Bersama Timbalan Menteri KDN

Bersama Timbalan Menteri KDN

Selamat Datang Ya Akhi

Laman untuk mencurah pandangan...

Halaman

Cari Blog Ini

Jumlah Paparan Halaman

Jumaat, 28 Januari 2011

Eksiden 27 Januari 2011

1. Semalam lebih kurang jam 5.30 petang keluar dari pejabat nak balik rumah.


2. Undur kereta keluar dari tempat parking dan sebaik sahaja berada betul-betul dalam lorong sebuah kereta waja pun mengundur keluar terus menghentam belakang kereta aku.


3. Kemik la sikit.


4. Pemandu kereta waja mengaku salah, terus pergi ke bengkel ketuk kereta berhampiran IPD Kampar.


5. Kos baiki ditanggung beliau.


6. Terima kasih kerana bertanggungjawab.

Selasa, 25 Januari 2011

Tragedi Pemikiran Melayu

oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.
Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India.

Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam.

Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

**PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.

Melayu & Pemikiran Ungku Aziz

Mukadimah

JASA Profesor Diraja Ungku Aziz kepada negara cukup besar. Sumbangannya bukan sekadar cetusan idea untuk pemantapan sistem pendidikan, kritikan terhadap pentadbiran kerajaan dan suara pembaharuan dalam segenap bidang sejak tiga dekad lalu.

Malah pemikir terulung ini juga merupakan pejuang yang tidak mengenal jemu mengetengahkan pandangannya berkaitan nasib, kemelut dan masa depan orang Melayu walaupun kadang-kadang ia mencetuskan kontroversi. Sudah begitu banyak suaranya `dirakamkan semula' dan `diterjemahkan' dalam bentuk penerimaan dan pelaksanaan.

Paling sinonim dengan Pak Ungku ialah penubuhan Lembaga Tabung Haji, organisasi pengurusan bakal jemaah haji paling efisien dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM) yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar perubatan tempatan.

Kenapa Pak Ungku tidak boleh dilupakan, bagaimana beliau berfikir dan apa lagi cita-cita serta idea yang difikirkannya? Semuanya terjawab dalam pertemuan wartawan RAMLI ABDUL KARIM dengannya, baru-baru ini.

PAK UNGKU baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-81. Dalam usia selanjut ini, Pak Ungku masih aktif dalam pelbagai bidang. Apa lagi yang Pak Ungku masih cari sekarang ini?

UNGKU AZIZ: Kebanyakan perkara yang saya hendak buat, saya sudah buat. Buku yang hendak dibaca, saya sudah baca. Muzik yang hendak didengar, saya sudah dengar. Tempat yang saya hendak pergi, sudah dilawati. Dan, saya sudah pun berjumpa dengan bermacam-macam orang yang saya ingin jumpa.

Jadi dalam usia begini, saya akan buat perkara yang menarik bagi saya. Baca buku yang menarik, tempat menarik ke dan pemikiran menarik. Itulah fokus saya.

Apa lagi cita-cita atau impian Pak Ungku yang hendak dicapai pada masa ini?

UNGKU AZIZ: Mungkin tidak ada lagi. Saya sudah mulakan banyak perkara di Universiti Malaya (UM). Begitu juga dengan penubuhan Tabung Haji. Semuanya sudah dilaksanakan dengan baik malah mungkin lebih baik daripada jangkaan saya.

Ada juga yang tidak mencapai kesempurnaan dan tidak memuaskan hati saya tetapi sekurang-kurangnya sudah ada inisiatif melaksanakan cadangan saya itu.

Apa perhatian Pak Ungku sekarang?

UNGKU AZIZ: Sekarang ini, saya beri tumpuan kepada Angkasa. Daripada badan yang kecil, sekarang ia sudah boleh menyediakan kursus pendidikan kepada lebih 100,000 pelajar. Saya suka bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Angkasa dalam usaha mewujudkan gerakan koperasi di Malaysia.

Yang lain, saya masih lagi ada pejabat di UM. Di situ saya buat kerja akademik dan yang berkaitan dengan akademik Jepun.

Selain itu, melalui syarikat Azair, saya terlibat menyediakan bekalan air di sekolah di Sabah dan Sarawak. Di beberapa tempat di sana tidak ada penyediaan bekalan air untuk pelajar atau penduduk. Mereka takung air hujan atau air parit untuk minum atau mandi. Kami menggunakan teknologi menggali lubang dan mencari air dalam tanah, lengkap dengan sistem penapisan.

Pak Ungku dikatakan seorang yang tidak berhenti-henti belajar. Apakah yang Pak Ungku sedang belajar sekarang?

UNGKU AZIZ: Saya berminat membaca tulisan Parsi dan Jepun. Saya belajar dan sekarang saya sudah boleh membaca tulisan dan buku-buku bahasa Parsi, Inggeris, Jepun dan bahasa Melayu sendiri. Penguasaan terhadap tulisan dan bahasa-bahasa ini menjadi cabaran kepada minda saya. Ia juga memberi peluang berfikir dalam budaya yang lain.

Saya membeli buku-buku dalam semua bahasa ini. Saya tidak boleh berhenti berfikir kerana bagi saya kalau tidak berfikir, itu maknanya kita sudah `tidur'. Tidak perlulah kita goyang kaki dan termenung saja untuk berehat pada usia begini.

Semua orang tahu Pak Ungku banyak sumbangan kepada bangsa dan negara. Apa lagi yang ingin Pak Ungku perjuangkan selepas ini?

UNGKU AZIZ: Sejak saya muda iaitu selepas Perang Dunia Kedua, saya mula memikirkan apakah masalah terbesar orang Melayu. Dari dulu sampai sekarang, saya akan terus memperjuang dan memperkatakan tentang masalah orang Melayu.

Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya bahawa masalah terbesar dan mustahak untuk diatasi dalam masyarakat Melayu ialah kemiskinan. Ini mempengaruhi hala tuju politik Melayu dari zaman merdeka, selepas 13 Mei 1969 dan sekarang.

Masalah politik dalam UMNO dan Pas dan masalah di Kelantan dan Terengganu berakar umbi daripada soal kemiskinan. Selagi masalah kemiskinan tidak diatasi, selama itulah orang Melayu mengalami masalah memajukan bangsa sendiri. Cabaran besar ialah kemiskinan, kita kena cari cara terbaik untuk mengatasinya. Kita tidak boleh beri orang duit saja, RM100 seorang atau apa saja tindakan seumpamanya, itu tidak mengatasi masalah kemiskinan. Kita kena cari punca-punca kemiskinan ini.

Saya menulis banyak kertas kerja termasuk untuk Majlis Perundingan Ekonomi Negara I (Mapen I) dan Mapen II. Tetapi sehingga kini orang ramai belum membacanya sungguhpun ada kesediaan pihak atasan menerbitkan laporan Mapen II itu.

Nampaknya, ia masih dirahsiakan. Saya hairan kenapa ia dirahsiakan dan kenapa orang Melayu sendiri tidak boleh membaca satu laporan begitu tebal yang memikirkan dan memberi banyak maklumat tentang punca-punca kemiskinan orang Melayu.

Dari dulu Pak Ungku asyik membincangkan tentang perkara yang sama ini. Ada yang berkata kenapalah Pak Ungku sibuk sangat dengan masalah orang Melayu ini?

UNGKU AZIZ: Sebab saya orang Melayu. Saya tinggal di negeri Melayu. Saya tidak boleh jaga tepi kain orang Indonesia, saya tidak boleh jaga hal orang di negara China atau India.

Selagi saya ada umur, saya kena hadapi semua ini. Kalau saudara tanya tentang masalah pokok orang Melayu... saya tiada jawapan lain. Itulah dia iaitu masalah kemiskinan.

Kerajaan berpendapat kemiskinan ini boleh diatasi menerusi bidang pendidikan. Bagaimana Pak Ungku melihat perkara ini?

UNGKU AZIZ: Memang benar. Pendidikan memang alat terbesar untuk mengatasi kemiskinan. Tetapi di Malaysia, dasar, teknik dan rancangan memajukan pendidikan orang Melayu berubah-ubah dari semasa ke semasa. Baiki sana dan baiki sini.

Apabila saya kata ini seperti tikus membaiki labu, orang marahkan saya. Dari titik permulaan negara kita iaitu sejak merdeka, cuba tanya apakah yang orang Melayu telah buat untuk menyusun program pembangunan ekonomi dan pendidikan bangsanya.

Kita tidak mempunyai definisi masalah. Kalau ditukar fokus daripada pembangunan ekonomi kepada pendidikan, kita mesti tanya bagaimana pembangunan minda orang Melayu? Dan, apakah sikap orang Melayu terhadap pendidikan?

Dan, satu lagi yang orang Melayu tidak suka saya tanya perkara ini. ``Apakah ideologi orang Melayu ketika ini?'' Adakah ia lahir daripada bidang agama atau ekonomi dan nasionalis? Apakah yang perlu dilakukan untuk mengubah minda, pemikiran dan sikap orang Melayu terhadap pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Di bidang pendidikan, orang Melayu kena susun program menyeluruh supaya mereka boleh berdiri sendiri. Didorong program itu, barulah orang Melayu menjadi maju. Lihat Jepun, China, Jerman atau Amerika Syarikat (AS), semuanya ada ideologi yang mempengaruhi manusia tentang bagaimana hendak maju dalam bidang pendidikan. Saya rasa kepimpinan Melayu sendiri masa kini, tidak jelas tentang ideologi mereka dalam bidang pendidikan.

Adakah orang Melayu belum mencapai tahap seperti yang Pak Ungku harapkan?

UNGKU AZIZ: Ya. Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula.

Pada tahun 1980-an misalnya, orang Melayu dilanda budaya mengejar wang, gila wang dan mahu cepat kaya. Kalau tidak kaya pun, mereka mahu mendapat duit dengan mudah. Ini merosakkan ekonomi dan masyarakat orang Melayu. Apabila pengaruh budaya wang ini sudah reda, datang pula tumpuan hebat mengikut aliran dunia iaitu dalam bidang agama.

Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.''

Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga.

Orang Melayu juga masih dibelenggu budaya rasuah. Ini ada kena-mengena dengan budaya mengejar dan mementingkan wang tadi. Kadang-kadang, orang Melayu mencampurkan budaya mementingkan wang, agama dan gejala rasuah. Selagi dipengaruhi titian sebegini, orang Melayu tidak boleh maju.

Orang Melayu bagaimana Pak Ungku mahu tinggalkan?

UNGKU AZIZ: Saya hanya boleh beri mereka peluang untuk berfikir. Dalam Islam pun, Rasulullah s.a.w. pun meminta umatnya berfikir. Nabi kata orang yang berfikir untuk kebaikan dalam jangka pendek pun, jauh lebih baik daripada orang yang buat ibadat. Dan kalau kita mahu mengubah keadaan, kita mesti perbetulkan diri dan minda sendiri.

Di sebalik kegagalan mengubah pemikiran dan minda orang Melayu, apakah idea lain Pak Ungku yang berjaya memberi kesan kepada orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Contoh yang masih topikal ialah Dasar Pandang ke Timur. Ini sudah diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan. Dalam bidang pendidikan, menerusi ideologi dasar ini, kita wujudkan program penghantaran pelajar Melayu dari sekolah menengah ke Jepun selepas dua tahun belajar di UM. Setiap tahun kira-kira 150 pelajar pergi ke sana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun dan Malaysia.

Kedua, Pusat Asasi Sains di UM. Pada mulanya, orang tidak percaya pada masa itu iaitu dalam tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahawa anak Melayu dari sekolah rendah Melayu boleh belajar ilmu sains dalam bahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah Melayu.

Saya sediakan cara mengajar orang Melayu dalam bahasa Melayu supaya boleh lulus sekolah menengah dan masuk universiti. Ini berbeza dengan langkah kerajaan sekarang iaitu mengajar semula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Di universiti, kita juga boleh mengajar sains dalam bahasa Melayu selepas itu. Saya buat sistem supaya orang boleh belajar kejuruteraan dan perubatan dalam bahasa Melayu. Sebabnya orang Melayu berfikir dalam bahasa Melayu.

Dan hari ini, menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran Sains di sekolah menengah dan juga Kejuruteraan dan Perubatan di universiti, ribuan anak Melayu sudah jadi profesor dalam bidang perubatan atau bekerja profesional dalam bidang kejuruteraan.

Apa perasaan Pak Ungku apabila dikatakan pelajar-pelajar Melayu lepasan universiti sekarang semakin menurun kualitinya?

UNGKU AZIZ: Memang saya sedih. Kualiti mereka menjadi lebih rendah sebab azam hendak belajar semakin kurang. Ibu bapa tidak berminat ambil tahu pelajaran anak-anak. Mereka ingat sebab ada banyak duit cukup dengan memanggil tutor ajarkan anak dan bagi duit begitu saja. Ibu bapa tidak ambil berat membantu anak-anak.

Selain azam, pelajar pula sebenarnya ramai yang tidak berminat betul-betul mahu belajar. Orang Melayu sudah hilang perhatian ini. Semuanya nak cepat, zaman kehidupan segera, mi segera, bercinta segera dan belajar pun mahu segera juga.

Pemimpin Melayu perlu mengawal pengaruh segera dan ingin cepat ini terutama di kalangan pelajar Melayu. Tidak ada penyelesaian segera dalam apa juga bidang.

Kelemahan lain, tenaga pengajar, profesor...

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah nisbah guru dengan pelajar. Seorang pensyarah bercakap di hadapan lebih 50 orang. Lebih malang kalau mengajar 200 pelajar. Kalau 200 orang mendengar, mustahil boleh belajar. Nisbah di universiti yang baik sejak dulu ialah antara 30 dan 40 pelajar.

Universiti terunggul pula meletakkan nisbah seorang pensyarah dengan 15 pelajar. Ini memberi ruang berfikir dan bersoal balas dengan pensyarah, bukan yang pandai menghafal tetapi tidak berfikir.

Difahamkan Pak Ungku minat mengkaji pantun. Bila buku koleksi pantun Pak Ungku akan siap?

UNGKU AZIZ: Belum siap lagi. Saya sudah baca lebih 3,000 pantun. Hari-hari saya cari pantun Melayu sampai bertimbun-timbun di rumah saya. Kalau dikaji betul-betul, pantun dan teka-teki menggambarkan minda Melayu tulen dan asal-usul pemikiran Melayu. Ia unik dan identiti serta kelebihan orang Melayu. Intisari pemikiran dan minda Melayu terdapat dalam pantun.

Malah kalau orang Melayu mempelajari pantun-pantun bangsa sendiri, orang Melayu boleh maju jaya.

Saya juga ingin mencadangkan bagaimana menganalisis pantun dengan cara dan dimensi yang baru. Analisis lama mengenai pantun Melayu dipengaruhi pemikiran Barat iaitu Inggeris dan Belanda yang memang hendak merosakkan minda Melayu.

Berapa banyak buku yang Pak Ungku sudah baca?

UNGKU AZIZ: Lebih 70,000 buku iaitu sejak 70 tahun lalu. Saya sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabat-pejabat saya. Kamus saja saya ada 20 kamus yang masih dipakai di bilik saya di rumah. Saya juga menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Berapakah jumlah buku yang Pak Ungku cadangkan untuk pelajar baca dalam sehari?

UNGKU AZIZ: Kalau boleh mereka mesti baca sekurang-kurangnya satu buku dalam sebulan. Itu jumlah paling sikit.

Isnin, 17 Januari 2011

PEPERANGAN SEBAGAI PERNIAGAAN


Profesor Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin

Apabila menyebut atau mendengar perkataan “perperangan”, apa yang segera terjelma dalam imajinasi ialah darah, mayat dan air mata. Kemudian, terbayang pula wajah dan episode penderitaan manusia seperti kehilangan harta benda, menjadi pelarian, kehilangan kampong halaman dan komuniti asal, putus hubungan keluarga kebuluran dan pelbagai imej yang menyayat hati.

Imej ini kekal dalam fikiran dan terjelma apabila disebut perkataan perperangan. Pengekalan imej tersebut berlaku kerana manusia diasuh semenjak di bangku sekolah hinggalah ke universiti oleh buku dan gambar, kemudian oleh media massa melalui imej dan berita, oleh industri perfileman melalui ratusan filem dan oleh pengalaman perbualan seharian bahawa itulah isi dan makna perkataan perperangan. Maka tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa wujud makna atau implikasi lain tentang peperangan daripada hal-hal negatif.

Pengisian makna negatif terhadap perkataan peperangan dipengaruhi oleh perspektif kemanusiaan yang bertunjangkan falsafah moral. Perspektif tersebut melihat peperangan dari segi nilai nyawa manusia, harga diri dan maruah sesuatu komuniti. Nilai yang tinggi juga diberikan kepada unsur keamanan serta kesejahteraan sosial.

Sebarang kegiatan dan perilaku manusia yang melibatkan pengorbanan nyawa dianggap kejam, merugikan dan sia-sia. Maka perkara tersebut perlu ditentang habis-habisan seperti melalui tunjuk perasaan secara beramai-ramai. “Make Love Not War” merupakan slogan popular kumpulan gerakan antiperang.

Golongan yang dikenali sebagai Pacifist, iaitu golongan yang mencintai keamanan dan kedamaian, kebelakangan ini berdemonstrasi antiperang secara besar-besaran di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia. Golongan Pacifist menentang rancangan Amerika Syarikat menyerang Iraq. Mereka merupakan salah satu bentuk pergerakan sosial yang besar di Eropah.

Tetapi tidak semua pihak yang melihat perang sebagai sesuatu yang negatif. Terdapat pihak yang melihat peperangan sebagai perkara yang menguntungkan dan bermanfaat, terutama kalau mereka tidak terlibat langsung dalam peperangan. Misalnya, apabila Perang Korea terjadi pada awal tahun 1950-an, harga getah melambung lima kali ganda. Kenaikan harga berlaku kerana getah diperlukan sebagai bahan mentah untuk membuat beberapa bahagian kapal perang, kapal terbang, kereta kebal malah senjata api. Malaysia, ketika itu begitu gelisah dan rakyatnya rata-rata mengalami kepahitan hidup akibat Perang Dunia Kedua, tiba-tiba bangun dengan segar dari segi ekonomi kerana semua ladang getah kembali diperkemas dan industri getah dihidupkan untuk memenuhi permintaan pasaran yang luar biasa akibat tuntutan pembekal senjata peperangan di Korea.

Pendapatan yang diraih daripada kenaikan harga getah memulihkan ekonomi Malaysia. Hal ini membolehkan Malaysia melancarkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Pertamanya yang diberi nama Draf Development Plan 1950-54, dikendalikan oleh Economic Secretariat pihak kolonial British. Ertinya, Malaysia dapat merasakan “rahmat” peperangan melalui pembinaan kembali dan peneguhan ekonominya yang terjejas teruk akibat peperangan. Selepas itu, semasa berlakunya Perang Dingin 1948 – 1989, harga getah pada paras yang tinggi kerana permintaan stok pile AS. Pendapatan daripada komoditi getah terus menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) di Malaysia.
Kira-kira dua abad sebelum itu, ketika perang saudara meletus di Amerika Syarikat, antara tentera pihak Selatan dengan Utara (peperangan yang membawa kemerdekaan Amerika Syarikat), bijih timah sangat diperlukan untuk membuat alat perkakas kegunaan peribadi setiap askar, daripada tempat masak hinggalah kepada tin penyimpan makanan. Tiba-tiba harga bijih melambung dan permintaan pasaran melonjak kerana keperluan peperangan ini.

Maka usaha melombong bijih berlaku dengan pesatnya di seluruh dunia, termasuk di negeri-negeri Melayu yang selanjutnya menarik kuasa Eropah seperti belanda dan British untuk datang ke wilayah Asia Tenggara.

Episod sejarah tersebut membuktikan bahawa peperangan, walaupun mengorbankan banyak nyawa dan ditentang oleh banyak pihak, mencipta pelbagai peluang ekonomi khususnya terhadap bahan mentah yang diperlukan untuk membuat pelbagai peralatan perang serta senjata. Produksi peralatan berkenaan selanjutnya meningkatkan permintaan terhadap buruh, lalu mencipta pekerjaan untuk semua lapisan rakyat. Malah eksport buruh ke seluruh dunia semenjak abad ke-18 sebahagian besarnya mempunyai perkaitan dengan permintaan bahan mentah untuk alatan peperangan. Sebagai persediaan peperangan, kuasa-kuasa besar lazimnya giat menyimpan bahan-bahan mentah dalam bentuk stock pile.
Dalam konteks abad ke-20 dan ke-21, peperangan dilihat oleh kuasa besar sebagai suatu industri yang menjana pelbagai kegiatan ekonomi dan memerlukan modal yang cukup besar. Syarikat korporat gergasi dunia seperti Boeing, Norththrop dan MacDonnel (semuanya pembuat kapal terbang), mempunyai puluhan ribu pekerja dan menggunakan modal berbilion ringgit untuk produksi pelbagai model kapal terbang, khususnya kapal terbang peperangan. Setiap syarikat menjual sahamnya di pasaran saham dan sesiapa sahaja boleh membelinya.

Hal ini bermakna syarikat-syarikat tersebut menggunakan modal daripada semua lapisan rakyat untuk mendapatkan modal guna dan kontrak daripada pihak tentera Amerika Syarikat. Dalam kegiatan komersial, peperangan atau persediaan peperangan ialah sumber pendapatan yang menguntungkan. Lagi kerap perang berlaku, lebih lumayan pendapatan untuk pemegang saham. Bukanlah perkara yang memeranjatkan kalau pemegang saham dan pihak pengurus bergembira jika peperangan meletus.

Begitu juga pihak yang membuat senjata dan peralatan perang, seperti pembuat peluru, bom dan pelbagai bentuk senjata. Syarikat-syarikat berkenaan mengumpul modal melalui pasaran saham. Justeru perniagaan alat peperangan adalah sesuatu yang positif kepada syarikat dan pemegang saham tersebut.

Terdapat satu kelompok peniaga lagi yang meraih keuntungan besar daripada penjualan senjata untuk persediaan peperangan, iaitu golongan orang tengah yang mendapat tender sesebuah kerajaan yang memerlukan senjata. Kerajaan tidak akan membeli senjata dan peralatan perang secara langsung daripada syarikat. Urusan tersebut dilakukan melalui orang tengah (broker). Setiap broker mendapat komisen yang cukup lumayan dan boleh menjadi jutawan seperti Adnan Khosoggi.

Dalam peperangan, para askar memerlukan pakaian, makanan dan pelbagai lagi alat komunikasi peribadi (telefon, komputer bimbit dan sebagainya). Setiap peralatan ini dibuat oleh pelbagai syarikat, kecil, besar dan sederhana. Untuk menghasilkan peralatan yang canggih, seperti radar dan senapang laser memerlukan penyelidikan ribuan saintis yang bekerja siang dan malam untuk mencipta pelbagai alat yang canggih. Sebahagian besar alat-alat tersebut kemudiannya dikomersialkan untuk kegunaan orang biasa, seperti jam tangan digital, pisau Swiss yang digunakan oleh hero siri televisyen ‘McGiver’ dan bermacam-macam lagi.

Sistem pengangkutan dalam peperangan, seperti kapal terbang, helikopter dan kereta kebal memerlukan minyak, bateri serta alat ganti semasa di medan perang. Maka pengusaha automobil juga meraih keuntungan daripada peperangan. Kebanyakan kenderaan tersebut memerlukan bermacam-macam bahan mentah, sama ada besi waja, bijih timah, getah dan sebagainya. Hal ini melibatkan syarikat minyak yang besar seperti Shell, Exxon dan Mobil. Maka telaga minyak sama ada di darat atau di tengah lautan memerlukan pekerja yang mahir dan besar bilangannya.

Peperangan memerlukan satu sistem perubatan yang canggih, daripada yang berbentuk hospital, klinik, alat-alat pembedahan, dan ubat-ubatan hinggalah ke kaki tangannya, seperti doktor, jururawat dan pakar perubatan ketenteraan. Perubatan tersebut bukan sahaja untuk merawat tentera yang cedera bahkan untuk merawat orang awam. Pasukan perubatan “Red Cross” misalnya memerlukan perubatan ini. Pasukan yang menghadapi musuh yang mempunyai gas beracun terpaksa menyediakan pelbagai ubat “antidot” dan peralatan perlindungan diri. Begitu juga pembuat gas beracun, memerlukan saintis dan kilang untuk menghasilkan bekalan gas dan tong-tong gas yang khas. Semua perkara tersebut dilakukan oleh syarikat swasta.

Ketika aman setiap pasukan tentera perlu menjalani latihan perang dan ditempatkan di kawasan khas yang memakan biaya yang besar. Bayangkan kos yang diperlukan untuk membina sebuah dermaga kapal tentera laut. Apatah lagi untuk membina kapal perang yang besar dan kapal selam yang canggih.

Kalau dihitung, ternyata peperangan itu merupakan satu sumber perniagaan dan keuntungan yang cukup penting kepada pelbagai pihak. Amerika Syarikat sebagai pembuat peralatan perang terbesar di dunia memperoleh pendapatan daripada cukai keuntungan syarikat-syarikat berkenaan untuk membiayai projek pembangunan awam. Negara kecil lain juga terlibat dalam industri peperangan, termasuk Malaysia. Hollywood pula meraih keuntungan filem peperangan.

Oleh itu timbul dakwaan yang menyatakan Amerika Syarikat sentiasa mahu berperang untuk memastikan industri peperangannya terus hidup dan ratusan ribu pekerja yang terlibat akan terus kekal bekerja. Bayangkan Alfred Nobel yang mencipta hadiah Nobel, adalah pembuat dinamit dan pelbagai alatan peperangan yang kemudiannya menjadi kaya raya dan mampu pula membiayai Hadiah Nobel Keamanan. Hal inilah kontradiksi besar industri peperangan. Ternyata peperangan sumber perniagaan yang cukup menguntungkan. Siapa kata peperangan itu sesuatu yang merugikan?

Dewan Budaya, April 2003

Ahad, 16 Januari 2011

Santan Tercemar


Tahniah kepada TV3 di atas laporan pendedahan Aduan Rakyat tentang isu santan tercemar. Sangat menarik bila bahan asas popular dalam masakan majoriti masyarakat Malaysia rupa-rupanya mengandungi bahan cemar yang berbahaya kepada kesihatan pengguna. Isu yang lebih menarik ialah ianya bukan tercemar akibat ketidaksengajaan sebaliknya peniaga memasukkan / membancuh bahan kimia bagi menjadi santan untuk mengaut untung.

Isu santan tercemar kalau diperhatikan dengan teliti sebenarnya lebih buruk daripada isu babi yang tercemar oleh kuman virus JE. Ini kerana pengusaha ternakan babi tidak pernah berusaha mencemarkan babi mereka untuk mengaut untung tetapi pengusaha santan bertindak lebih zalim daripada itu.

Apapun sekali lagi tahniah kepada TV3 atas laporan tersebut. Masyarakat memerlukan maklumat sebegini bagi menjamin kesejahteraan hidup bukannya gosip picisan yang banyak terlambak setiap hari. Kehidupan artis bukannya wajib diketahui tetapi itulah yang dilambakkan. Apa juga yang berlaku kepada artis tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan kita tetapi perbuatan terpencil peniaga santan di ceruk sebuah pasar mungkin menyebabkan ramai warga kita yang terpaksa melepak dalam wad hospital.

Khamis, 6 Januari 2011

Renungan...

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: "Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya: "Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?" Maka ia menjawab: "Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)