Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 8 Mac 2010

Hero

Selesai saja sesi pagi ni aku termenung seketika sehingga beberapa ketika. Berdepan dengan klien ada kalanya memberi pengajaran lebih banyak daripada dalam bilik kuliah. Realiti – itulah fakta dan itulah hakikat. Kekadang kita seakan tidak percaya dengan realiti masyarakat sekarang.

Berkerja dan bergelumang dengan individu, keluarga dan masyarakat saban hari pastinya menemukan aku dengan pelbagai golongan dan kategori manusia. Lebih menarik dan mencabar minda adalah akal budi manusia yang pelbagai dicorakkan oleh rencah pengalamannya.

Umpama membaca sebuah novel, apalah nilainya novel itu jika tiada elemen konflik di dalamnya. Siapa yang akan teruja membaca novel yang wataknya berjaya sepanjang masa. Sudah menjadi tertib yang tidak tertulis bahawa sesebuah naratif itu perlu dipalitkan dengan pelbagai konflik untuk memantapkan watak utamanya.

Walau siapapun kita, walau di manapun kita, di posisi mana atau apa sekalipun kita berada yang nyata kitalah hero dan heroin dalam hidup kita. Dalam sesebuah naratif, kita akan mengenal watak utamanya bila keseluruhan cerita itu melibatkan watak tersebut. Tanpa watak tersebut episod itu tidak akan terhasil. Maka jelasnya dalam cerita hidup kita, kitalah heronya.

Dalam hidup biasanya kita jarang menjadi watak utama. Bagaimana aku dapat menjadi watak utama? Aku hanya peon dalam pejabat. Watak utama adalah bos selaku pembuat keputusan.

Nyatanya anda tetap hero dalam sebuah cerita kisah hidup seorang peon. Bayangkan begini :

Seorang pengarah ingin menggarap sebuah filem yang mengangkat watak seorang peon lantas menggilap sisi positif dan tertinggi seorang peon. Maka dalam cerita tersebut watak peon akan memonopoli keseluruhan layar perak manakala watak bos hanya sekadar pelakon pembantu dan boleh juga digambarkan pengarah sebagai antagonis.

Peon tersebut akan digambarkan sangat penting sehingga mempengaruhi keseluruhan operasi pejabat. Mungkin situasinya begini :

Peon itu dipandang rendah dan tidak ada nilainya kepada pejabat. Dia selalu jadi mentimun yang akan luka dalam apa jua kondisi. Pada suatu hari peon tersebut MC (cuti sakit), maka kelam kabutlah seluruh pejabat yang tiba-tiba menerima lawatan mengejut daripada audit. Masing-masing teringat kepada si peon yang tak berguna itu. Barulah teringat betapa besarnya jiwa si peon yang kekal sabar walaupun dimarah atas alasan yang kecil.

Boleh saja apa juga perwatakan digarap menjadi hero asal kita mahu menggubahnya begitu. Hero atau tidak tergantung kita selaku watak utamanya yang merangkap pengarah dan penulis skrip. Berjaya atau tidak tergantung takdir Ilahi. Yang nyata tuhan tidak pernah menafikan peranan kita sebagai hero dalam kisah hidup kita.

Salam dan berkat untuk semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan