Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
(Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan... Kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).
Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat.
Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang
bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang
membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar
al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya
akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat
menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan
penuh rasa tanggungjawab.
Dalam kaitan inilah relevannya
gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat
pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan
pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya
dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari
rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.
Demokrasi dan Media
Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat
sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan
pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the
press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from
the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan
sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk
dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi
lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk
menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.
Demikianlah
orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak
rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna
‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan,
perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami
keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata
batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya). Kebebasan media
adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya
tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang
kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).
Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga
yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli
seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan
mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat
mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan
parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan
yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media
propaganda.
Mengundi Sebagai Kesaksian
Dilihat dari
perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang
boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana
yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban
pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila
dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil.
…” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan
kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam
al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana
barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” ---
al- Baqarah: 283.
Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti
pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang
calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan
dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan
berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya
calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi
syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan
persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” --
al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang
tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah
qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian
palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana
yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan)
berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” --
al-Hajj:30.
Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya
memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga
kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan
dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri,
kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian
itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat
melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka
tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami
sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal
mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik
memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti
tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung
fitnah.
Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat
yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam
orientasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan
strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun
memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka
itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang
telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada
kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan
tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang
memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari
bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis
harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud
`a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah
semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau
menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan
mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah
kerugian baginya.” -- Nuh:21.
Perubahan Politik dan Politik Perubahan
Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik
dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan
oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya
perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan
nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah
tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai- nilai moral
amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan
ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius
dan berintegriti.
Politik perubahan yang kita perjuangkan
meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan
selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan.
Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam
pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti
hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat.
Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam
pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah
kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan
dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas
dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus
dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan
kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk
penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus
dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan
terdidik dengan sempurna.
Sistem Dua Parti
Yang harus
menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang
lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan
ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang
sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua
kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan
memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan
tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa
dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan
khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap
taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana
tidak ada alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini,
sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya
persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang
lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa
pemerintahan dari semasa ke semasa.
Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy
Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai
memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai politik baru. Politik
kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat dipertahankan
dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan
kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim
dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi
ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai
luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat
bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat
membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme
-- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti
moral dan pelayanan yang lebih baik.
Dalam masyarakat majmuk
seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai
realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik.
Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam
kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin
kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak
terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih
mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap
mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka
telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan)
yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa,
persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat.
Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya
orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut
juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara
para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum
masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan)
tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106,
(…akhuhum Lut…) -- al- Shu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) --
al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) -- al-Shu`ara’:142. Kata
akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara. Memang tidak semua
orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan
semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan
kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam
kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga
tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr
al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke
atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan
Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap
malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan
makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham
ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang
berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang
sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)
Tahaluf siyasiy
dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral
tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan
Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf
al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak
sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat
bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah
warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan
rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia
tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al-
Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).
Seandainya pengangkatan
mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka
sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman
tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang
bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir
al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi
menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap
mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada
orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu
dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan
Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas
pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan
Islam?
Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab --
Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. Demikianlah
ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma
`alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul
tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang
memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim,
andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan
terhadap kaum Muslimin.
Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap
orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak
mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai
orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.
Merujuk
ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik
dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah
pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan.
(Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat ayat tersebut juga
kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil
terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling
mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya.
Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.
Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu
bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah
Islam Nabi s.`a.w. sudah berpartisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah
pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang
pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi
Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa
penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan
bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk
menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.
Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih
secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya
dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan
raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan
pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib
rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin
oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar
tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi
dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih
wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang
menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun
`alim.
Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik
Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan
raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus
benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat
untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah
yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang
calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat.
Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang
menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan,
tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh
semua.
Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan
terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu
menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana.
Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia
akan mengundang pelaburan para pemilik dana
(kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik
dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik
tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.
Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada
wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan
politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah
yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup seperti itu
wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera,
media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut
peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan
dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya
politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup.
Untuk melindungi kuasa yang korup institusi-institusi penegak
undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada
institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam
negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan
terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat
melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan
mengancam kelangsungan kuasa yang korup.
Apabila politik sudah
menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk
mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur
tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya
mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan
dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun
terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik
inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent
Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau
mengatakan, Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant,
and dishonest. People see their government as unable to deliver what
they promise, obsessed with unimportant issues and internal
politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of
authority, and increasingly in the pockets of business people. The
distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as,
in country after country, senior politicians are discovered to have
engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)
Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu
menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti
dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik. Tidak kurang memprihatinkan
adalah gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas
adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah
pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik
adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun.
Parti-parti politik yang menjunjung prinsip dan nilai demokratik
seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main
yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan
demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup
mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata
kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia
kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan,
termasuk politik mengancam, mengugut, menakut-nakutkan dan lain-lainnya.
Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada
perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi
hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan
keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan
pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh
dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan.
Bagi
mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung
adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang.
Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan
dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu
mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka
pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang
yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `ammah.
Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi
Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah
kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang
sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan
raya dengan niat suci melaksanakan amanat Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang
melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak
seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri
diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap
kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme
perjuangan kader-kader Islamis.
Gerakan Islam juga turut
memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus
disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang
perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten.
Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau
asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan
raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu lebih kritis terhadap
SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan
bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat
perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat
persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan
seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik
curang.