Profesor Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin
Apabila menyebut atau mendengar perkataan “perperangan”, apa yang segera terjelma dalam imajinasi ialah darah, mayat dan air mata. Kemudian, terbayang pula wajah dan episode penderitaan manusia seperti kehilangan harta benda, menjadi pelarian, kehilangan kampong halaman dan komuniti asal, putus hubungan keluarga kebuluran dan pelbagai imej yang menyayat hati.
Imej ini kekal dalam fikiran dan terjelma apabila disebut perkataan perperangan. Pengekalan imej tersebut berlaku kerana manusia diasuh semenjak di bangku sekolah hinggalah ke universiti oleh buku dan gambar, kemudian oleh media massa melalui imej dan berita, oleh industri perfileman melalui ratusan filem dan oleh pengalaman perbualan seharian bahawa itulah isi dan makna perkataan perperangan. Maka tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa wujud makna atau implikasi lain tentang peperangan daripada hal-hal negatif.
Pengisian makna negatif terhadap perkataan peperangan dipengaruhi oleh perspektif kemanusiaan yang bertunjangkan falsafah moral. Perspektif tersebut melihat peperangan dari segi nilai nyawa manusia, harga diri dan maruah sesuatu komuniti. Nilai yang tinggi juga diberikan kepada unsur keamanan serta kesejahteraan sosial.
Sebarang kegiatan dan perilaku manusia yang melibatkan pengorbanan nyawa dianggap kejam, merugikan dan sia-sia. Maka perkara tersebut perlu ditentang habis-habisan seperti melalui tunjuk perasaan secara beramai-ramai. “Make Love Not War” merupakan slogan popular kumpulan gerakan antiperang.
Golongan yang dikenali sebagai Pacifist, iaitu golongan yang mencintai keamanan dan kedamaian, kebelakangan ini berdemonstrasi antiperang secara besar-besaran di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia. Golongan Pacifist menentang rancangan Amerika Syarikat menyerang Iraq. Mereka merupakan salah satu bentuk pergerakan sosial yang besar di Eropah.
Tetapi tidak semua pihak yang melihat perang sebagai sesuatu yang negatif. Terdapat pihak yang melihat peperangan sebagai perkara yang menguntungkan dan bermanfaat, terutama kalau mereka tidak terlibat langsung dalam peperangan. Misalnya, apabila Perang Korea terjadi pada awal tahun 1950-an, harga getah melambung lima kali ganda. Kenaikan harga berlaku kerana getah diperlukan sebagai bahan mentah untuk membuat beberapa bahagian kapal perang, kapal terbang, kereta kebal malah senjata api. Malaysia, ketika itu begitu gelisah dan rakyatnya rata-rata mengalami kepahitan hidup akibat Perang Dunia Kedua, tiba-tiba bangun dengan segar dari segi ekonomi kerana semua ladang getah kembali diperkemas dan industri getah dihidupkan untuk memenuhi permintaan pasaran yang luar biasa akibat tuntutan pembekal senjata peperangan di Korea.
Pendapatan yang diraih daripada kenaikan harga getah memulihkan ekonomi Malaysia. Hal ini membolehkan Malaysia melancarkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Pertamanya yang diberi nama Draf Development Plan 1950-54, dikendalikan oleh Economic Secretariat pihak kolonial British. Ertinya, Malaysia dapat merasakan “rahmat” peperangan melalui pembinaan kembali dan peneguhan ekonominya yang terjejas teruk akibat peperangan. Selepas itu, semasa berlakunya Perang Dingin 1948 – 1989, harga getah pada paras yang tinggi kerana permintaan stok pile AS. Pendapatan daripada komoditi getah terus menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) di Malaysia.
Kira-kira dua abad sebelum itu, ketika perang saudara meletus di Amerika Syarikat, antara tentera pihak Selatan dengan Utara (peperangan yang membawa kemerdekaan Amerika Syarikat), bijih timah sangat diperlukan untuk membuat alat perkakas kegunaan peribadi setiap askar, daripada tempat masak hinggalah kepada tin penyimpan makanan. Tiba-tiba harga bijih melambung dan permintaan pasaran melonjak kerana keperluan peperangan ini.
Maka usaha melombong bijih berlaku dengan pesatnya di seluruh dunia, termasuk di negeri-negeri Melayu yang selanjutnya menarik kuasa Eropah seperti belanda dan British untuk datang ke wilayah Asia Tenggara.
Episod sejarah tersebut membuktikan bahawa peperangan, walaupun mengorbankan banyak nyawa dan ditentang oleh banyak pihak, mencipta pelbagai peluang ekonomi khususnya terhadap bahan mentah yang diperlukan untuk membuat pelbagai peralatan perang serta senjata. Produksi peralatan berkenaan selanjutnya meningkatkan permintaan terhadap buruh, lalu mencipta pekerjaan untuk semua lapisan rakyat. Malah eksport buruh ke seluruh dunia semenjak abad ke-18 sebahagian besarnya mempunyai perkaitan dengan permintaan bahan mentah untuk alatan peperangan. Sebagai persediaan peperangan, kuasa-kuasa besar lazimnya giat menyimpan bahan-bahan mentah dalam bentuk stock pile.
Dalam konteks abad ke-20 dan ke-21, peperangan dilihat oleh kuasa besar sebagai suatu industri yang menjana pelbagai kegiatan ekonomi dan memerlukan modal yang cukup besar. Syarikat korporat gergasi dunia seperti Boeing, Norththrop dan MacDonnel (semuanya pembuat kapal terbang), mempunyai puluhan ribu pekerja dan menggunakan modal berbilion ringgit untuk produksi pelbagai model kapal terbang, khususnya kapal terbang peperangan. Setiap syarikat menjual sahamnya di pasaran saham dan sesiapa sahaja boleh membelinya.
Hal ini bermakna syarikat-syarikat tersebut menggunakan modal daripada semua lapisan rakyat untuk mendapatkan modal guna dan kontrak daripada pihak tentera Amerika Syarikat. Dalam kegiatan komersial, peperangan atau persediaan peperangan ialah sumber pendapatan yang menguntungkan. Lagi kerap perang berlaku, lebih lumayan pendapatan untuk pemegang saham. Bukanlah perkara yang memeranjatkan kalau pemegang saham dan pihak pengurus bergembira jika peperangan meletus.
Begitu juga pihak yang membuat senjata dan peralatan perang, seperti pembuat peluru, bom dan pelbagai bentuk senjata. Syarikat-syarikat berkenaan mengumpul modal melalui pasaran saham. Justeru perniagaan alat peperangan adalah sesuatu yang positif kepada syarikat dan pemegang saham tersebut.
Terdapat satu kelompok peniaga lagi yang meraih keuntungan besar daripada penjualan senjata untuk persediaan peperangan, iaitu golongan orang tengah yang mendapat tender sesebuah kerajaan yang memerlukan senjata. Kerajaan tidak akan membeli senjata dan peralatan perang secara langsung daripada syarikat. Urusan tersebut dilakukan melalui orang tengah (broker). Setiap broker mendapat komisen yang cukup lumayan dan boleh menjadi jutawan seperti Adnan Khosoggi.
Dalam peperangan, para askar memerlukan pakaian, makanan dan pelbagai lagi alat komunikasi peribadi (telefon, komputer bimbit dan sebagainya). Setiap peralatan ini dibuat oleh pelbagai syarikat, kecil, besar dan sederhana. Untuk menghasilkan peralatan yang canggih, seperti radar dan senapang laser memerlukan penyelidikan ribuan saintis yang bekerja siang dan malam untuk mencipta pelbagai alat yang canggih. Sebahagian besar alat-alat tersebut kemudiannya dikomersialkan untuk kegunaan orang biasa, seperti jam tangan digital, pisau Swiss yang digunakan oleh hero siri televisyen ‘McGiver’ dan bermacam-macam lagi.
Sistem pengangkutan dalam peperangan, seperti kapal terbang, helikopter dan kereta kebal memerlukan minyak, bateri serta alat ganti semasa di medan perang. Maka pengusaha automobil juga meraih keuntungan daripada peperangan. Kebanyakan kenderaan tersebut memerlukan bermacam-macam bahan mentah, sama ada besi waja, bijih timah, getah dan sebagainya. Hal ini melibatkan syarikat minyak yang besar seperti Shell, Exxon dan Mobil. Maka telaga minyak sama ada di darat atau di tengah lautan memerlukan pekerja yang mahir dan besar bilangannya.
Peperangan memerlukan satu sistem perubatan yang canggih, daripada yang berbentuk hospital, klinik, alat-alat pembedahan, dan ubat-ubatan hinggalah ke kaki tangannya, seperti doktor, jururawat dan pakar perubatan ketenteraan. Perubatan tersebut bukan sahaja untuk merawat tentera yang cedera bahkan untuk merawat orang awam. Pasukan perubatan “Red Cross” misalnya memerlukan perubatan ini. Pasukan yang menghadapi musuh yang mempunyai gas beracun terpaksa menyediakan pelbagai ubat “antidot” dan peralatan perlindungan diri. Begitu juga pembuat gas beracun, memerlukan saintis dan kilang untuk menghasilkan bekalan gas dan tong-tong gas yang khas. Semua perkara tersebut dilakukan oleh syarikat swasta.
Ketika aman setiap pasukan tentera perlu menjalani latihan perang dan ditempatkan di kawasan khas yang memakan biaya yang besar. Bayangkan kos yang diperlukan untuk membina sebuah dermaga kapal tentera laut. Apatah lagi untuk membina kapal perang yang besar dan kapal selam yang canggih.
Kalau dihitung, ternyata peperangan itu merupakan satu sumber perniagaan dan keuntungan yang cukup penting kepada pelbagai pihak. Amerika Syarikat sebagai pembuat peralatan perang terbesar di dunia memperoleh pendapatan daripada cukai keuntungan syarikat-syarikat berkenaan untuk membiayai projek pembangunan awam. Negara kecil lain juga terlibat dalam industri peperangan, termasuk Malaysia. Hollywood pula meraih keuntungan filem peperangan.
Oleh itu timbul dakwaan yang menyatakan Amerika Syarikat sentiasa mahu berperang untuk memastikan industri peperangannya terus hidup dan ratusan ribu pekerja yang terlibat akan terus kekal bekerja. Bayangkan Alfred Nobel yang mencipta hadiah Nobel, adalah pembuat dinamit dan pelbagai alatan peperangan yang kemudiannya menjadi kaya raya dan mampu pula membiayai Hadiah Nobel Keamanan. Hal inilah kontradiksi besar industri peperangan. Ternyata peperangan sumber perniagaan yang cukup menguntungkan. Siapa kata peperangan itu sesuatu yang merugikan?
Dewan Budaya, April 2003
Tiada ulasan:
Catat Ulasan