Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 7 Februari 2010

SAIFUL OH SAIFUL : Khidmat Kebajikan Aznil Haji Nawawi (Amacam Pegawai Kebajikan / Psikologi Semua...tercabar tak?

Monday, January 25, 2010

MUHD SAIFUL RIZWAN/USIA : 21 TAHUN /ASAL : KELANG, SELANGOR

Sebelum kemalangan Saiful menjalani kehidupan yang normal. Merupakan seorang yang pendiam dan sangat kuat bekerja. Merupakan anak sulong dalam keluarga 5 adik beradik. Mempunyai seorang kekasih yang hanya mahu dikenalkan sebagai Yati sahaja.

Dalam bulan 6 tahun lalu, satu kemalangan ngeri menimpa Saiful yang sekali gus merubah hampir separuh dari wajahnya. Bahagian mulu dan dagu Saiful hancur, dua tulang rusuk kiri dan dua tulang rusuk kanan juga patah. Hatinya juga rosak teruk dan terpaksa dibuang. Lebih 20 hari Saiful berada di dalam koma.

Ketika itu juga, Paknil dihubungi oleh adik Saiful bernama Aishah melalui segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era. Aishah mengadu yang dia terpaksa berhenti kerja kerana menjaga abangnya yang kemalangan di hospital. Ramai pendengar Era yang prihatin dan hanya mampu menitipkan rasa simpati dan pesanan untuk kuatkan semangat.

Mendengar cerita Aishah, Paknil juga tidak dapat membayangkan betapa getirnya dugaan yang dilalui oleh remaja belasan tahun ini. Namun cerita Aishah yang kita dengar ketika itu terhenti di situ sahaja.

Namun pada hari Isnin 18 Januari, Paknil terbaca pula satu lagi SMS dari pengadu bernama Saiful yang mengadu kekasihnya berubah hati setelah dirinya kemalangan. Tanpa menyangka ia ada hubungan dengan cerita SMS pertama tadi, Paknil mengubunginya. Jauh di suara sebelah sana, Paknil terdengar suara yang agak pelik kedengarannya. Setelah diperkenalkan, barulah Paknil tahu rupanya Saiful itulah abang kepada Aishah.

Saiful bercerita pada Paknil yang dirinya sudah lemah dalam kehidupan setelah wajahnya berubah dan kini kekasih hatinya meninggal dirinya. Lebih perit apabila kekasihnya beralih hati pada teman baik Saiful. Saiful sudah putus harapan untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, dia beralih kepada Paknil untuk mencari kekuatan dan sinar baru. Dia ingin ketemu dengan Paknil. Entah kenapa, tergerak hati Paknil ini untuk bersama kru Era menemui Saiful pada hari selasa keesokan harinya. Berdebar juga hati Paknil dalam perjalanan ke rumah Saiful hari itu bukan kerana takut akan melihat wajah Saiful tetapi kerana takut kata-kata Paknil tidak mampu menaikkan semangat Saiful untuk kembali bangun. Paknil tak henti berdoa agar Tuhan melancarkan lidah ini untuk menaikkan semangat anak remaja ini.




Setiba di rumah Saiful, Paknil dinanti Saiful dan keluarganya. Wajah Saiful diselindungkan di sebalik topeng hidung dan mulut. Tanpa ada rasa gentar, Paknil minta Saiful tanggalkan topeng itu. Saiful akur. Ketika itu, jiwa Paknil hancur kerana tidak dapat membayangkan kekuatan yang Saiful punyai untuk memikul dugaan pada wajahnya seperti yang Paknil lihat di depan mata Paknil sekarang.

Namun, sedikit pun tidak timbul rasa takut malah simpati Paknil berlipat seribu kali. Hampir sejam Paknil merapati Saiful dan akhirnya Saiful mempercayai Paknil. Ketika itulah Paknil diberitahu, Saiful sempat mengarang beberapa sajak ketika berada di katil hospital.

Bagus juga sajaknya. Saiful sendiri akui yang dirinya tidak pernah menulis apa-apa karangan sebelum itu. Hebatkan kuasa Tuhan. Dibukakan anugerah yang selama ini tersembunyi di dalam diri Saiful.

Sekembali dari kunjungan ke rumah Saiful, fikiran Paknil terus teringat-ingat akan sajak yang Saiful lakarkan itu. Paknil rasakan sajaknya ada nilai komersil dan cadangkan kepada Era agar kita carikan peluang baru untuk Saiful. Akhirnya terfikir untuk memperkenalkan Saiful kepada komposer hebat Ajai.

Pagi Khamis, Paknil di Riuh Pagi Era menjemput Saiful sebagai tetamu. Saiful hadir ditemani adiknya, Aishah. Dalam temubual, Paknil dapat lihat Saiful sudah ada semangat untuk meneruskan kehidupan, bertalu panggilan telefon dari pendengar Era yang masuk untuk bercakap dengan Saiful dan sekali gus ingin memberi kata semangat padanya. Terima kasih pada semua!


Tup tup! Pukul 9 pagi kami masukkan satu panggilan telefon kezzzutan kepada Saiful. Datuk Siti Nurhaliza. Datuk Siti puas berpesan kepada Saiful untuk bangun semula dan dari getaran suara Datuk Siti, Paknil rasa Datuk Siti juga gugur airmatanya. Terima kasih Datuk kerana sudi ‘singgah’ seminit dua untuk membaik pulih perasaan lemah Saiful. Terlihat ada campuran riak malu, bangga dan suka di wajah Saiful.

Lebih tidak disangkakan Saiful apabila Ajai pula kami sambungkan dihujung talian. Kedua beradik hampir tergamam dan terdiam apabila mengetahui Ajai berminat untuk mengenengah bakat Saiful sebagai penulis lirik. Tidak pernah disangka oleh Saiful yang sinar hidupnya mula menyinar kini.

Teruja Saiful bercerita tentang keinginannya untuk menulis lirik lagu pula. InsyaAllah jika kita semua panjang umur, kita akan sama-sama saksikan kehebatan anak muda ini menongkah arus kehidupan sebagai penulis lirik yang hebat pula. Rezeki manusia bukan urusan kita. Tuhan penentu segalanya. Paknil nantikan kemunculan lagu pertama nukilan Muhd Saiful Rizwan!

p/s : Paknil lampir di sini sajak tulisan tangan Saiful yang diciptanya untuk Paknil. Terima Kasih Saiful!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan