Mukadimah
JASA Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara cukup besar. Sumbangannya bukan sekadar cetusan idea untuk pemantapan sistem pendidikan, kritikan terhadap pentadbiran kerajaan dan suara pembaharuan dalam segenap bidang sejak tiga dekad lalu.
Malah pemikir terulung ini juga merupakan pejuang yang tidak mengenal jemu mengetengahkan pandangannya berkaitan nasib, kemelut dan masa depan orang Melayu walaupun kadang-kadang ia mencetuskan kontroversi. Sudah begitu banyak suaranya `dirakamkan semula' dan `diterjemahkan' dalam bentuk penerimaan dan pelaksanaan.
Paling sinonim dengan Pak Ungku ialah penubuhan Lembaga Tabung Haji, organisasi pengurusan bakal jemaah haji paling efisien dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM) yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar perubatan tempatan.
Kenapa Pak Ungku tidak boleh dilupakan, bagaimana beliau berfikir dan apa lagi cita-cita serta idea yang difikirkannya? Semuanya terjawab dalam pertemuan wartawan RAMLI ABDUL KARIM dengannya, baru-baru ini.
PAK UNGKU baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-81. Dalam usia selanjut ini, Pak Ungku masih aktif dalam pelbagai bidang. Apa lagi yang Pak Ungku masih cari sekarang ini?
UNGKU AZIZ: Kebanyakan perkara yang saya hendak buat, saya sudah buat. Buku yang hendak dibaca, saya sudah baca. Muzik yang hendak didengar, saya sudah dengar. Tempat yang saya hendak pergi, sudah dilawati. Dan, saya sudah pun berjumpa dengan bermacam-macam orang yang saya ingin jumpa.
Jadi dalam usia begini, saya akan buat perkara yang menarik bagi saya. Baca buku yang menarik, tempat menarik ke dan pemikiran menarik. Itulah fokus saya.
Apa lagi cita-cita atau impian Pak Ungku yang hendak dicapai pada masa ini?
UNGKU AZIZ: Mungkin tidak ada lagi. Saya sudah mulakan banyak perkara di Universiti Malaya (UM). Begitu juga dengan penubuhan Tabung Haji. Semuanya sudah dilaksanakan dengan baik malah mungkin lebih baik daripada jangkaan saya.
Ada juga yang tidak mencapai kesempurnaan dan tidak memuaskan hati saya tetapi sekurang-kurangnya sudah ada inisiatif melaksanakan cadangan saya itu.
Apa perhatian Pak Ungku sekarang?
UNGKU AZIZ: Sekarang ini, saya beri tumpuan kepada Angkasa. Daripada badan yang kecil, sekarang ia sudah boleh menyediakan kursus pendidikan kepada lebih 100,000 pelajar. Saya suka bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Angkasa dalam usaha mewujudkan gerakan koperasi di Malaysia.
Yang lain, saya masih lagi ada pejabat di UM. Di situ saya buat kerja akademik dan yang berkaitan dengan akademik Jepun.
Selain itu, melalui syarikat Azair, saya terlibat menyediakan bekalan air di sekolah di Sabah dan Sarawak. Di beberapa tempat di sana tidak ada penyediaan bekalan air untuk pelajar atau penduduk. Mereka takung air hujan atau air parit untuk minum atau mandi. Kami menggunakan teknologi menggali lubang dan mencari air dalam tanah, lengkap dengan sistem penapisan.
Pak Ungku dikatakan seorang yang tidak berhenti-henti belajar. Apakah yang Pak Ungku sedang belajar sekarang?
UNGKU AZIZ: Saya berminat membaca tulisan Parsi dan Jepun. Saya belajar dan sekarang saya sudah boleh membaca tulisan dan buku-buku bahasa Parsi, Inggeris, Jepun dan bahasa Melayu sendiri. Penguasaan terhadap tulisan dan bahasa-bahasa ini menjadi cabaran kepada minda saya. Ia juga memberi peluang berfikir dalam budaya yang lain.
Saya membeli buku-buku dalam semua bahasa ini. Saya tidak boleh berhenti berfikir kerana bagi saya kalau tidak berfikir, itu maknanya kita sudah `tidur'. Tidak perlulah kita goyang kaki dan termenung saja untuk berehat pada usia begini.
Semua orang tahu Pak Ungku banyak sumbangan kepada bangsa dan negara. Apa lagi yang ingin Pak Ungku perjuangkan selepas ini?
UNGKU AZIZ: Sejak saya muda iaitu selepas Perang Dunia Kedua, saya mula memikirkan apakah masalah terbesar orang Melayu. Dari dulu sampai sekarang, saya akan terus memperjuang dan memperkatakan tentang masalah orang Melayu.
Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya bahawa masalah terbesar dan mustahak untuk diatasi dalam masyarakat Melayu ialah kemiskinan. Ini mempengaruhi hala tuju politik Melayu dari zaman merdeka, selepas 13 Mei 1969 dan sekarang.
Masalah politik dalam UMNO dan Pas dan masalah di Kelantan dan Terengganu berakar umbi daripada soal kemiskinan. Selagi masalah kemiskinan tidak diatasi, selama itulah orang Melayu mengalami masalah memajukan bangsa sendiri. Cabaran besar ialah kemiskinan, kita kena cari cara terbaik untuk mengatasinya. Kita tidak boleh beri orang duit saja, RM100 seorang atau apa saja tindakan seumpamanya, itu tidak mengatasi masalah kemiskinan. Kita kena cari punca-punca kemiskinan ini.
Saya menulis banyak kertas kerja termasuk untuk Majlis Perundingan Ekonomi Negara I (Mapen I) dan Mapen II. Tetapi sehingga kini orang ramai belum membacanya sungguhpun ada kesediaan pihak atasan menerbitkan laporan Mapen II itu.
Nampaknya, ia masih dirahsiakan. Saya hairan kenapa ia dirahsiakan dan kenapa orang Melayu sendiri tidak boleh membaca satu laporan begitu tebal yang memikirkan dan memberi banyak maklumat tentang punca-punca kemiskinan orang Melayu.
Dari dulu Pak Ungku asyik membincangkan tentang perkara yang sama ini. Ada yang berkata kenapalah Pak Ungku sibuk sangat dengan masalah orang Melayu ini?
UNGKU AZIZ: Sebab saya orang Melayu. Saya tinggal di negeri Melayu. Saya tidak boleh jaga tepi kain orang Indonesia, saya tidak boleh jaga hal orang di negara China atau India.
Selagi saya ada umur, saya kena hadapi semua ini. Kalau saudara tanya tentang masalah pokok orang Melayu... saya tiada jawapan lain. Itulah dia iaitu masalah kemiskinan.
Kerajaan berpendapat kemiskinan ini boleh diatasi menerusi bidang pendidikan. Bagaimana Pak Ungku melihat perkara ini?
UNGKU AZIZ: Memang benar. Pendidikan memang alat terbesar untuk mengatasi kemiskinan. Tetapi di Malaysia, dasar, teknik dan rancangan memajukan pendidikan orang Melayu berubah-ubah dari semasa ke semasa. Baiki sana dan baiki sini.
Apabila saya kata ini seperti tikus membaiki labu, orang marahkan saya. Dari titik permulaan negara kita iaitu sejak merdeka, cuba tanya apakah yang orang Melayu telah buat untuk menyusun program pembangunan ekonomi dan pendidikan bangsanya.
Kita tidak mempunyai definisi masalah. Kalau ditukar fokus daripada pembangunan ekonomi kepada pendidikan, kita mesti tanya bagaimana pembangunan minda orang Melayu? Dan, apakah sikap orang Melayu terhadap pendidikan?
Dan, satu lagi yang orang Melayu tidak suka saya tanya perkara ini. ``Apakah ideologi orang Melayu ketika ini?'' Adakah ia lahir daripada bidang agama atau ekonomi dan nasionalis? Apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah minda, pemikiran dan sikap orang Melayu terhadap pembangunan ekonomi dan pendidikan.
Di bidang pendidikan, orang Melayu kena susun program menyeluruh supaya mereka boleh berdiri sendiri. Didorong program itu, barulah orang Melayu menjadi maju. Lihat Jepun, China, Jerman atau Amerika Syarikat (AS), semuanya ada ideologi yang mempengaruhi manusia tentang bagaimana hendak maju dalam bidang pendidikan. Saya rasa kepimpinan Melayu sendiri masa kini, tidak jelas tentang ideologi mereka dalam bidang pendidikan.
Adakah orang Melayu belum mencapai tahap seperti yang Pak Ungku harapkan?
UNGKU AZIZ: Ya. Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula.
Pada tahun 1980-an misalnya, orang Melayu dilanda budaya mengejar wang, gila wang dan mahu cepat kaya. Kalau tidak kaya pun, mereka mahu mendapat duit dengan mudah. Ini merosakkan ekonomi dan masyarakat orang Melayu. Apabila pengaruh budaya wang ini sudah reda, datang pula tumpuan hebat mengikut aliran dunia iaitu dalam bidang agama.
Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?
Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.
Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.''
Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga.
Orang Melayu juga masih dibelenggu budaya rasuah. Ini ada kena-mengena dengan budaya mengejar dan mementingkan wang tadi. Kadang-kadang, orang Melayu mencampurkan budaya mementingkan wang, agama dan gejala rasuah. Selagi dipengaruhi titian sebegini, orang Melayu tidak boleh maju.
Orang Melayu bagaimana Pak Ungku mahu tinggalkan?
UNGKU AZIZ: Saya hanya boleh beri mereka peluang untuk berfikir. Dalam Islam pun, Rasulullah s.a.w. pun meminta umatnya berfikir. Nabi kata orang yang berfikir untuk kebaikan dalam jangka pendek pun, jauh lebih baik daripada orang yang buat ibadat. Dan kalau kita mahu mengubah keadaan, kita mesti perbetulkan diri dan minda sendiri.
Di sebalik kegagalan mengubah pemikiran dan minda orang Melayu, apakah idea lain Pak Ungku yang berjaya memberi kesan kepada orang Melayu?
UNGKU AZIZ: Contoh yang masih topikal ialah Dasar Pandang ke Timur. Ini sudah diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan. Dalam bidang pendidikan, menerusi ideologi dasar ini, kita wujudkan program penghantaran pelajar Melayu dari sekolah menengah ke Jepun selepas dua tahun belajar di UM. Setiap tahun kira-kira 150 pelajar pergi ke sana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun dan Malaysia.
Kedua, Pusat Asasi Sains di UM. Pada mulanya, orang tidak percaya pada masa itu iaitu dalam tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahawa anak Melayu dari sekolah rendah Melayu boleh belajar ilmu sains dalam bahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah Melayu.
Saya sediakan cara mengajar orang Melayu dalam bahasa Melayu supaya boleh lulus sekolah menengah dan masuk universiti. Ini berbeza dengan langkah kerajaan sekarang iaitu mengajar semula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Di universiti, kita juga boleh mengajar sains dalam bahasa Melayu selepas itu. Saya buat sistem supaya orang boleh belajar kejuruteraan dan perubatan dalam bahasa Melayu. Sebabnya orang Melayu berfikir dalam bahasa Melayu.
Dan hari ini, menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran Sains di sekolah menengah dan juga Kejuruteraan dan Perubatan di universiti, ribuan anak Melayu sudah jadi profesor dalam bidang perubatan atau bekerja profesional dalam bidang kejuruteraan.
Apa perasaan Pak Ungku apabila dikatakan pelajar-pelajar Melayu lepasan universiti sekarang semakin menurun kualitinya?
UNGKU AZIZ: Memang saya sedih. Kualiti mereka menjadi lebih rendah sebab azam hendak belajar semakin kurang. Ibu bapa tidak berminat ambil tahu pelajaran anak-anak. Mereka ingat sebab ada banyak duit cukup dengan memanggil tutor ajarkan anak dan bagi duit begitu saja. Ibu bapa tidak ambil berat membantu anak-anak.
Selain azam, pelajar pula sebenarnya ramai yang tidak berminat betul-betul mahu belajar. Orang Melayu sudah hilang perhatian ini. Semuanya nak cepat, zaman kehidupan segera, mi segera, bercinta segera dan belajar pun mahu segera juga.
Pemimpin Melayu perlu mengawal pengaruh segera dan ingin cepat ini terutama di kalangan pelajar Melayu. Tidak ada penyelesaian segera dalam apa juga bidang.
Kelemahan lain, tenaga pengajar, profesor...
UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah nisbah guru dengan pelajar. Seorang pensyarah bercakap di hadapan lebih 50 orang. Lebih malang kalau mengajar 200 pelajar. Kalau 200 orang mendengar, mustahil boleh belajar. Nisbah di universiti yang baik sejak dulu ialah antara 30 dan 40 pelajar.
Universiti terunggul pula meletakkan nisbah seorang pensyarah dengan 15 pelajar. Ini memberi ruang berfikir dan bersoal balas dengan pensyarah, bukan yang pandai menghafal tetapi tidak berfikir.
Difahamkan Pak Ungku minat mengkaji pantun. Bila buku koleksi pantun Pak Ungku akan siap?
UNGKU AZIZ: Belum siap lagi. Saya sudah baca lebih 3,000 pantun. Hari-hari saya cari pantun Melayu sampai bertimbun-timbun di rumah saya. Kalau dikaji betul-betul, pantun dan teka-teki menggambarkan minda Melayu tulen dan asal-usul pemikiran Melayu. Ia unik dan identiti serta kelebihan orang Melayu. Intisari pemikiran dan minda Melayu terdapat dalam pantun.
Malah kalau orang Melayu mempelajari pantun-pantun bangsa sendiri, orang Melayu boleh maju jaya.
Saya juga ingin mencadangkan bagaimana menganalisis pantun dengan cara dan dimensi yang baru. Analisis lama mengenai pantun Melayu dipengaruhi pemikiran Barat iaitu Inggeris dan Belanda yang memang hendak merosakkan minda Melayu.
Berapa banyak buku yang Pak Ungku sudah baca?
UNGKU AZIZ: Lebih 70,000 buku iaitu sejak 70 tahun lalu. Saya sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabat-pejabat saya. Kamus saja saya ada 20 kamus yang masih dipakai di bilik saya di rumah. Saya juga menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.
Berapakah jumlah buku yang Pak Ungku cadangkan untuk pelajar baca dalam sehari?
UNGKU AZIZ: Kalau boleh mereka mesti baca sekurang-kurangnya satu buku dalam sebulan. Itu jumlah paling sikit.
Nikotin dalam vape beri kesan pada sel otak remaja
-
Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape sering dianggap sebagai
alternatif kepada kaedah merokok tradisional, walau bagaimanapun ia
menimbul...
Sehari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan