya fikir, berupaya menjayakan sistem ekonomi yang dipacu ilmu pengetahuan dan teknologi canggih? Inilah satu contoh tali dan rantai kecil yang masih mengikat minda dan jiwa ramai di kalangan kita. Daripada perspektif sejarah, saya percaya kita ‘dikakitangankan’ pada mulanya oleh orang putih ‘pemilik sarkas’ yang pernah menjajah kita dulu. Mereka sengaja tidak mahukan kita berdaya fikir, supaya mudah mereka menundukkan dan menguasai kita. Namun, setelah lebih 50 tahun merdeka, kenapa kaedah penjajahan ini masih lagi kita gunakan? Kenapa kita sendiri masih mengkakitangankan anak cucu, adik-beradik serta saudara kita sendiri? Apakah ada di kalangan kita yang kini menjadi pemilik sarkas baru yang mahukan supaya rantai kecil terus menerus digunakan untuk mengikat pemikiran dan minda kepada segala yang lapuk dan jumud? Teringat saya kata-kata Eleanor Roosevelt: “Tiada siapa dapat membuatkan kamu berasa rendah diri tanpa kerelaan kamu sendiri.” (No one can make you feel inferior without your consent) Sesungguhnya hari ini kita berdepan dengan penjajahan bercorak baru oleh ‘pemilik sarkas’ yang menguasai ekonomi dunia. Kuasa ekonomi negara masih berada di tangan negara maju yang pernah menjadi bangsa penjajah. Contohnya, hingga 80 peratus makanan dan produk halal yang digunakan umat Islam di Malaysia dibekal dan dijual oleh beberapa syarikat korporat multinasional (MNC) yang beribu pejabat di Eropah dan Amerika Syarikat. Kaedah penguasaan dan penaklukan pasaran milik kita kali ini dijayakan dengan menggunakan senjata penjajahan bercorak baru, misalnya menerusi jenama global, kaedah dan teknologi proses serta kuasa pelesenan, jaringan bisnes yang memihak kepada negara maju, francais, hak cipta dan hak ke atas harta intelek, kuasa organisasi besar yang ada pada mereka serta akses kepada sumber modal global yang juga memihak kepada mereka. Sudah tentu mereka yang menguasai bisnes dan memegang kunci bahagian terbesar harta kekayaan dunia mempunyai kelebihan dalam peperangan ini.



Justeru, tidak hairan sekiranya beberapa bisnes strategik negara membangun seperti Malaysia hari ini masih dikuasai MNC milik negara dan bangsa asing yang kaya dan perkasa. MNC seperti ini adalah antara pewaris dan pemilik sarkas global. Beberapa antara mereka masih bercita-cita untuk terus menjadikan seluruh dunia permainan sarkas di bawah dominasi mereka. Satu contoh dominasi boleh dilihat daripada jenama produk atau khidmat yang dilindungi undang-undang. Kawalan mereka terhadap produk dengan jenama global perkasa semakin mengurangkan pilihan bagi pengguna Malaysia dan negara membangun lain. Tambahan pula dengan sumber kewangan besar yang digunakan untuk mempromosi dan mengiklankan produk mereka. Sehinggakan gaya hidup kita semua hampir keseluruhannya dipengaruhi oleh apa yang mereka tawarkan di pasaran. Justeru, kita lihat minuman kola dan makanan segera Amerika, misalnya, semakin mendominasi pasaran dan mempengaruhi kehidupan. Makanan dan minuman tradisi seperti nasi lemak, pisang goreng dan kuih semakin dilupakan dan diambil alih oleh burger, kentang goreng dan piza berkeju. Apa yang lebih berbahaya ialah apabila nilai dan gaya hidup mereka turut menjangkiti kita. Ini jelas dilihat apabila negara Islam semakin menyaksikan umat mereka bersikap melampau individualistik, hedonistik, materialistik, semakin rakus dan nafsu-nafsi. Perhatikan bahawa niat dan matlamat MNC dengan sokongan pemerintahan kerajaan mereka banyak yang mirip kepada keinginan menjajah dan mendominasi semula. Atas dasar ini banyak negara yang lemah cuba dijajah semula dengan kekerasan, seperti Iraq, semata-mata untuk merampas kekayaan minyak negara itu. Beberapa negara Islam lain, sama ada yang kaya mahupun yang lemah ekonominya dikuasai tanpa sebarang kekerasan. Dengan menggunakan kuasa politik atau subsidi, mereka semua terpaksa tunduk kepada arahan pemilik sarkas baru abad ke-21. Setelah peperangan terbuka tidak lagi dapat dilakukan berleluasa, mereka menggunakan kuasa ekonomi, bisnes dan korporat sebagai strategi dalam peperangan secara aman.

Dalam perang bisnes dan korporat, wang, harta, modal dan pelaburan semuanya digunakan sebagai senjata utama. Matlamat kemenangan yang dicita-citakan pula adalah nilai jualan serta penaklukan ‘wilayah’ dalam bentuk dominasi pasaran. Sudah menjadi lumrah dan adat peperangan, mereka yang berkuasa dan menang dalam mana-mana peperangan akan meletakkan ‘panji-panji.’ Dalam peperangan bisnes, bendera dan panji-panji jenama global mereka akan dikibarkan di tempat yang paling tinggi hingga tidak lagi mampu digugat pesaing. Pada pandangan saya, untuk menang dalam peperangan abad ke-21 ini iaitu peperangan berteraskan bisnes, Melayu-Muslim perlu menggali kembali sumber motivasi yang dapat memberikan kekuatan dan memberikan semangat luar biasa. Pertama, kita perlu segera musnahkan rantai kecil yang mengikat jiwa dan minda. Setelah itu, perlu ditiup api semangat bangsa yang berdarah pahlawan dan umat bernadikan jihad.

Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Coporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia.www.businessjihad.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan